Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

#BeliaSG: Kebenaran yang Terbukti

Jika dituduh melakukan kesalahan, pastinya dunia terasa kacau-bilau. Apatah lagi apabila kekalutan berlaku tanpa diduga. Itulah isi karya pelajar dalam ruangan #BeliaSG minggu ini. Bagaimana jika anda sendiri terjerat dengan tuduhan tanpa disangka-sangka? Lari jauh atau mempertahankan diri?

Anggaran Waktu Membaca:
#BeliaSG: Kebenaran yang Terbukti

(Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 12 Feb 2019 09:18PM Dikemas Kini : 12 Feb 2019 10:01PM

BERITAmediacorp: Jika dituduh melakukan kesalahan, pastinya dunia terasa kacau-bilau. Apatah lagi apabila kekalutan berlaku tanpa diduga. Itulah isi karya pelajar dalam ruangan #BeliaSG minggu ini. Bagaimana jika anda sendiri terjerat dengan tuduhan tanpa disangka-sangka? Lari jauh atau mempertahankan diri?

AKU duduk bersandar di kepala katil sambil merenung ke luar jendela. Sang suria memancarkan sinarnya dan menyinari bilikku. Riangnya kicauan burung-burung yang terbang memecah keheningan pagi.

Aku sempat tenggelam dalam khayalan. Namun, tatkala melihat kereta api bergerak laju di latar keindahan kawasan perumahan, benak fikiranku melencong jauh.

Pada ketika itu, aku berbelanja di sebuah pusat beli-belah bersama rakan-rakan. Kami sehari suntuk meluangkan masa bersama dan tanpa aku sedari, masa berlalu dengan pantas. Sudah jam 7.00 malam.

Matahari yang sebelumnya menyinar terik bagaikan bebola api besar sudahpun terbenam. Dengan hati yang berat, kami berpisah lalu pulang ke rumah. Aku berjalan menuju ke stesen MRT terdekat bersama rakan baikku, Adam, yang tinggal di blok bersebelahan rumahku.

Keadaan di stesen MRT agak riuh-rendah kerana sesak dengan penumpang lain. Bau badan yang kurang menyenangkan menusuk hidung. Namun, semua itu tidak aku endahkan kerana sudah terlalu mengantuk. Setiap detik yang berlalu membuatkan aku ingin terlena. Apatah lagi perjalanan MRT yang perlahan seperti mendodoi-dodoikan aku supaya tidur lena.

Tidak semena-mena, aku dikejutkan oleh jeritan seorang wanita tua yang berdiri di hadapanku. Jeritannya yang nyaring membuat bulu roma meremang. Mata rakanku terbeliak. Aku yang tadinya dibuai mimpi, bagaikan digoncang-goncangkan.

Wanita lanjut usia itu menuduh aku mencuri dompetnya. Suaranya yang lantang membuat penumpang lain ikut terkejut. Aku dapat merasakan perhatian mereka tertumpu pada kami. Namun, aku sendiri bingung. Pelbagai soalan berada di benak fikiranku.

Apa yang sudah aku lakukan? Bukankah aku tadi tidur? Begitu juga dengan rakanku, Adam? Jantungku berdegup kencang, seakan-akan mampu memecah rangka dada.

"Saya tidak mencuri dompet Mak Cik!” Aku cuba menenangkannya. Aku cuba meyakinkannya bahawa aku sama sekali tidak tahu-menahu tentang dompetnya.

"Bohong!"

Aku terasa dihina. Aku tidak mengerti mengapa wanita itu menuduhku tanpa sebarang bukti. Orang ramai mula mengerumuni kami. Aku bingung. Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan.

Entah mengapa pandanganku tertarik kepada seorang pemuda yang berdiri di hujung gerabak kereta api. Dia seorang sahaja yang berpeluk tubuh dan mengalihkan pandangannya ke lantai. Separuh wajahnya tertutup dengan topi yang dipakai. Dia gelisah, asyik menyeluk saku seluarnya yang gelembung.

Firasatku mengatakan dialah pencurinya. Gerak-gerinya mencurigakan. Aku tidak teragak-agak menuding jari dan menjerit ke arahnya. Panas relung dadaku bagaikan terbakar. Aku merenungnya.

Dia seperti tidak kena gaya. Malah, kurang beberapa saat kemudian, dia berlari lintang-pukang untuk menyelamatkan diri. Dalam kekalutan itu, sebuah dompet wanita yang berwarna merah jambu jatuh tercicir ke lantai. Sepantas kilat, aku berlari ke arahnya.

Memandangkan aku merupakan seorang pemain bola lantai, aku cuba memanfaatkan kepantasanku. Adam turut mengejar pencuri itu sambil menjerit untuk meminta bantuan orang ramai agar menangkapnya.

Selepas beberapa minit mengejarnya, dia semakin penat. Aku menggunakan peluang keemasan itu untuk menjatuhkannya dengan kakiku. Dia meraung kesakitan.

Sekali lagi, orang ramai menghampiri aku tetapi kini mereka memberikan sorakan dan tepukan kepada kami kerana berjaya menewaskan pencuri itu. Aku bersyukur kerana semuanya sudah selesai. Wanita yang awalnya asyik menuduh kami, datang tersipu-sipu untuk meminta maaf.

Aku dan Adam tidak sesekali cuba untuk bertengkar dengan wanita itu. Syukur kebenaran berada di pihak kami, bak peribahasa berani kerana benar, takut kerana salah.

KARYA: HILAL ZURAIMI
SEKOLAH: SEKOLAH MENENGAH TANJONG KATONG 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan