Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

#BeliaSG: Pemiutang Haram

Degupan jantungku begitu kencang. Badanku terasa seram sejuk. Aku terus berlari turun tangga setinggi empat tingkat dari tempat penginapan kami. Tiba-tiba suasana menjadi gelap gelita. 

Anggaran Waktu Membaca:
#BeliaSG: Pemiutang Haram

(Gambar hiasan: Jewel Samad/AFP)

Diterbitkan : 25 Oct 2018 12:35AM Dikemas Kini : 25 Oct 2018 12:44AM

BERITAmediacorp: Degupan jantungku begitu kencang. Badanku terasa seram sejuk. Aku terus berlari turun tangga setinggi empat tingkat dari tempat penginapan kami. Tiba-tiba suasana menjadi gelap gelita. Hujan lebat telah menyebabkan gangguan bekalan elektrik. Tadi, aku terdengar suara Ali yang berada di luar bilik hotel Atiqah. Atiqah berbohong kepada Ali bahawa aku tiada di hotel itu. Aku berasa amat bersyukur kerana mempunyai kawan seperti Atiqah yang menolong aku dalam keadaan ini.

Apabila aku sampai di lobi hotel, aku menyedari bahawa aku tidak boleh keluar dari situ kerana terdapat seorang pemiutang haram yang sedang menunggu aku di tempat meletak kereta. Jika dia nampak aku keluar dari hotel, aku pasti dia akan memberitahu Ali. Aku berjalan dengan cepat ke kafeteria yang mempunyai pintu keluar yang boleh aku gunakan untuk melarikan diri tanpa dikesan. Ketakutan bergayut di sudut hatiku. Aku berfikir tentang Atiqah yang bercakap dengan Ali di bilik hotelnya. Aku berharap dia tidak diapa-apakan oleh jejaka yang berbadan tegap itu. Kekesalan mula menyelinap dalam diriku atas segala kesilapanku meminjam wang daripada syarikat pemiutang haram itu.

Aku telah menginap di hotel buat sementara waktu supaya Ali tidak boleh mencari aku. Malangnya nasib tidak menyebelahi aku kerana dia berjaya mengesan aku di hotel yang jauh dari bandar ini. Kedatangannya yang tidak diundang ini turut diiringi dengan tali barutnya yang lain. Aku tahu bahawa aku tidak boleh menelefon polis kerana aku telah menyalahi undang-undang.

Setibanya aku di pintu keluar belakang kafeteria, aku terus menarik pintu itu. Tiba-tiba, aku terasa pukulan hebat hinggap ke mukaku. Aku nampak seorang lelaki berbadan gempal yang kemudian memukul aku. Aku pasti bahawa dia pemiutang haram yang telah diupah oleh syarikatnya, sama seperti Ali. Dia mencengkam pergelangan tanganku dan menghubungi Ali untuk memberitahu bahawa dia telah berjaya menangkap aku. Mukaku pucat lesi bagaikan ditoreh tiada berdarah.

Aku dengar jejak langkah Ali dari belakang aku. Dia pusingkan badanku dan sepasang mata sinis dan dingin ditujukan ke arahku. Satu tamparan yang kuat hinggap di pipiku. Ali memukul aku beberapa kali lagi. Lututku lemah dan tanganku berlumuran darah. Namun, Ali tidak berhenti. Aku cuba mengelak penumbuk mautnya tetapi tindakanku menyebabkan aku menjadi lebih lemah. Dia berkata bahawa dia akan membalas dendam kerana aku cuba melarikan diri daripadanya. Namun, kepalaku berdenyut-denyut dan aku tidak boleh memahami kata-katanya. Aku mula berfikir tentang cara-cara yang boleh digunakannya untuk membunuh aku. Jantungku bergoncang kencang bagaikan mahu pecah rangka dadaku. Berkaca-kaca linangan air mata jernih gugur dari sudut kelopak mataku.

Secara tiba-tiba, aku terdengar beberapa suara lain. Ali ditarik jauh dari aku. Aku mendengar suara lembut Atiqah, meyakinkan aku bahawa aku masih bernyawa. Aku membuka mataku perlahan-lahan dan di hujung mataku, aku terlihat Ali dan si badan gempal itu ditolak ke dalam sebuah kereta polis. Atiqah menjelaskan bahawa dia telah menghubungi polis dengan sepantas kilat selepas Ali menuju ke kafeteria. Walaupun aku tahu bahawa polis akan menyoal siasat aku tentang sebab mengapa aku meminjam wang daripada pemiutang haram, aku tetap berterima kasih kepada Atiqah kerana dialah penyelamatku.

Pada akhirnya, aku diberikan amaran sahaja. Ali dan pemiutang haram lain dihukum penjara selama dua tahun disebabkan beberapa kes gangguan dan aktiviti pemiutang haram. Aku berasa amat bersyukur kerana Atiqah telah banyak membantu aku walaupun dia telah meletakkan dirinya dalam keadaan yang membahayakan nyawanya. Aku amat terhutang budi kepadanya. Kini, aku sedari bahawa hidup kayu berbuah, hidup manusia berjasa. Melalui peristiwa yang pahit ini, aku pelajari bahawa aku sepatutnya mencari cara lain untuk mendapatkan wang segera dan bukan meminjam wang daripada pemiutang haram. 

KARYA: BONOTAN GRACE ANN BITON
SEKOLAH: SEKOLAH TINGGI PEMERINTAH BUKIT PANJANG

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan