Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

#BeliaSG: Hadiah Daripada Nenek

Keheningan malam bertukar wajah apabila disertai titik-titik hujan bertali temali dari langit dan angin malam yang bertiup sayu. Aku duduk di atas katilku sambil memegang sesuatu yang amat bermakna bagi aku, iaitu sebuah pita rakaman usang yang diselaputi habuk.

Anggaran Waktu Membaca:
#BeliaSG: Hadiah Daripada Nenek

(Gambar hiasan: Spencer Platt/AFP)

Diterbitkan : 18 Sep 2018 08:46PM Dikemas Kini : 18 Sep 2018 09:43PM

BERITAmediacorp: Keheningan malam bertukar wajah apabila disertai titik-titik hujan bertali temali dari langit dan angin malam yang bertiup sayu. Aku duduk di atas katilku sambil memegang sesuatu yang amat bermakna bagi aku, iaitu sebuah pita rakaman usang yang diselaputi habuk. Pita itu merupakan sebuah hadiah daripada nenekku yang aku sanjung. Tidak aku menyangka sebuah pita rakaman yang kecil mampu meninggalkan nostalgia yang hampir tenggelam dibungkus waktu dan membawa kembali gelombang perasaan yang berdebur keras di pantai hatiku. Semuanya berlaku 20 tahun yang lalu.

Sekolah sudah tamat. Kebanyakan pelajar sudah pulang. Aku sedang mengemas beg. Tiba-tiba, kesepian suasana dipecahkan oleh perbualan dan hilai tawa yang menikam gegendang telinga. Aku mencuri pandang dan melihat rakan sekelasku, Lina menggunakan sebuah pita rakaman dan dua rakannya sedang mengelilinginya dengan perasaan kagum terpapar pada wajah mereka. Lina amat bertuah mendapat pita rakaman itu. Itulah trend yang terbaharu masa kini. Kesedihan mula menyelimuti aku dan aku ingin sangat mencuba pita rakaman itu.

"Lina, boleh saya cuba pita rakaman awak?" aku memberanikan diri bertanya Lina.

"Tak boleh! Saya tidak mahu pita rakaman ini rosak nanti. Awak mintalah ibu bapa awak belikan." Kata-kata Lina itu benar-benar membuat aku membisu seribu bahasa.

Ibu bapaku telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya ketika aku berumur empat tahun. Dalam sekelip mata, aku menjadi anak yatim piatu. Neneklah yang mengambil tempat ayah dan ibuku. Nenek yang telah membela aku dan membesarkan aku. Hanya Nenek seorang tempatku berlindung dan menumpang kasih.

Sepanjang hari itu, aku ingin sekali meminta Nenek membelikan sebuah pita rakaman seperti Lina. Tetapi, setiap kali aku cuba, perdu hatiku bagaikan bergayut dengan sebeban debaran. Aku tidak mampu.

Ketika sedang makan malam dengan Nenek, aku berjaya mengumpulkan segala keberanianku untuk bertanya Nenek sekali lagi.

"Nenek, boleh nenek beri Diana wang?" aku bertanya.

"Berapa? Untuk sekolah, ya?"

"$200. Diana hendak sebuah pita rakaman Walkman," aku menjawab.

"Diana, Nenek tiada wang sebanyak itu sekarang. Bila Nenek ada duit nanti Nenek belikan."

Hatiku pecah seribu.

"Tidak mengapalah Nenek. Mungkin jika Ibu dan Ayah masih ada, Diana akan dapat beli apa sahaja.” Begitulah kata-kata yang terlontar daripada bibirku sebelum berjalan ke bilikku.

Selama seminggu, aku kerap mengelak Nenek dan mengunci diri di dalam bilik. Aku berasa bersalah kerana biadab kepada Nenek. Saat demi saat menerbitkan detik-detik yang menusuk tajam ke lubuk sukmaku.

Beberapa kali ketika aku sedang duduk sugul di kepala katil, aku terdengar Nenek tidak berhenti-henti meledakkan batuk. Aku risau. Tetapi, bisikan kecil dalam kepalaku meyakinkan aku bahawa nenek kesayanganku dalam keadaan baik. Kadangkala, rasa rindu terhadap Nenek menyelimuti diriku. Aku terbayang akan kenangan bersama Nenek. Makan bersama, membuat kerja-kerja rumah bersama, bersembang mesra dan bergelak ketawa bersama. Kolam mataku berkaca. Hari demi hari, aku digigit kesepian yang amat menyeksa. Namun, aku masih terlalu malu untuk memandang wajah Nenekku.

"Diana! Diana!" kedengaran teriakan suara jiranku. Aku terpaku dan tersentak mendengar berita yang disampaikan. Nenek telah rebah di tempat kerja dan menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Duniaku terasa gelap-gelita apabila mendapat berita yang menyayat hati itu. Namun, aku tahu ajal dan maut di tangan Tuhan.

Sepuluh hari selepas pemergian Nenek, tibalah hari lahirku. Aku mencium gambar Nenek di atas meja. Ada sesuatu yang menarik perhatianku. Terdapat sebuah kotak kecil berwarna merah di rak buku. Aku mengambil kotak itu lalu membukanya. Di dalamnya, aku terjumpa gambar-gambarku bersama Nenek, sekeping kad hari lahir daripada Nenek dan di bawahnya pula, terdapat sebuah pita rakaman. Linangan air mata jernih berguguran dari sudut kelopak mataku dan membasahi pita rakaman itu. Inilah simbol kasih sayang dan pengorbanan Nenek.

Tidak dapat aku lupakan peristiwa yang memecahkan hatiku itu. Kini, aku masih merindui belai kasih Nenek dan menyesal akan kelakuanku. Aku hanya boleh berdoa agar Tuhan memaafkan aku. Aku berjanji akan menunaikan amanah untuk menjadi seorang insan yang berguna biarpun tanpa Nenek di sisiku. Aku tidak akan mengecewakan Nenek! 

KARYA: ADINA NATASHA SAMSUAR
SEKOLAH: SEKOLAH MENENGAH TANJONG KATONG 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan