Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

#BeliaSG: Dalam Diam Aku Mencintaimu

Karya dalam ruangan #BeliaSG minggu ini mengajak para pembaca mengikuti pengalaman seorang remaja yang baru mengenali erti cinta meskipun terpaksa menyembunyikan perasaannya dan akhirnya berasa patah hati. 

Anggaran Waktu Membaca:
#BeliaSG: Dalam Diam Aku Mencintaimu

(Gambar hiasan: Ludovic Marin/AFP)

Diterbitkan : 14 Nov 2018 02:41AM Dikemas Kini : 14 Nov 2018 02:56AM

BERITAmediacorp: Aku melihat diariku yang penuh dengan puisi-puisi cinta yang aku karang. Titik demi titik air mata jatuh membasahi pipiku. Walau apapun yang aku lakukan, aku tetap tidak dapat menerima cinta yang aku inginkan. Aku hanya dapat mengagumi cinta hatiku dari jauh. Sejak peristiwa pada masa silamku, aku tidak berani untuk bercinta lagi.

"Dina! Aku tidak tahu di mana rumah kau! Mengapalah kau harus berpindah rumah. Aku tahu rumah kau dekat dengan rumahku tetapi aku tidak tahu yang mana," ujarku ketika menelefon Dina.

Dina kawan karibku. Biasanya aku selalu ke rumahnya setiap hari Jumaat tetapi kerana Dina baru sahaja berpindah, aku tidak tahu di mana rumah barunya. Walaupun kami belajar di maktab rendah yang berlainan, kami tetap mengekalkan persahabatan kami. Sambil berjalan aku terus mengelamun, tiba-tiba aku terdengar suara seorang lelaki memanggilku.

"Maaf? Adakah kamu ingin mencari Dina? Saya boleh menolong kamu. Dina jiran saya dan kami dari maktab rendah yang sama." Teguran seorang lelaki kacak membuat aku tersedar daripada lamunan. Kami saling berpandangan selama beberapa saat sebelum aku menjawabnya. Dia membuat aku tersedar sekali lagi daripada khayalanku dan tanpa aku sedari, aku menjawabnya: "Setuju."

Sepanjang perjalanan ke rumah Dina, aku hanya berdiam diri. Aku berasa bodoh. Mengapakah aku bersetuju dengan pelawaannya? Apakah yang akan aku harus lakukan jika dia seorang penculik? Ya Allah! Aku mula panik tetapi apabila aku melihat wajahnya, aku seperti terpukau dengan rupanya yang menawan. Pada masa itu juga dia cuba berbual dengan aku dan hal itu memeranjatkan diriku. Dia bertanyakan namaku, bagaimana aku kenal dengan Dina dan banyak lagi hal lain. Aku, seperti dipukau dengan ketampanan wajahnya, menjawab setiap soalannya tanpa berfikir. Akhirnya, sampai juga aku ke rumah Dina dan secara kebetulan lelaki itu tinggal bersebelahan rumah Dina.

"Eh, Zaki! Silalah masuk. Mari kita belajar bersama-sama. Ini rakan karibku, Balqis. Balqis, ini Zaki." Kata Dina dengan penuh sopan. Mataku terbeliak. Bunga-bunga kebimbangan menguntum di kelopak hatiku. Sudahlah perjalanan ke rumah Dina terasa penat, sekarang aku harus bersamanya di bawah satu bumbung pula.

Walaupun aku tidak selesa bersamanya di dalam rumah itu, tetapi aku tetap mencuba curi-curi memandangnya. Memang aku tidak suka kehadiran Zaki. Namun, aku tidak boleh membohongi diriku tentang wajahnya yang tampan. Masa berlalu dan kami seolah-olah menjadi rapat. Dari pertemuan kami itu, aku sedikit sebanyak dapat mengenalinya dan berpandangan bahawa dia seorang yang penyayang dan bijak. Aku pulang dengan perasaan yang berlainan. Setiap kali aku terfikir tentang dirinya, hatiku berdebar-debar. Adakah ini cinta? Tidak mungkin. Aku baru berumur 17 tahun.

Seminggu kemudian, aku berjalan ke rumah Dina. Baru sahaja aku ingin memasang fon telingaku apabila aku terdengar suara seseorang. Jantungku berdegup dengan pantas apabila melihat wajah Zaki. Oleh sebab kami sudah berkenalan, aku pasti bahawa dia bukan seorang penculik. Kami pun ke rumah Dina dan bersembang di sana. Seperti yang telah aku jangkakan, aku mempelajari sesuatu yang baru daripada pertemuan kami itu.

Beberapa minggu kemudian, kami menjadi semakin akrab dan pada setiap pertemuan itulah, aku menyedari bahawa aku sebenarnya sudah jatuh cinta kepadanya. Aku pulang dengan fikiran yang tidak menentu. Aku tidak pernah mempunyai perasaan seperti itu terhadap seseorang. Mengapakah aku rasa begini? Aku berasa takut namun teruja dengan perasaan cintaku itu. Akhirnya aku membuat keputusan untuk memberitahunya pada tarikh 28 Oktober, iaitu hari lahirku.

Tiba-tiba aku mendapat panggilan telefon daripada seseorang. "Assalamualaikum, Balqis. Ini Zaki. Saya ingin bertanya jika awak boleh berjumpa saya pada 28 Oktober ini? Saya ingin memberitahu awak sesuatu." Kedengaran suara yang amat aku kenali, Zaki. Sudah tentu aku bersetuju dan terus pulang ke rumah, dengan senyuman yang lebar. Pipiku merah seperti buah delima merekah. Aku seperti berada di awang-awangan. Tiada perkataan dapat menjelaskan kegembiraan pada waktu itu.

Pada hari kami berjanji untuk bertemu, aku tiba dahulu di tempat pertemuan 15 minit lebih awal kerana terlalu teruja. Zaki sampai dengan sebuah kotak. Aku seolah-olah tidak percaya hari itu akan tiba. Aku mula berbisik, "Aku cinta kau, Zaki."

"Ya? Kau rasa itu juga yang harus aku katakan? Alhamdulillah. Kamu tidak tahu betapa susah aku harus mengumpul keberanianku untuk mengakui perasaan cintaku kepada Dina." Aku terdengar Zaki berkata demikian.

Kotak berwarna perang dibawa Zaki dalam genggamanku tetapi penutup kotak tertulis nama orang lain - Dina. Aku menahan sebak. Aku menghentikan air mataku daripada terus mengalir. Hatiku diselaputi perasaan hampa setiap kali aku melihat wajahnya.

Namun harus aku memaksa diriku tersenyum dan menunjukkan perasaan banggaku kepadanya. "Terima kasih, Balqis. Tanpa sokongan daripada kau mungkin aku tidak boleh mengumpul semangatku untuk menjadikan Dina teman istimewaku. Hanya Tuhan dapat membalas jasamu. Aku sangat menghargai kau," katanya dengan penuh keriangan sambil memeluk aku. Aku hanya tersenyum tetapi setitik air mata terjatuh di pipiku dan aku terpaksa terus menyembunyikan mukaku. Andainya dia tahu betapa dalamnya cintaku kepadanya... Aku merenung wajahnya.

"Balqis, mengapa kamu menangis?" tanya Zaki. Aku hanya mampu menggelengkan kepalaku dan berbohong kepadanya. Zaki memberi aku tisu untuk mengelap air mataku dan kami mengambil keputusan untuk beredar. Sambil berdiri, mataku memandang ke arah tangan Zaki yang bertaut pada tangan kawan karibku, Dina. Rupa-rupanya, Dina semenjak tadi ada bersama kami. Pada saat aku terlihat tangan mereka bertautan, aku memahami bahawa aku hanya mampu mencintai seseorang dalam diam.  

KARYA: UMMUZ ZSAKIYYAH ARIFIN
SEKOLAH: SEKOLAH MENENGAH ANDERSON

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan