Images
  • pusara abadi
    (Gambar fail: Google Maps)

#BeliaSG: Kesempatan Kedua

BERITAmediacorp: Pasti ada seseorang dalam hidup anda... yang mendengar namanya sahaja cukup membangkitkan sejuta rasa benci dan marah. Tapi bagaimana jika seseorang itu adalah ayah kita sendiri? Wajarkah berdendam? Ayuh baca hasil karya Sigrid Elvina Huisen dari Sekolah Menengah Anderson.

I

DERINGAN telefon memecah keheningan malam. Ibu tenat di hospital.

Saat mendapat khabar, aku langsung bergegas untuk bertemunya. Diri ini didera kebimbangan, takut kehilangan insan yang dicintai. Kepala pula sakit digayuti keserabutan. Apa yang terjadi kepada Ibu?

Akar persoalan yang belum terlerai membuatku terus bertubi-tubi bertanya tentang apa yang terjadi sebaik sahaja melihat Papa. Dia berjongkok di hadapan bilik pembedahan dan kelihatan kusut sekali.

Belum sempat Papa mengungkapkan apa-apa, aku beralih pandang.

“Ibu kamu tidak dapat diselamatkan. Beliau mengalami pendarahan otak akibat kemalangan jalan raya,” kata doktor.

Namun yang menusuk tajam ke lubuk sukma adalah ketika aku mendapat tahu, Papa penyebab Ibu meninggalkan Aku!

Dia memandu dalam keadaan mabuk!

Ada peribahasa Melayu berbunyi... tangan mencencang bahu memikul. Tapi mengapa Ibu menanggung akibat kesilapan Papa? Panas relung dadaku bagaikan terbakar. Kebencian terhadapnya memuncak.

Aku membentak-bentak. Tatapan Papa pula kosong. Dia cuba memegang tanganku. 

“Nad… Nad… Papa… minta…”

Aku melepaskan tanganku daripada genggaman Papa. Benci! Aku tidak mahu lagi mendengar suara atau melihat wajahnya. Akhirnya, aku memutuskan untuk meninggalkan rumah.

II

Lapan tahun aku tidak pulang. Sejak aku lulus peperiksaan peringkat ‘A’ dan mendapat biasiswa ke Universiti Cambridge, tidak pernah terdetik di hati untuk bertemu dengan Papa lagi.

Aku tidak membiarkan peristiwa pahit itu terus menikam diri. Aku menyibukkan diri dengan bekerja syif malam sebagai seorang doktor pelatih. Zamin, seorang doktor pelatih dari Singapura juga, bertugas bersama aku.

“Nad, wajahmu kelihatan lelah. Aku rasa kau perlu berehat,” Zamin menghampiri aku sambil membawakan aku secangkir kopi.

“Aku baik-baik sahaja. Pesakit di wad 708 sudah kau periksa?”

Aku berusaha untuk kelihatan baik-baik sahaja walaupun memang aku berasa lelah.

“Belum.”

“Baiklah, kalau begitu biarkan aku periksa pesakit itu.”

Dalam perjalanan menuju ke wad 708, aku merasakan tubuhku sangat lemah. Aku cuba lawan rasa itu tetapi semasa aku memeriksa pesakit, aku tewas.

III

“Nadya! Nadya!”

Kedengaran suara Doktor Christine, seorang doktor kanan yang bertugas di hospital sama.

Aku mendapati diriku terbaring atas katil di bilik rehat doktor dan dikelilingi rakan-rakan kerja.

“Istirahatlah, Nadya. Ambil cuti beberapa hari,” nasihat Doktor Christine.

Aku mengangguk sahaja. Namun aku sangat hairan sebab mengapa aku pitam. Selama ini daya tahan tubuhku kuat. Laporan pemeriksaan kesihatanku pun baik. Kenapa aku tiba-tiba pengsan?

Keesokan harinya, aku memutuskan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh.

IV

Aku terperanjat. Leukemia tahap empat. Tanpa kusedari, kertas laporan pemeriksaan kesihatan sudah dibasahi air mataku. Tidak mungkin! Apakah ini takdir?

