Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

#BeliaSG: Penyelamatku, Abang

Di sebalik setiap kejayaan, pasti ada insan yang membakar semangat setiap kali berdepan dengan cabaran. Dalam cerpen ditulis pelajar Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang, 'Abang' yang mendorong si adik ketika mengalami kemurungan.

Anggaran Waktu Membaca:
#BeliaSG: Penyelamatku, Abang

(Gambar hiasan: Ilham Akbar Fauzi/Unsplash)

Diterbitkan : 08 Jan 2020 12:19AM Dikemas Kini : 08 Jan 2020 12:28AM

BERITAmediacorp: Di sebalik setiap kejayaan, pasti ada insan yang membakar semangat setiap kali berdepan dengan cabaran. Dalam cerpen ditulis pelajar Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang, 'Abang' yang mendorong si adik ketika mengalami kemurungan. Namun, kemanisan kejayaan adiknya tidak dapat dirasakan bersama... Ini cerpen bertajuk 'Penyelamatku, Abang'.

IJAZAH dalam genggaman tetapi hatiku pecah seribu. Insan yang selama ini menjadi tunjang kejayaanku tiada di sisi. Hanya sekeping foto dirinya yang menemani aku pada hari bersejarah ini.

Aku bagaikan ingin menjerit dalam kekosongan. Abang, Aisyah rindukan Abang.

Kenangan pahit, manis, suka dan duka mula bermain dalam kotak fikiranku.

Aku mengalami kemurungan pada usia 20 tahun. Setiap hari, aku terperap dalam bilik, menangis tidak henti. Mengapa? Semua gara-gara aku membiarkan rasa cemburu dan kecewa menguasai diri. Kekasihku, Saiful, berlaku curang.

Dia berseronok bersama kawan baikku, Izzati, tanpa pengetahuanku.

Aku terbawa-bawa dengan perasaan sedih disebabkan cinta monyet itu walhal peperiksaan yang menentukan aku layak jadi guru bakal berlangsung tidak lama lagi.

Aku tiada semangat untuk belajar. Aku sering ponteng kelas. Aku benci diriku. Aku tidak mahu cuba menggapai impianku.

Pada saat itu, Abang Long jadi wira! Hubunganku dengannya sebenarnya tidak begitu rapat tetapi kemurungan yang aku alami mengeratkan lagi hubungan kami. Abang mula mengambil berat tentang adiknya ini. Setiap kali aku bertemu jalan buntu, tidak bersemangat belajar, dia jadi 'penyelamat'.

Dia memberiku motivasi untuk gigih berusaha dan mengatasi kemurungan itu. Ya, aku sedar dia bersungguh-sungguh ingin membantuku.

Kemurunganku bertambah baik.

Abang pastikan aku tidak keseorangan dan menemani aku ke setiap sesi kaunseling. Dia pastikan aku belajar untuk peperiksaan. Dia pastikan aku makan tiga kali sehari. Dia pastikan aku tidak menangis.

Dia seperti malaikat. Dialah penyelamatku.

Aku beransur pulih meskipun kadangkala perasaanku tidak stabil. Aku tiba-tiba akan menangis bila keseorangan.

Tapi Abang selalu ada. Dia membawa keceriaan dalam kehidupanku. Aku semakin kuat demi Abang. Ini yang membuat diriku enggan menyerah kalah. Jika aku berputus asa, Abang tentu kecewa.

Akhirnya, hari yang dinanti-nantikan tiba. Hari peperiksaanku, masa untuk aku buktikan kemampuanku kepada Abang dan tunjukkan kepada Abang bahawa segala usahanya tidak sia-sia.

Aku mahu buktikan bahawa aku sudah pulih. Ini semua kerana Abang, penyelamatku. Aku harus genggam ijazah itu.

Namun ketika dia menghantarku ke sekolah pagi itu, raut wajahnya berbeza. Dia kelihatan lesu.

Mungkin Abang penat, fikirku.

Aku silap. Selang beberapa hari, kami mendapat tahu Abang menghidap barah usus tahap tiga. Semuanya sudah terlambat, sel barah sudah merebak.

Ketika Abang dimasukkan ke Hospital Besar Singapura, barulah aku sedar... Rupa-rupanya, Abang menolong aku walaupun dia sendiri sedang sakit. Abang sanggup merahsiakan keadaanya. Abang tidak mahu keadaannya menjejas semangatku untuk bangkit semula.

Bagaimana aku tidak perasan Abang sakit? Aku benar-benar seorang adik yang tak berguna!

“Abang! Abang sudah berjanji kepada Aisyah bahawa Abang akan sama-sama menerima keputusan Aisyah nanti, kan? Abang lawan barah itu, ya? Abang terus lawan, ya?” aku berbisik kepada Abang di sisi katil sambil mencium tangannya.

Abang bertahan empat bulan. 26 Jun 2016... dunia seolah-olah diserang gempa raya yang maha dahsyat menggongcangkan perasaan. Abang pergi bertemu Illahi.

Lima bulan berlalu tetapi aku tidak dapat menutup mendung yang menyeliputi wajah. Aku rindu Abang Long.

“Aisyah harap Abang baik-baik sahaja di sana, ya? Aisyah pun baik-baik di sini. Abang jangan risau. Aisyah akan jaga diri,” bisik hati kecilku setiap kali menziarahinya untuk merawat rindu.

Ibu dan Ayah menggantikan tempat Abang. Saudara-maraku juga hadir pada hari aku menerima ijazah.

Aku terbayang-bayang wajahnya ketika menerima ijazah. Air mata mula mengalir di pipi. Aku berjaya memenuhi janjiku kepada Abang. Ijazah yang aku pegang itu amat bermakna.

Ramai yang mengucapkan tahniah atas kejayaanku mendapat Ijazah Kepujian Kelas Pertama dalam bidang perguruan. Namun, di sebalik kegembiraanku itu, tersemat kepiluan yang pedih di hati kecil.

KARYA: DIAN FIRZANAH MOHAMMAD AZLAN
SEKOLAH: SEKOLAH TINGGI PEMERINTAH BUKIT PANJANG 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan