Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

#BeliaSG: E.G.O.

Sejuk. Dingin. Namun kedinginan dewan serbaguna itu tidak dapat melenyapkan kepedihan akibat tusukan jarum di lengan kiriku. Kalau dahulu, aku sudah berlari bagai lipas kudung apabila melihat jarum, kini, aku sudah dapat menakluki fobia yang telah sekian lama membelenggu jiwa.

Anggaran Waktu Membaca:
#BeliaSG: E.G.O.

Seorang wanita menderma darah. (Gambar hiasan: Guillaume Souvant/AFP)

Diterbitkan : 09 Oct 2018 10:07PM Dikemas Kini : 09 Oct 2018 10:42PM

BERITAmediacorp: Sejuk. Dingin. Namun kedinginan dewan serbaguna itu tidak dapat melenyapkan kepedihan akibat tusukan jarum di lengan kiriku. Kalau dahulu, aku sudah berlari bagai lipas kudung apabila melihat jarum, kini, aku sudah dapat menakluki fobia yang telah sekian lama membelenggu jiwa. Dewan serbaguna Kelab Masyarakat Tampines North memang tidak asing lagi bagi diriku. Di sinilah aku duduk setiap kali acara menderma darah dijalankan. Setiap kali aku aku disini , peristiwa yang berlaku sepuluh tahun yang lalu menjelma kembali bagaikan layaran filem di minda.

“Kai, awak akan bersama kumpulan Sarah dan Hanis untuk projek Sains penggal ini,” ujar Puan Amalina sambil jarinya dituding ke arah aku dan Sarah di bahagian belakang kelas. Mataku terbelalak. Aku dan Sarah kegusaran. Hancur musnahlah harapan aku untuk mendapatkan gred kepujian dalam projek Sains penggal ini kalau Kai menjadi ahli kumpulan aku! Manakan tidak. Siapa yang tidak kenal Kai yang kaki ponteng dan pemalas itu? Kerja rumah sering tidak dihantar dan dalam sebulan, kedatangannya boleh dihitung dengan jari tangan sahaja. Aku tidak perlukan sesiapa, bukan Kai dan bukan juga Sarah. Aku pelajar yang terbaik dalam kohort kami! Mengapa harus Kai dimasukkan ke dalam kumpulan aku? Namun, aku hanya dapat memberontak dalam hati. Kebengisan Puan Amalina boleh mengalahkan raja singa. Tiada sesiapa pun yang berani melawan kawa-katanya. Nahas nanti.

Belum sempat pun Kai melabuhkan punggungnya di hadapan kami, aku sudah pun memulakan perbincangan. Sebelum kami bersurai, aku menetapkan masa perbincangan kami seterusnya. Sebagai pelajar yang paling bijak, aku tahu akulah yang paling layak mengetuai projek tersebut. Tak perlulah aku dilantik secara rasmi.

“Pastikan kamu sudah menyiapkan maklumat yang diperlukan. Esok kita berjumpa di perpustakaan untuk meneruskan perbincangan. Kai, jika kau hendak datang atau tidak itu masalah kau.Kau seperti melukut di tepi gantang sahaja,” kejiku sambil aku mengerling ke arah Kai. Wajah Kai selamba sahaja.

Pada keesokan hari, kami berjumpa di Perpustakaan Bedok. Kai sudah berada di luar pintu perpustakaan itu. Matanya tertumpu sepenuhnya pada buku di tangan.

Aku yang berdiri di sebelahnya entah nampak entah tidak. Seperti biasa, Sarah lambat. Untuk menghilangkan rasa bosan menunggu Sarah, aku meneliti Kai yang sedang khusyuk membaca. Sekali sekala aku melihatnya menguap. Dia sentiasa kelihatan cukup letih. Entah apa yang dilakukannya selepas waktu sekolah setiap hari.

“Kai, kau selalu tidur lambat ke? Asyik menguap sahaja,” aku bertanya. Dia sekadar menggelengkan kepalanya kemudian kembali membaca.

Akhirnya, Sarah muncul di depan mata. Lantas, kami pun masuk ke dalam perpustakaan. Semasa kami berbincang, Kai asyik memberi idea tetapi aku menepis ideanya. Buah fikirannya tidak bernilai bagiku. Sarah juga yang sudah mengenali sikapku mengikut sahaja setiap arahan yang aku berikan.

Projek itu harus mengikut kemahuanku. Harus seratus peratus menggunakan idea aku. Tentulah! Aku yang terpandai. Tentu idea aku yang terbaik. Kai dan Sarah bukannya boleh diharap. Yang seorang selalu nampak tak bermaya dan yang seorang lagi selalu lambat.

Tiba masanya, kami menghantar projek kami untuk dinilai Puan Amalina. Aku yakin.

Selang seminggu, Puan Amalina mengembalikan projek itu kepada kami.

Apa??? 58 peratus??? Puan Amalina memberi kami nilai rendah untuk projek ini?

Dalam ruangan komen, Puan Amalina memberi saranan untuk memperbaik projek kami.

Mulutku melopong dan mataku terbeliak. Saranan yang diberikan Puan Amalina sama seperti saranan yang cuba diberikan Kai tetapi aku telah menolaknya bulat-bulat. Saranan Kai ada kena mengena dengan usulan ‘derma darah kilat’.

Aku berasa kecewa kerana aku tidak dapat markah cemerlang tetapi aku berasa lebih malu kerana aku tidak nampak kelemahan diri sendiri dan hanya mementingkan egoku. Aku tidak mendengar pun saranan Kai.

Aku terus meminta maaf daripada Kai kerana tidak memberinya peluang untuk berkongsi ideanya. Aku sedar bahawa sikap sombongku telah menjejaskan keputusan projek kami. Aku ingat aku tahu segala-galanya. Aku lupa setiap orang ada ilmu dan pengalaman masing-masing.

Rupa-rupanya saranan Kai ada kena mengena dengan keadaan dirinya. Kai merupakan seorang penderita anemia kronik. Dia perlu pemindahan darah sepanjang hayatnya. Patutlah Kai sentiasa kelihatan lesu. Aku telah tersilap mentafsir!

Kai merenung mataku dan terus memaafkan aku. Selepas semua yang telah aku lakukan, Kai masih boleh memaafkan aku. Aku amat bersyukur dan aku bertekad bahawa aku tidak akan bersikap bongkak lagi.

“Cik Hanis boleh balik sekarang. Terima kasih sekali lagi. Kali ini sudah sepuluh kali Cik Hanis menjadi seorang penderma darah,” kata seorang jururawat di situ menyedarkan aku dari lamunan. Hingga sekarang, aku tidak bersikap angkuh dan selalu mengingatkan diriku bahawa sikap bongkak tidak akan menguntungkan diriku mahupun orang lain.  

KARYA: NURIN INSYIRAH JOHARI
SEKOLAH: SEKOLAH MENENGAH ST. ANTHONY'S CANOSSIAN 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan