Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

#BeliaSG: Pandangan Mata Ibu

Kedengaran ombak beralun menghempas tebing pantai dengan deras, seakan-akan ingin menyampaikan khabarnya. Angin pula mengelus rambutku yang dibiarkan rebang sahaja, membelai lembut raut wajahku yang gebu ini, membisik merdu di kupingku seolah-olah ingin mendodoi aku tidur. 

Anggaran Waktu Membaca:
#BeliaSG: Pandangan Mata Ibu

Gambar fail seorang wanita bersama anaknya. (Gambar: Adek Berry/AFP)

Diterbitkan : 02 Oct 2018 11:44PM Dikemas Kini : 02 Oct 2018 11:57PM

BERITAmediacorp: Kedengaran ombak beralun menghempas tebing pantai dengan deras, seakan-akan ingin menyampaikan khabarnya. Angin pula mengelus rambutku yang dibiarkan rebang sahaja, membelai lembut raut wajahku yang gebu ini, membisik merdu di kupingku seolah-olah ingin mendodoi aku tidur. Pada masa yang sama, sang matahari memancarkan cahayanya. Indah sungguh sehinggakan aku dapat merasakan kehangatannya mengusap-usap dahiku dengan penuh kasih sayang.

Aku menghela nafas panjang lalu membuka mataku. Namun, hanya kegelapan yang menyelubungi diriku yang kerdil ini. Di dalam duniaku yang gelita ini, aku terasa sunyi. Sepi. Betapa indahnya alam ini. Namun akan lebih indah lagi jikalau aku dapat menikmati pemandangannya yang pasti menakjubkan ini. Ciptaan-ciptaan Ilahi yang pastinya murni sekali. Alangkah indahnya ... Namun malangnya, hajatku tidak kesampaian.

Sepanjang hayatku, hanya kesepian dan kekecewaan yang menemani setiap langkah hidupku. Begitu malang nasibku ini. Ditinggalkan ibu sejak dilahirkan, dibiarkan sahaja di hadapan rumah anak yatim piatu dalam kotak buruk, dibuang dengan mudah sahaja. Apakah aku begitu hina sehinggakan tidak layak memiliki cinta seorang ibu? Sepanjang 16 tahun aku diami bumi yang tiada nurnya, aku kemurungan. Aku insan yang serba kekurangan. Aku cacat. Sejak kecil, aku menghidapi penyakit yang menjejaskan penglihatanku buat selama-lamanya. Kadangkala, aku terasa resah gelisah, terkongkong dalam jeruji kehidupanku yang penuh onak duri ini. Adakah ini hanya dugaanMu, Tuhan? Jikalau benar, sungguh berat sekali untuk aku meneruskan perjuanganku dalam mengharungi ujianMu ini. Aku tidak mampu lagi.

Kehidupanku di Rumah Anak Yatim Budiman tidaklah seindah yang aku harapkan. Penghuni-penghuni rumah ini, dari dahulu lagi menyisihkan aku daripada lingkungan sosial mereka. Tidak hairanlah kerana siapalah yang hendak berkawan dengan seorang yang cacat dan serba kekurangan. Sebenarnya, aku tidak pedulikan perihal tersebut tetapi apa yang menusuk di hati yang lelah ini, yang mengguris hati yang sudahpun parah ini, ialah ejekan-ejekan mereka yang tidak berhenti-henti. Selama 16 tahun, aku digelar "si buta". Tiada sumber kekuatan buat aku, tiada kasih sayang yang dicurahkan malah tiada sedikit pun keihsanan di dalam hati mereka yang dapat dilimpahkan buat diri ini. Betapa sepinya aku rasa. Seolah-olah sebatang kara.

Namun, sejak kebelakangan ini aku asyik dikunjungi seorang wanita yang lemah lembut suaranya, seperti irama lagu yang merdu, membelai sanubariku yang sudah lama terseksa. Setiap kali dia melawat aku, dia pasti akan membawa bersamanya makanan ataupun lauk-pauk yang berlainan jenis. Antara semua masakannya, daging rendanglah menjadi kegemaranku. Aroma kelapa yang disangar harum amat menggiurkan.

"Aaliyah," kedengaran suara yang amat aku kenali itu terngiang-ngiang di kupingku. Kemudian, terasa tubuh yang hangat mendakap aku erat-erat. Aku berasa janggal. Buat pertama kali dalam hidupku, aku terasa bunga-bunga kegembiraan semakin mekar berkembang di dalam hatiku. Butir-butir mutiara terlerai daripada benang lingkarannya. Aku tersentuh.

Barulah aku menyedari bahawa masih ada orang yang berperikemanusiaan, yang masih lagi mengambil berat akan golongan yang persis seperti aku. Buat pertama kali dalam seumur hidupku, aku mula mengerti erti kasih sayang dan erti kebaikan. Alangkah indahnya apa yang aku rasakan ketika itu. Selama beberapa bulan ini, Cik Safilah melayani aku dengan lawak jenakanya yang amat mencuit hati. Aku tertawa terbahak-bahak sehinggakan aku dapat merasakan gusiku kekeringan. Aku dapat merasakan bibirku mengukir secebis senyuman yang menonjolkan barisan gigi yang asmaradanta. Aku bahagia.

Beberapa hari telah berlalu pergi, sudah lama tidak aku dengar nada suara Cik Safilah yang merdu itu di rumah ini. Perasaan risau berbaur kecewa mulai berleluasa dalam dadaku. Adakah Cik Safi baik-baik saja? Atau mungkinkah aku puncanya? Mungkinkah aku ditakdirkan keseorangan bersendirian sekali lagi? Dibuang, tidak dihiraukan? Bertubi-tubi soalan terperap dalam benak fikiranku yang kusut-masai ini.

"Aaliyah ... " kedengaran salah seorang penjaga rumah itu memanggil namaku. Lamunanku terhenti buat seketika.

"Kakak ada satu berita yang baik. Ada seseorang yang telah mendermakan matanya kepada awak agar awak dapat melalui pembedahan bagi memulihkan penglihatan awak," sambung pegawai itu. Nadanya, sungguh ceria. Namun, aku dapat merasakan bahawa di sebalik nada yang kedengaran gembira itu, ada sesuatu yang cuba disembunyikan.

Aku tergamam. Apakah benar perkara yang aku dengar itu? Adakah Ilahi mendengar rintihan hatiku selama ini? Selama 16 tahun menantikan sesuatu yang tidak pasti. Akhirnya, tiba masanya. Gerimis terasa mengundang daripada kelopak mataku. Di dalam kegelapan yang menyelubungi diriku ini, cahaya remang-remang mulai menonjolkan diri. Selepas 16 tahun berharap, akhirnya Tuhan memperkenankan doa-doaku yang tidak terhenti. Sesungguhnya aku bersyukur atas nikmat yang diberikan.

Sedang aku masih terlantar di atas katil di hospital, aku cuba membuka mataku perlahan-lahan. Aku kagum. lndahnya alam yang berwarna-warna ini, sesungguhnya ciptaan Ilahi. Terasa titisan air mata mengalir daripada mataku. Aku bebas daripada kegelapan yang selama ini mengongkong aku. Kini tiada batasan lagi. Aku dapat melihat segalanya.

“Aaliyah, keadaan awak baik-baik saja ... Bagaimanakah rasanya?" Seorang doktor menyapa diriku.

Aku mengangguk kepalaku tidak terkata apa-apa. Kemudian, doktor tersebut berkata, "Saya ada sesuatu untuk awak. Daripada orang yang membenarkan semua ini terjadi ... "

Dia menghulurkan surat yang ditulis dengan huruf-huruf Braille kepada aku. Aku membacanya.

“Salam anakku, Aaliyah ... "

Surat yang dahulunya di dalam genggamanku kini terlepas begitu sahaja. Air mataku sudah berkumpul dan bergantungan di dagu. Perlahan-lahan air mataku memberat lalu menitis setitik demi titik membasahi bajuku. Fikiranku bercelaru, kekeliruan menemani kesedihan yang aku rasa. Tidak aku sangka orang yang selama beberapa bulan ini bersamaku, merupakan ibu kandungku sendiri!

Ibu yang dahulunya meninggalkan aku yang kerdil ini keseorangan, telah kembali buat seketika. Meninggalkan aku dengan hadiah berupa pemandangan alam semesta ini. Ibu telah lama menderita penyakit barah. Ternyata masih ada lagi orang yang mencintai aku, walaupun kini dari jauh. Alangkah baiknya, jikalau aku dapat memutarkan kembali waktu agar dapat terus di dalam dakapannya yang erat dan hangat. Agar aku dapat terus merasakan usapannya di dahiku ini. Namun, seseorang itu tidak mungkin memiliki segala-galanya. Memang banyak dugaan yang aku alami satu demi satu. Yang penting, aku sedar bahawa setiap ujian getir pasti ada hikmah di sebaliknya.

Mentari kini dengan perlahan-lahan menyembunyikan diri di sebalik langit yang luas. Malam akan berlabuh tidak lama lagi menghiasi langit yang gelita dengan bintang-bintang yang pastinya berkelipan. Aku menghela nafas panjang. Hati terasa sangat bersyukur dengan apa yang dapat aku nikmati dengan kedua-dua mataku ini. Terima kasih ibu kerana memberi aku kesempatan melihat dunia yang fana ini. 

KARYA: ARIQAH ARMAN
SEKOLAH: SEKOLAH MENENGAH TANJONG KATONG 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan