Images
  • friends generic
    (Gambar hiasan: Nicole Harrington/Unsplash)

#BeliaSG: Memori bersama teman baikku

BERITAmediacorp: Dalam ruangan #BeliaSG minggu ini, pelajar Sekolah Menengah Anderson menulis satu kisah menyayat hati tentang kehilangan seorang sahabat. Namun, di sebalik kisah memilukan, ada satu pengajaran yang boleh kita pelajari.

TUJAHAN cahaya matahari menampar dada bilikku. Keheningan pagi itu menenangkan fikiran, mendamaikan perasaan. Aku bersiap-siap ke sekolah. Terpandang pula bingkai gambar aku dengan Lia. Entah mengapa kenangan bersamanya mula mengusik jiwa. Dialah sahabat karibku namun dia sudah tiada di sisi.

Aku sangat merindui Lia. Memang betullah kata orang: "Insan yang hatinya bersih akan kembali kepadaNya terlebih dahulu." Mataku mula berkaca-kaca.

Lia memang seseorang yang sangat baik. Dia sentiasa menolong rakan-rakan lain tanpa mengharapkan sebarang balasan pun. Hatinya ikhlas, dipenuhi dengan kasih sayang.

Pernah sekali, rakan kami, Rufi, berdepan dengan pelbagai masalah keluarga. Lia yang benar-benar mengambil berat tentang sahabat kami itu. Setiap kali Rufi mengadu tentang ibu bapanya yang asyik bertengkar pada setiap malam, Lia sentiasa siap mendengar rintihannya. Lia juga tidak lokek ilmu.

Aku masih ingat kata-katanya yang pernah membuatku tersentak: "Berbuat baiklah dengan orang lain kerana kasih sayang itu percuma dan tidak boleh dijual beli." Kata-katanya itu masih terngiang-ngiang di telingaku.

Aku melihat sendiri bagaimana Lia ikhlas membantu rakan-rakan lain setiap kali mereka meminta pertolongan untuk menyelesaikan kerja rumah atau mengulang kaji pelajaran. Tidak pernah sekali dia menolak permintaan mereka. Sejak itu, aku amat tertarik dengan hatinya yang sangat ikhlas dan akhirnya menjadi kawan akrabnya.

Suatu hari, Lia masuk ke kelas dengan bayang-bayang kesedihan dan kepiluan tercalit di wajahnya. Dia kelihatan cuba menahan air matanya tetapi matanya tetap bertambah kelam. Akhirnya, bendungan air matanya pecah. Lia meletakkan begnya ke lantai dengan perlahan lalu menutup mukanya dengan kedua-dua belah tangan. Tidak pernah aku melihat Lia sesedih itu. Aku pun menghampirinya.

"Lia, kenapa ini? Jangan menangislah. Beritahu saya apa yang berlaku," bisikku sambil membelai bahunya. Muka Lia kelihatan pucat apabila dia cuba untuk berhenti menangis. Dia cuba mengungkapkan sesuatu.

"Lia... Lia didiagnosis menghidapi penyakit leukemia. Lia tidak tahu berapa lama Lia akan hidup, A'ara," bisik Lia kepada aku. Hatiku bagaikan berkecai seribu apabila menerima khabar buruk itu. Aku terus mendakap Lia. Air mataku jatuh berlinangan. Aku tergamam. Diri ini seperti ingin berteriak namun berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tidak banyak yang kami katakan meskipun duduk bersebelahan. Begitulah gambaran perasaan kami ketika itu.

Masih jelas dalam kotak fikiranku tentang hari itu. Mulutku terkunci, hati terkatup dan tenggelam dalam kepiluan walaupun sudah pulang ke rumah. Awan hitam kelihatan berarak ditiup angin. Hujan berguguran, seolah-olah mencerminkan harapanku untuk terus bersama Lia yang jatuh berderai.

Hairannya, pada keesokan hari, Lia tiba di sekolah dengan mukanya yang kelihatan riang sekali.

"Mengapa Lia gembira sangat? Ada apa-apa yang terjadi semalam?” tanyaku yang sempat kebingungan. Lia hanya menggelengkan kepalanya lalu menguntumkan senyuman manis.

"Lia mahu menolong sesiapa sahaja yang memerlukan. Lia tidak mahu mensia-siakan sisa hidup Lia yang singkat ini dengan membuang garam ke laut," kata Lia lalu terus menyelesaikan kerja sekolahnya.

Aku tidak menyangka seseorang mampu bangkit semula dengan begitu cepat selepas didiagnosis dengan penyakit leukemia. Itulah Lia. Dia selalu berpandangan positif terhadap cabaran-cabaran yang dihadapi dalam hidupnya. 

Sejak hari itu, aku menemani Lia untuk melakukan kerja-kerja sukarelawan, atau selalu disebut-sebut Lia sebagai, "Kerja sebelum aku...". Aku tidak kisah. Jikalau kerja-kerja sukarelawan itu boleh melukis senyuman lebar di wajah Lia, biarlah dia melakukannya dengan sepenuh keikhlasan.

Walaupun kesihatannya semakin memburuk, azamnya untuk membantu orang lain masih kental. Berbulan-bulan kami melakukan kerja sukarelawan sehinggalah pada satu hari itu, Lia mula tidak masuk sekolah.

Aku cuba menelefonnya tetapi tiada sesiapa pun yang menjawab panggilanku. Aku mula panik memikirkan apa yang terjadi kepada Lia. Lantaran itu, setelah sekolah tamat aku terus ke rumah Lia untuk melihat keadaannya. Bermacam-macam yang bermain dalam kotak fikiranku. Aku bimbang.

Setibanya aku di rumah Lia, aku mendapati tiada yang berada di rumah. Sebaliknya, aku disapa jiran Lia.

"Dik, cari Lia? Lia di hospital! Hospital Gerunung. Keadaannya sangat kritikal. Waktu melawat bila-bila masa sahaja," katanya sambil menjenguk dari pintu rumahnya. Mataku terbeliak. Perasaan berkecamuk melanda hati. Aku terus bergegas ke perhentian bas untuk ke Hospital Gerunung.

Sebaik sahaja aku tiba di hospital itu aku mencari wadnya. Aku tidak boleh berfikir dengan waras. Aku berasa seolah-olahnya kakiku terasing daripada tubuh. Aku tercegat di depan pintu wad apabila aku melihatnya terbujur kaku di atas katil. Ibu bapa serta ramai saudara-maranya mengelilinginya. Ada yang menangis dan ada yang sedang memanjatkan doa untuk Lia. Dengan segera aku bersalaman dengan ibu bapa Lia lalu menghampiri Lia.

Kulitnya pucat dan bibirnya langsung tidak berwarna. Keadaan Lia berubah. Aku tidak lagi nampak keceriaannya yang selalu bersinar seterang pancaran matahari. Air mataku menitis dan jatuh ke tangannya yang kaku di atas katil. Lia pergi meninggalkan aku dan semua orang yang dikasihinya.

Menatap wajah Lia dalam gambar itu, mengingatkan aku betapa cerianya Lia dahulu. Dialah yang menunjukkan aku betapa pentingnya berbuat baik dengan orang lain.

Lia, kamu sangat ikhlas. Memang sangat sukar untuk bertemu dengan seseorang yang hatinya seputih kamu. Lia, kawan akrabku, aku berterima kasih kepadamu. Semoga rohmu dicucuri rahmat. Walaupun kita sudah berpisah di dunia yang fana ini, aku berdoa agar kita berjumpa semula di akhirat kelak!

KARYA: NUR AQIDAH AZHARI
SEKOLAH: SEKOLAH MENENGAH ANDERSON  

- BERITAmediacorp/aq

Top