Images
  • cerpen generic man
    (Gambar hiasan: Josep Lago/AFP)

#BeliaSG: Pengalaman Pahit Seorang Egois

BERITAmediacorp: Aku duduk tegak di hadapan meja kerjaku. Mata pula ibarat melekat pada skrin komputer. Tinggal aku seorang sahaja di pejabat pada petang itu. Sepuluh jariku lenguh daripada menaip sepanjang hari. Aku berani mengaku bahawa akulah pekerja yang paling rajin. Aku juga yakin bahawa aku pekerja yang paling dihargai syarikat ini. Aku pasti akan dinaikkan pangkat dan aku akan berjaya! Dengan kerja kerasku, aku begitu yakin untuk meraih apa yang aku idam-idamkan selama ini. Selesai sahaja tugasku pada hari itu, aku bersiap-siap untuk pulang.

"Naqib, lambatnya pulang ke rumah. Sibuk sangatkah pada hari ini? Ibu telefon petang tadi, mengapa tak jawab?" soal ibuku saat aku melangkah masuk ke rumah pada jam 11.00 malam hari itu.

Sejak kecil, ibuku tidak pernah berhenti berleter. Mengabaikan kata-katanya telah menjadi satu tabiat biasa. Namun, pada malam itu, aku membuat keputusan untuk membalas kata-katanya kerana aku sudah penat mendengar leterannya. Aku tidak tahan. Apatah lagi ditambah dengan masalah di tempat kerja.

"Ibu, Naqib penatlah. Ibu sehari suntuk duduk di rumah. Naqib yang membanting tulang di pejabat! Ibu, tolonglah faham keadaan Naqib. Naqib kerja keras sebab Ibu juga. Naqib mahu kita berdua hidup senang dan selesa. Sebagai anak lelaki tunggal, arwah Ayah telah memberi Naqib tanggungjawab untuk menjaga Ibu. Tolonglah mengerti, Bu” balasku sambil mencuba sedaya upaya untuk mengawal perasaan marahku.

Ibuku terkejut mendengar kata-kataku. Ya, aku tidak pernah melawan kata-katanya sebelum ini. Ibu kelihatan seperti ingin mengungkapkan sesuatu tetapi akhirnya terus membisu lalu masuk ke biliknya. Tidak sepatah perkataan pun yang diungkapkan.

Aku terus memasuki tandas lalu mandi. Selepas itu, aku menyiapkan secawan kopi untuk sambil-sambil minum ketika menyelesaikan kerja-kerja yang tertunggak. Aku tekad ingin menarik perhatian majikanku.

Aku hanya dapat merehatkan kepalaku di bantal pada jam 2.00 pagi. Walaupun letih, aku menggagahkan diri supaya tidak terlajak tidur dan ke pejabat awal.

Ring! Jam locengku berdering.

Tubuhku bagai terkena kejutan elektrik. Aku tersedar daripada tidurku yang lena. Jam locengku menunjukkan jam 5.30 pagi. Tanpa berlengah, aku mengambil tuala dan baju kerja lalu bersiap sedia untuk ke pejabat. Aku tergesa-gesa bersarapan lalu memakai kasut. Sambil aku mengikat tali kasut, aku berasa seperti ada orang yang menyentuh bahuku. Aku menoleh lalu ternampak Ibu yang bertelekung. Dia menghulurkan tasbih di tangan kanannya.

"Kamu sudah solat Subuh?" soal Ibu dengan lemah lembut.

Aku tidak mempedulikan pertanyaannya lalu terus ke pejabat. Gara-gara ingin mengejar waktu supaya tiba awal di pejabat, aku sengaja membiarkan Ibu termangu di dapur.

Mengapakah Ibu sibuk bertanya jika aku sudah solat? Aku tahulah jaga diriku. Aku tidak mengerti mengapa Ibu tidak memahami aku sibuk mencari rezeki.

Akulah pekerja yang pertama melangkah masuk ke pejabat pada pagi itu. Aku menghidupkan lampu lalu bergegas ke meja untuk mula berkerja. Setengah jam kemudian, bosku melangkah masuk ke pejabat.

"Wah, awalnya Naqib!" Puan Aidah menegur aku dengan nada suara yang gembira.

"Selamat pagi, Puan! Sebenarnya saya ingin membentangkan cadangan saya untuk memajukan syarikat ini kepada Puan. Saya berharap Puan akan bersetuju!" kataku sambil membawa komputer ribaku ke tempat duduknya.

Dengan senyuman yang lebar, Puan Aidah membaca cadanganku.

"Idea yang menarik! Terima kasih, Naqib! Kamu sememangnya layak untuk dinaikkan pangkat!" Puan Aidah memuji-muji aku. Pujiannya membuatkan aku bangga kerana usahaku selama ini dihargai. Rasa bangga menusuk kalbuku. Aku tersenyum lebar. Aku mengambil komputer ribaku lalu pulang ke meja. Aku menyambung pekerjaanku pada hari itu lalu pulang lebih awal.

"Katanya, pangkatku akan dinaikkan! Nampaknya, aku tidak perlu bekerja keras lagi!" sorak hatiku.

Hari demi hari, aku semakin yakin dengan kebolehanku. Rakan-rakan sekerja aku anggap sebagai hambaku. Aku yakin kalau aku lebih mahir daripada mereka. Lagipun, aku akan dinaikkan pangkat. Aku yakin!

"Naqib, mari kita pergi makan bersama-sama. Lebih ramai orang, lebih meriah. Lagipun sudah lama kita tidak berbual-bual!" ajak Johan, salah seorang rakan kerjaku.

"Hei Johan, cerminlah diri kau sedikit. Tidak lama lagi, kau akan panggil aku Tuan Naqib. Ya, aku akan menjadi bos kau. Kau lihat sahajalah,” kebanggaanku semakin meruap-ruap di dada.

"Hei, hidung tinggi engkau ni, ya! Aku tak sangka kau berperangai seperti ini! Baru dipuji sedikit sahaja sudah besar kepala!" jawab Johan dengan tegas.

Aku tidak mempedulikan kata-katanya itu lalu pulang ke rumah. Aku rasa sangat berkuasa kerana dapat mengarahkan orang lain untuk menyelesaikan kerja-kerja yang belum diselesaikan. Keesokan harinya, aku datang lewat ke pejabat. Aku sudah berlagak seperti seorang bos. Namun, saat aku meletakkan komputer ribaku di atas mejaku, Johan menghampiri diriku.

"Naqib, Puan Aidah nak jumpa kau,” kata Johan dengan riak. Aku mulai bimbang.

Dengan perlahan-lahan, aku menghampiri meja Puan Aidah. Setiap langkah mendekatinya ibarat selangkah lebih dekat kepada seekor singa. Rasa gementar menyelubungi seluruh tubuhku. Apatah lagi setelah melihat riak wajah Johan.

"Naqib, sejak kebelakangan ini, saya perhatikan kamu sering lewat ke pejabat. Dokumen-dokumen yang kamu hantar juga tidak bermutu. Selain itu, saya juga terdengar maklum balas daripada rakan-rakan sekerja bahawa kamu menganggap mereka seperti orang bawahan kamu sendiri! Saya tidak menafikan kamu memang berbakat tetapi perangai buruk kamu hanya akan merugikan syarikat ini. Maaf Naqib, saya tidak mahu pekerja yang mempunyai sikap egoistik seperti kamu. Ini gaji kamu untuk bulan ini. Hari ini, hari terakhir kamu bekerja di sini,” Puan Aidah melontarkan kata-kata yang tajam kepadaku sebelum menghulurkan sekeping cek.

Aku beredar dari meja Puan Aidah sambil cuba mencerna apa yang baru disampaikannya. Sewaktu aku menghampiri mejaku untuk mengemas barang-barangku, aku diperli rakan-rakan lain. Puan Aidah membiarkan sahaja mereka mengejek diriku. Dengan pantas, aku pulang ke rumah dengan rasa perit di dada. Saat aku melangkah masuk ke rumah, aku mendakap Ibu dengan erat lalu meminta maaf.

Dengan perasaan pilu, aku menceritakan kepada ibu tentang apa yang berlaku. Ibu memujuk aku. Ibu memberitahu aku bahawa pengalaman pahit ini merupakan pengajaran besar bagi aku. Namun, selagi Ibu masih ada, dia akan tetap menyokong diriku. Pada malam itu, buat pertama kalinya dalam bertahun, aku bersujud dan memanjatkan doa kepada Ilahi.

"Tuhanku, sesungguhnya aku bukan seorang insan yang sempurna. Ampunilah segala dosa-dosaku. Lindungilah diriku daripada perasaan angkuh dan berikanlah aku petunjuk dan jalan penyelesaian bagi masalah akibat keangkuhan aku ini. Lindungilah ibuku. Ampunilah segala dosa-dosaku terhadapnya. Ya Tuhan, dengarlah rintihan hambamu ini.” 

KARYA: TENGKU MOHAMMED NAQIB TENGKU MOHAMMED NAZIR
SEKOLAH: SEKOLAH MENENGAH TANJONG KATONG 

- BERITAmediacorp/aq

Top