Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

#BeliaSG: Ikhlas Mencintai

Fikiran pasti bercelaru setiap kali melalui perubahan besar dalam kehidupan. Bagi bakal mempelai ini, selepas lama menjalin hubungan, dugaan besar menimpa mereka. Karya ini mungkin ditulis seorang pelajar tetapi terselit satu pengajaran yang boleh menjadi peringatan buat semua.

Anggaran Waktu Membaca:
#BeliaSG: Ikhlas Mencintai

(Gambar hiasan: Goh Chai Hin/AFP)

Diterbitkan : 30 Jul 2019 10:51PM Dikemas Kini : 30 Jul 2019 10:58PM

BERITAmediacorp: Fikiran pasti bercelaru setiap kali melalui perubahan besar dalam kehidupan. Bagi bakal mempelai ini, selepas lama menjalin hubungan, dugaan besar menimpa mereka. Karya ini mungkin ditulis seorang pelajar tetapi terselit satu pengajaran yang boleh menjadi peringatan buat semua.

“AHMAD, bila nak kahwin dengan Aisyah tu? Kamu berdua sudah lama bercinta. Tujuh tahun kan?” ujar Ibu Ahmad yang sambil-sambil membaca surat khabar.

Ibunya sudah lama menunggu untuk mendapatkan seorang menantu. Dia pun tidak sabar untuk menimang cucu. Namun, Ahmad terdahulu ingin mendapatkan pekerjaan tetap. Dia ingin membiayai majlis perkahwinannya sendiri tanpa membebani ibu bapanya.

“Aisyah faham,” jawab Aiman sambil melemparkan senyuman manis kepada Ibu.

Ibunya pun menganggukkan kepalanya dan terus membaca surat khabar tetapi bayang-bayang kesedihan tercalit di wajahnya.

Ahmad dan Aisyah berkenalan sejak menuntut di Maktab Rendah Nanyang. Mula-mula berkawan, tiba-tiba jatuh cinta pula. Semakin hari, semakin rapat, dan mereka pun bersetuju memberitahu ibu bapa mereka tentang hasrat mereka untuk bertunang selepas dua tahun berkawan.

Namun, Ahmad pun ada keinginan untuk mendapatkan kerja selepas menjalani Perkhidmatan Negara dan melanjutkan pelajaran sehingga ke menara gading sebelum berkahwin. Kedua-dua pihak berbincang dan akhirnya bersetuju dengan keputusan Ahmad. Aisyah pun dengan rela menerimanya.

Selepas dua tahun bekerja, menjimat wang dan menyimpan duit untuk majlis perkahwinannya, wang yang disimpannya akhirnya cukup untuk membiayai sekurang-kurangnya 50 peratus kos majlis perkahwinan. Lagi 50 peratus akan dibiayai oleh ibu bapanya dan pihak perempuan.

Pihak bakal mempelai lelaki sama-sama duduk berbincang dengan pihak perempuan tentang majlis perkahwinan.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk tentang:

  • Baju perkahwinan iaitu baju kurung cekak musang bagi pengantin lelaki manakala gaun putih bagi pengantin perempuan. Manik-manik akan dijahit pada gaun tersebut untuk membuatnya kelihatan gah dan lebih cantik. Baju kurung pula akan ada corak yang diperbuat daripada jahitan benang emas di bahagian saku di dada.
  • Pelamin: Pelamin akan dihiasi dengan bunga-bunga dan kerusi seperti takhta. Pelamin akan berwarna putih dan merah jambu, mungkin juga tersedia lampu yang akan digantung dan diletakkan di semua sudut untuk menerangi pelamin tersebut.
  • Tempat majlis: Majlis pernikahan dirancang untuk diadakan di bilik serba guna di SAFRA Yishun. Tempat itu akan dapat menampung lebih daripada lapan puluh orang dan juga berhawa dingin. Majlis walimah pula akan diadakan di dewan serba guna di tempat yang sama tetapi dapat menampung lebih daripada lima ratus orang jemputan.

“Haa… apa perasaan Ahmad sekarang? Lagi beberapa bulan sahaja majlis akan diadakan. Akhirnya, emak akan dapat seorang menantu!” kata ibu Ahmad, girang.

Ahmad dan Aisyah sangat teruja dengan idea yang dikongsi wedding planner pilihan mereka. Berkobar-kobar dibuatnya. Kerja sudah dapat, ibu pun gembira. Ahmad benar-benar bersyukur atas rezeki yang melimpah.

“Ahmad okay tak ni? Mak tengok, Ahmad asyik termenung jauh sejak beberapa hari ni,” tanya ibu kepada Ahmad.

Semenjak dua menjak ini, Ahmad tidak lagi riang dan ceria. Ibunya risau, takut kalau anaknya ingin putus tunang. Hanya tinggal beberapa bulan sahaja sebelum berlangsungnya majlis pernikahannya. Kalau ditanya, Ahmad hanya akan menjawab yang dia “baik-baik sahaja” dan dia “letih kerana ada banyak kerja”.

Tunangnya pun berasa khuatir. Pada Aisyah, Ahmad ialah seseorang yang selalu membuat lawak dan akan cuba sedaya upaya untuk membuatnya tersenyum. Namun sekarang, Ahmad banyak berdiam, tidak ceria seperti biasa dan tidak membuat lawak. Apabila ditanya, jawapan sama yang akan diberikan.

Ahmad sebenarnya sangat tertekan dengan kerjanya, banyak sangat yang perlu disiapkan dan dihantar mengikut jadual. Kadang-kala Ahmad perlu kerja lembur hanya untuk menghabiskan dokumen-dokumen tersebut. Itu yang membuatnya berasa letih dan tidak bermaya.

Dua minggu sebelum majlis persandingan mereka, Ahmad sedang menunggang motosikalnya menuju ke tempat kerja.

Dalam perjalanan, banyak perkara yang membelenggu fikirannya. Motornya ke kiri dan ke kanan. Ahmad menggelengkan kepalanya lalu menoleh ke kanan untuk memeriksa keadaan lalu lintas sebelum membelok. Alangkah terkejutnya apabila lampu daripada kereta menyala di sebelahnya. Dalam sekelip mata, Ahmad tercampak lalu terbujur di atas jalan raya - berlumuran darah. Motorsikal dan visor topi keledar Ahmad berkecai di jalan raya.

Di hospital, Ahmad disahkan lumpuh kedua-dua kakinya. Ibunya dan Aisyah tidak percaya apa yang terjadi kepada Ahmad. Air mata menitis dari kedua-dua wanita yang mencintainya apabila melihat badan Ahmad yang tidak bergerak itu. Malang sungguh kerana perkara ini berlaku kepada Ahmad beberapa minggu sebelum majlis perkahwinannya.

“Ahmad tidak perlu risau, Aisyah akan tetap di sisi Ahmad walau bagaimana besar pun masalah yang dihadapi,” bisik Aisyah kepada tunangnya yang masih terlentang di atas katil hospital.

Selepas Ahmad sedar, Aisyah dan keluarganya terus memberi sokongan agar dia dapat menerima hakikat. Mereka membuatnya berasa tenang, memberi jaminan semua akan berjalan dengan lancar termasuklah majlis perkahwinannya. Ahmad hanya mampu tersenyum.

Hari demi hari, Ahmad mula redha dengan dugaan yang ditimpanya. Daripada perasaan sedih yang teramat, ia menjadi perasaan redha dan tabah untuk hidup dengan cabaran baharu ini. Akhirnya, 24 Oktober pun tiba, hari pernikahan mereka.

Walaupun Ahmad terpaksa duduk di kerusi roda, dia tetap gembira dia dapat bernikah dengan cinta hatinya. Dia tersentuh Aisyah masih bersetuju untuk berkahwin dengannya walaupun dengan keadaannya yang lumpuh itu.

Agak berbaloi juga menunggu dua tahun untuk mengahwini seseorang yang setia bersamanya.

KARYA: MUHAMMAD NABIL JASIMAN
SEKOLAH: SEKOLAH MENENGAH ANG MO KIO 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan