Images
  • girl student generic
    (Gambar fail: Koh Mui Fong/TODAY)

#BeliaSG: Kasih Sayang Seorang Ayah

BERITAmediacorp: Di sebalik setiap kejayaan, pasti ada kenangan manisnya. Bagi pelajar ini, pengorbanan Ayah menjadi pembakar semangat. Tulisan pelajar ini juga menimbulkan satu persoalan - masih adakah yang memandang serong terhadap mereka yang tidak berdaya menjalani kehidupan mewah di negara ini?

SETIAP langkah memberi nikmat kepuasan batin. Akhirnya, aku berjaya! Di hadapanku adalah segulung ijazah yang aku mengidam-idamkan sejak dahulu lagi demi merubah nasib kehidupan aku dan Ayah.

Tatkala ijazah berada dalam genggaman, aku menoleh mencari Ayah dari atas pentas. Dialah yang berada di sisiku pada masa-masa sukar. Dia juga melihat sendiri bagaimana puterinya ini bangkit semula setiap kali berdepan dengan kegagalan. Senyuman lebar terukir di wajah, kolam mata mula berkaca. Di atas semua pencapaianku ini, yang paling menyentuh sanubari adalah kejayaanku membuat Ayah bangga.

Kenangan, setiap detik bersama ayah pula mula mengusik jiwa...

"Nadya sudah makan?" tanya Ayah dengan nada yang sangat lembut.

Aku berhenti melakukan kerjaku lalu memandang wajah Ayah yang kelihatan begitu penat. Aku tahu Ayah diam-diam berharap aku sudah makan kerana duit perbelanjaan bulan itu sudah hampir habis. Aku terpaksa berbohong kepadanya.

Dia tersenyum lalu mengusap rambutku sambil mengucapkan selamat malam. Aku melihat Ayah beredar dari bilik. Perut mula berkeroncong kerana terasa lapar. Semua duit sudah habis dibelanjakan untuk membeli buku-buku dan alat tulis. Bagaimana mahu membeli makanan?

Aku mengeluh bersendirian. Bilakah nasib kami akan berubah? Setelah pemergian Ibu kira-kira dua tahun lalu, kami menempuhi pelbagai rintangan. Ayah terpaksa kerja siang dan malam. Rumah kami terpaksa dijual dan kami tinggal di rumah sewa.

Jujur, aku amat sangat cemburu dengan rakan-rakan lain yang menurutku amat bertuah. Mereka dapat membeli beg dan kasut sekolah baru setiap tahun, tetapi aku pula hanya menggunakan beg sekolah pemberian orang.

Namun, semua itu tidak mematahkan semangatku. Aku bertekad untuk bekerja keras dan mencapai kejayaan. Aku ingin membalas semua jasa Ayah. Pengorbanannya tidak ternilai. Ayah tidak pernah sekalipun menyindir atau memarahi aku. Dia seorang yang penyabar dan penyayang - sama seperti Ibu.

Pada suatu hari, sedang aku berjalan pulang ke rumah, aku sedar bahawa tapak kasut aku sudah terkopak. Aku mengeluh. Sudah tiga kali perkara itu berlaku. Gam yang digunakan tidak melekat lagi. Aku tidak sampai hati hendak meminta ayah wang untuk membeli kasut baru.

Tiba-tiba, aku mendengar beberapa bisikan. Aku menoleh ke belakang. Alangkah terkejutnya apabila melihat rakan-rakan kelas menyindir tentang penampilan aku.

"Eee, lihat kasutnya."

"Aku tahu! Memalukan sahaja."

"Betul tu. Gelilah aku tengok dia. Bajunya pun tidak senonoh."

Hatiku berasa sedih. Mengapakah mereka harus menyindir aku sebegitu? Juraian air mata mengalir lalu meleleh di lurah pipi.

Aku tidak mengendahkan mereka tetapi sindiran itu menikam terus ke jantung. Fikiran mula bercelaru - nak marah atau berdiam diri.

Tidak disangka-sangka sepasang tangan memeluk tubuhku yang kecil dengan sangat erat. Aku seolah-olah terus ingin melawan. Namun, setelah melihat wajah insan yang memelukku, rasa gembira meruap di dada.

"Nadya, ayah minta maaf kerana tidak mampu memberi Nadya kehidupan yang selesa, jauh sekali yang mewah. Ayah tidak suka melihat keadaan Nadya begini. Ayah berharap Nadya akan menjadi seorang anak yang solehah dan akan belajar bersungguh-sungguh untuk membuktikan kepada mereka bahawa kita boleh mengubah nasib kita. Ayah percaya Nadya boleh melakukannya."

Titisan air jernih jatuh berguguran dari sudut mata. Aku memeluk ayah walaupun pakaian seragam kerjanya amat kotor. Semua itu tidak aku pedulikan. Aku memandang mata Ayah yang berkaca-kaca.

Pada saat itulah aku sedar betapa Ayah menyayangi diriku. Aku sedar dan insaf serta tahu apa yang akan aku lakukan apabila aku besar nanti. Aku ingin membuat Ayah bangga akan diriku. Aku ingin memberinya kehidupan yang senang dan bahagia.

Apabila aku menatap wajah Ayah dengan segulung ijazah dalam genggaman, aku teringat akan detik yang sama pada sebelas tahun lalu.

Aku tersenyum. Selepas ini, aku yakin dapat memberikan kehidupan selayaknya bagi Ayah yang sudah bertahun-tahun berkorban untuk diriku.

Terima kasih, Ayah! ♥ 

KARYA: NUR BATRISYIA HASRIN
SEKOLAH: CHIJ ST. JOSEPH'S CONVENT (2017)

Pusat EMAS-Sekolah Menengah Anderson

- BERITAmediacorp/aq

Top