Images
  • illustration
    Karya seni pameran Sayang Singapura. (Gambar: Lee Xin Li menerusi TODAY)

#BeliaSG: Sama-sama Berbeza

BERITAmediacorp: Seiring dengan peredaran masa, kehidupan dan cabaran yang dihadapi masyarakat juga berubah-ubah. Puisi menarik ini pula membuat perbandingan antara kehidupan golongan remaja pada zaman silam dengan era masa kini. Anda setuju dengan pandangannya dalam puisi ini?

Wahai remaja, bayangkanlah
Kau dapat merentas masa

Di hadapan matamu - derita
Mengharungi tusukan zaman perang
Remaja yang pasrah
Yang bersujud kepada yang Maha Esa
Tentera Jepun berbaris di luar tingkap
Bersama si ibu remaja berdakap
Gementar

Di kampung si remaja puas walau serba kurang
Bermain congkak, membilang biji saga
Remaja berfoya bersama teman di bawah pokok nangka
Di sebalik hidup yang suci, sebelum ayam berkokok pagi
Terlibat dalam gejala yang dicaci
Kabaret, samseng, pergaduhan
Meluru dari si mata-mata yang berseluar pendek

Datangnya zaman hippie dan rock
Berkhutbah tentang keamanan
Di sini ada Sweet Charity, di rantau ada Deep Purple
Di tangan ada pita kaset, di kiri ada candu
Menggelinding jalan dalam khayal
Mata merah menghisap ganja
Wabak yang membuat serbuan polis menjadi rutin

Pulanglah kamu ke millennium baharu
Era globalisasi yang mengubah segalanya
Pertukaran zaman yang pantas
Bak meletakkan kita dalam lamunan
Dengan seluruh dunia di hujung jari
Bak mustahil si remaja jauh dari masalah
Internet menjadi sumber gejala terbaharu

Tidak dapat dinafikan semua bermasalah
Tidak kira 70 tahun ataupun 70 saat yang lalu
Cabaran tidak lesap ditelan zaman

Meskipun nampak berbeza kala
Sebenarnya remaja sama-sama sahaja

Diduga kesusahan dan pancaroba. 

KARYA: AINUL SARIYAH ABD LATIF
SEKOLAH: SEKOLAH MENENGAH ANDERSON

- BERITAmediacorp/aq

Top