Aku memutuskan untuk tidak memberitahu sesiapa tentang perkara ini tetapi tahap kesihatanku terus merosot. Aku berusaha mencari penderma tulang sumsum di seluruh Eropah, tetapi tidak menemukan seseorang yang sesuai.

Aku berhasil merahsiakan penyakit leukemia ini sehingga satu hari, aku pengsan sekali lagi ketika sedang memeriksa pesakit. Aku koma. Aku dalam keadaan kritikal dan segera memerlukan seorang penderma.

V

Dua minggu berlalu, akhirnya aku sedar. Aku dirawat dalam unit jagaan rapi. Beberapa orang temanku menangis ketika menziarahiku.

“Nad, kenapa kau tidak memberitahu aku?” Lucy, teman karibku, menangis tersedu-sedu di sisi katil.

“Aku masih hidup? Siapa penderma itu, Lu?”

Rakan-rakanku terdiam seribu bahasa. Pada masa itu aku melihat Doktor Christine masuk dan mendekatiku. Beliau menghulurkan sepucuk surat dalam sampul berwarna merah dengan namaku tertera di atasnya.

Kulihat nama pengirim surat itu yang tidak lain tidak bukan ayahku sendiri. Hati ini bagai ditusuk pedang ketika membaca tulisan tangan Papa yang tidak rapi. 

Sayangku, Nadya,

Apa khabar Nadya? Papa rindu sangat akan Nadya. Papa telah menunggu kepulangan Nadya sejak Nadya meninggalkan Papa 10 tahun yang lalu. 

Minggu lepas, Profesor Nadya memberitahu Papa bahawa Nadya memerlukan seorang penderma tulang sumsum kerana Nadya menghidapi penyakit leukemia tahap empat.

Papa cepat-cepat terbang ke mari untuk menolong Nadya. Ternyata, Papa sesuai menjadi penderma Nadya. Namun, doktor berkata bahawa Papa tidak boleh menjadi penderma kerana Papa menghidapi penyakit jantung dan boleh membahayakan nyawa Papa. Papa memaksa doktor untuk tetap menyelamatkan Nadya.

Nadya, Papa sangat sayangkan Nadya. Ketika Nadya menerima surat ini, mungkin Papa sudah tidak berada di sisi Nadya lagi. Namun Papa pasti Nadya sudah terbiasa dengan keadaan itu.

Hanya, Papa mahu Nadya tahu bahawa Papa tidak pernah memaafkan diri Papa sejak kemalangan jalan raya 10 tahun yang lalu. Disebabkan kecuaian Papa, Mama meninggalkan kita. Cuma satu sahaja harapan Papa, Nadya tolong maafkan Papa, ya?

Terima kasih kerana telah menjadi penerang dalam hidup Papa. Terus bersinar mentariku! Jangan pernah menyerah!

Salam sayang,
Papa tercinta

Aku tidak dapat menahan emosiku. Aku merasakan kesedihan yang teramat menyelubungi diriku. Aku tidak sempat memohon keampunan daripada Papa. Aku tidak dapat mendengar suaranya lagi. Nadya salah! Nadya yang harus minta maaf, Pa!

Selama ini, aku selalu mencari alasan supaya tidak pulang ke Singapura untuk menjenguk Papa. Semua surat dan panggilan telefon daripada Papa tidak pernah aku balas.

Berbeza bagi Papa, dia sanggup bergegas ke UK sebaik sahaja menerima khabar buruk mengenai aku. Malah, Papa telah mengorbankan nyawanya demi melihat aku terus hidup.

Hari itu sepatutnya menjadi hari paling gembira bagiku kerana aku diberikan peluang untuk hidup. Namun, pada masa yang sama hari itu juga paling sedih bagiku kerana mengingatkan aku akan kasih sayang orang tua yang tiada tolok bandingnya.

Lebih memilukan, nyawa bapaku menjadi harga yang paling mahal untukku menyedari itu.

Terima kasih, Pa, kerana memberi Nadya kesempatan kedua untuk hidup. Nadya berjanji akan terus membanggakan Papa. Nadya tidak akan pernah dapat membalas kasih sayang Papa sebab hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati.

KARYA: SIGRID ELVINA HUISEN
SEKOLAH: SEKOLAH MENENGAH ANDERSON  

- BERITAmediacorp/aq

Top