Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

#BeliaSG: Impian Tercapai

Mampukah minat membawa kita ke menara gading? 'Ibu' dalam karya ini tidak berfikir sedemikian. Beliau tidak percaya, minat terhadap muzik akan menjamin masa depan anaknya. Anda setuju dengan fikiran seperti ini?

Anggaran Waktu Membaca:
#BeliaSG: Impian Tercapai

(Gambar hiasan: Nuria Ling/TODAY)

Diterbitkan : 25 Feb 2020 08:45PM Dikemas Kini : 25 Feb 2020 08:50PM

BERITAmediacorp: Mampukah minat membawa kita ke menara gading? 'Ibu' dalam karya ini tidak berfikir sedemikian. Beliau tidak percaya, minat terhadap muzik akan menjamin masa depan anaknya. Anda setuju dengan fikiran seperti ini?

GEMBIRA namun kecewa. Itulah perasaan Amelia semasa dia menerima tepukan gemuruh setelah selesai persembahannya. Dengan senyuman yang manis, dia mengucapkan terima kasih kepada hadirin sebelum beredar ke belakang pentas. Namun, di sebalik senyuman itu, terdapat perasaan yang sedih berbaur kecewa.

“Tahniah, Amelia! Saya berasa amat bangga ketika melihat awak membuat persembahan itu. Satu persembahan yang amat baik,” ucap Roslin penuh teruja sambil menghadiahkannya sejambak bunga ros.

Amelia menyambut hadiah tersebut dengan senyuman yang tipis. Dengan segera, Roslin memeluk tubuh Amelia dengan erat. Roslin tahu bahawa Amelia sebenarnya sedang menyembunyikan perasaannya yang sebenar.

“Janganlah awak menangis, Amelia. Saya sudah menasihati awak supaya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Awak tahu dia tidak akan datang,” kata Roslin dengan nada yang penuh dengan simpati.

Amelia hanya menundukkan kepalanya dan cuba untuk menahan air matanya.

Ibu... Kenapalah Ibu benci sangat terhadap Amelia? Amelia tahu Amelia telah melakukan suatu kesilapan yang amat besar. Namun, sampai hati Ibu mengusir Amelia daripada kehidupan Ibu.

Dia pun mula mengimbas kembali sebuah peristiwa silam dalam kehidupannya.

Amelia berdiri di atas pentas. Di hadapannya, terdapat lima orang pengadil. Mereka akan menilainya untuk persembahan muziknya. Jika lulus, dia akan dapat meneruskan pengajian dalam bidang muzik ke peringkat diploma.

Menariknya, dia berpeluang mendapat tawaran untuk memasuki akademi muzik jika lulus dengan cemerlang. Seorang daripada panel pengadil merupakan guru akademi muzik tersebut dan ingin mencungkil bakat peserta-peserta tersebut. Setelah menarik nafas dalam, Amelia pun memainkan lagu pilihannya.

Sudah dua bulan Amelia menunggu keputusan ujian muziknya. Dia menggenggam surat itu dengan erat. Dengan tangan yang menggeletar, Amelia membuka surat itu dengan perlahan-lahan. Hatinya bersorak tatkala membaca isi kandungan surat tersebut.

Dia ditawarkan tempat di akademi tersebut. Bukan sahaja dia diterima oleh sekolah tersebut, namun, dia juga dianugerahi biasiswa atas kecemerlangannya.

Dengan gembira, Amelia memberitahu ibunya tentang biasiswa tersebut dan keinginannya untuk menyertai akademi muzik itu. Alangkah terkejutnya Amelia apabila ibunya terus menentang keputusannya itu lalu memarahinya.

“Tidak! Ibu tidak setuju! Kamu layak untuk memasuki sebuah maktab rendah tetapi kamu memilih untuk memasuki sebuah akademi muzik?” tengking Ibu.

Namun dalam diam, Amelia tetap menulis sebuah e-mel kepada akademi muzik tersebut untuk menerima tawaran mereka. Dia merahsiakan perkara tersebut daripada ibunya dan berbohong kepadanya.

Bukannya Ibu akan tahu perbuatannya itu. Ibunya jarang berada di rumah kerana dia terlalu sibuk dengan pekerjaannya yang memerlukannya untuk ke luar negara.

Amelia belajar di akademi itu tanpa pengetahuan ibunya. Disebabkan dia seorang penerima biasiswa, dia berpeluang tinggal di asrama akademi itu.

Namun, semua itu berubah apabila ibunya mendapat tahu bahawa Amelia sebenarnya sedang belajar di akademi muzik tersebut. Ibunya pulang ke rumah pada suatu hari dan ternampak sepucuk surat dari sekolah tersebut.

Dengan perasaan curiga, ibunya membuka surat tersebut dan mendapati bahawa anaknya rupa-rupanya sedang belajar di akademi muzik tersebut. Pada hari itu juga, Amelia pulang ke rumah untuk mengambil sesuatu. Muka ibunya menjadi merah padam tatkala melihat Amelia tercegat di depan pintu rumah.

“Berani kau membohongi Ibu! Keluar dari rumah ini! Ibu tidak mahu melihat muka kau lagi!” tengking ibunya sebelum melepaskan satu tamparan yang kuat di pipi Amelia.

Kata-kata ibunya yang kasar itu mengguris hati Amelia. Titisan-titisan air mata mengalir dari kelopak matanya. Amelia melutut di hadapan ibunya sambil merayu diberikan peluang untuk memberi penjelasan.

Bagaimanapun, ibunya langsung tidak menghadap mukanya dan menolaknya keluar dari rumahnya.

Dengan hati yang berat, Amelia kembali ke asrama. Beberapa bulan kemudian, Amelia cuba untuk mencari pekerjaan untuk menampung kos perbelanjaan. Ibunya sudah berhenti memberinya duit setiap bulan.

Amelia bekerja keras di sebuah kafe yang berdekatan dengan asramanya pada setiap hujung minggu. Walaupun gajinya tidak besar, cukup untuk menampung perbelanjaannya semasa di akademi tersebut.

Di akademi tersebut, Amelia berkawan dengan Roslin. Roslin banyak menolongnya dalam pelajaran. Setiap kali mereka ada kelas tambahan dan Amelia tidak dapat menghadirinya, Roslin akan sentiasa memberikan nota-notanya kepada Amelia. Roslin juga sentiasa memujuknya apabila dia berasa sedih dan teringat akan ibunya.

Sudah banyak kali Amelia merayu kepada ibunya untuk menerimanya kembali namun ibunya tetap berkeras hati. Pernah sekali Amelia pulang ke rumahnya untuk meminta pengampunan daripada ibunya. Namun, ibunya hanya berlagak seperti dia tidak mengenali Amelia dan menghempas pintu rumah tersebut di depan mukanya.

Satu tepukan yang kuat hinggap di atas bahu Amelia, mengejutkannya daripada lamunannya.

“Jauh kau termenung. Jomlah balik,” Roslin mengajak Amelia, sambil menolong Amelia bangun dari kerusinya itu. Dalam kesedihannya itu, Amelia berdoa agar pintu hati ibunya akan terbuka untuk memaafkannya dan menerimanya kembali.

KARYA: NUR IFFAH MOHAMED AZHAR
SEKOLAH: SEKOLAG MENENGAH YISHUN TOWN 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan