Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

#BeliaSG: Bulan yang membenci Mentari

Kehidupan masa kini tidak kurang mencabar - umumnya ramai ingin berjaya, pencapaian akademik pula dijadikan kayu ukur kejayaan. Namun, sejauh manakah ia akan mempengaruhi kelakuan kita terhadap orang lain?

Anggaran Waktu Membaca:
#BeliaSG: Bulan yang membenci Mentari

(Gambar fail: Raj Nadarajan/TODAY)

Diterbitkan : 13 Mar 2019 12:07AM Dikemas Kini : 13 Mar 2019 02:47AM

BERITAmediacorp: Kehidupan masa kini tidak kurang mencabar - umumnya ramai ingin berjaya, pencapaian akademik pula dijadikan kayu ukur kejayaan. Namun, sejauh manakah ia akan mempengaruhi kelakuan kita terhadap orang lain? Bagaimana pula dengan ibu bapa yang suka membanding-bandingkan anak mereka dengan pencapaian kanak-kanak lain? Satu motivasi atau sebaliknya? Pelajar Sekolah Menengah Anderson ini menulis tentang satu kisah yang menggambarkan masa sukar yang perlu dilalui mereka yang menjadi mangsa keadaan.

"IBU, Bulan mahu ikut Ibu. Sekali saja. Bulan merayu. Anak Ibu bukan hanya Mentari. Ada Bulan juga! Ada Bulan!"

Ditahan gelora hati agar tidak sampai melontarkan kata-kata yang boleh menggegarkan suasana.

"Tak payah! Hanya Mentari yang boleh ikut pergi berjalan-jalan. Ini hadiah untuknya kerana cemerlang dalam pelajaran. Kamu buktikan kepada Ibu dulu kalau kamu pun boleh cemerlang dalam pelajaran! Pergi sana! Pergi belajar dalam bilik kamu," jawab Ibu yang meledak marah.

Aku menghempas pintu bilik dengan kuat. Kebencian dalam hati memuncak sekali. Aku membenamkan wajahku di bantal.

Asyik-asyik Mentari! Selalu sahaja Mentari yang dipuji. Mentari yang pintar. Mentari yang cantik. Mentari yang baik. Mentari ini. Mentari itu.

Aku pula selalu dicaci kerana tidak sehebat Mentari. Sudahlah hodoh dengan jerawat penuh di muka, bodoh pula. Dunia ini sungguh tidak adil!

Walaupun kami saudara kembar, Ayah dan Ibu hanya menumpukan kasih sayang dan perhatian mereka pada Mentari. Mentari memang anak yang sempurna. Semua ciri-ciri yang baik ada pada dirinya dan sebaliknya semua yang buruk ada pada diriku.

Mentari seperti cahaya yang menyinari keluarga kami. Aku pula seperti hilang di balik kegelapan, bersembunyi daripada cahaya yang perlahan-lahan menelan diri - sesuai dengan namaku, Bulan.

Mulut terkunci, hati terkatup. Aku berasa kosong. Hampa! Melihat piala-piala Mentari yang disimpan rapi dalam almari kaca sahaja sudah mampu membangkitkan sejuta rasa benci dan geram.

"Wah, Mentari jadi juara lagi? Hebat sekali! Ini baru namanya anak Ayah dan Ibu. Mentari minta apa sahaja, nanti kami belikan sayang," kata Ibu sambil mengucup kening Mentari. Sinar gembira mengerlip di matanya.

"Mentari mahu... "

Menyampah aku melihat kemesraan mereka. Seolah-olah ingin meludah ke lantai! Aku masuk ke bilik lalu menghempas pintu. Ya, aku cemburu! Meluat dibuatnya sampai suara Mentari sahaja mampu menjentik kemarahan.

Setiap kali kami bertemu sanak saudara, hanya Mentari yang mendapat perhatian. Ibu dan Ayah tak putus-putus menceritakan tentang segala pencapaian anak kesayangan mereka itu. Mungkin, sinar kejayaan yang dipancarkan Mentari terlalu terang sehingga ramai orang tidak menyedari bahawa Bulan juga wujud.

Sejak hari itu, pada setiap Jumaat, ayah dan ibu mengajak Mentari pergi berjalan-jalan tanpa diriku. Hatiku hancur bagaikan kaca yang dihempas kuat ke batu. Sedang mereka berseronok, aku disuruh belajar supaya cemerlang dalam pelajaran seperti Mentari.

Aku sempat tertanya-tanya apa sebenarnya permintaan Mentari. Pernah sekali aku bertanya kepadanya. Peliknya, Mentari mengelak untuk menjawab lalu menukar topik perbualan.

Aku begitu terbawa-bawa perasaan sehingga berfikir Mentari sengaja ingin meminggirkan aku daripada keluarga. Aku yakin dia ingin mengambil kesempatan untuk menyingkirkan aku. Mentari pasti meminta Ayah dan Ibu supaya meninggalkan aku bersendirian di rumah sementara mereka berseronok berjalan-jalan. Dia juga orang yang membuat aku harus belajar pada setiap Jumaat. Ya, sungguh baik 'hadiah' yang dimintanya.

Terseksa aku dalam bilik ini, membaca dan menghafal perkataan demi perkataan, ayat demi ayat dalam buku. Dia pula mungkin sibuk menikmati aiskrim dan kek coklat di luar sana.

Bunyi loceng pintu membuatku tersedar daripada lamunan. Mereka akhirnya pulang.

"Senang tanpaku?" tanyaku sinis.

Mentari hanya tersenyum. Namun senyumannya tampak kosong. Ayah dan Ibu pun kelihatan murung. Sungguh aneh. Minggu itu banyak kejadian aneh yang terjadi di rumahku. Ayah dan ibu semakin sering memeluk dan mencium Mentari. Tidak seperti biasa, Mentari semakin sering mengurung diri dalam bilik. Baguslah, kini aku tak perlu sering melihat wajahnya yang membuat hatiku geram.

Tak terasa, seminggu berlalu. Hari Jumaat tiba lagi - hari yang sangat kubenci. Sebelum Mentari pergi, dia memberikan satu kotak hadiah yang dibungkus rapi dengan reben merah kepadaku. Aku terus membuangnya ke dalam bakul sampah di depan matanya. Perasaannya tidak kuhiraukan.

Pada hari itu, aku bertekad untuk mengikuti mereka. Aku muak dengan perlakuan tidak adil Ayah dan Ibu. Aku terus mengikuti mereka sampai ke suatu tempat.

Mataku terbeliak. Langkahku semakin lama semakin berat sampai akhirnya terhenti di depan pintu masuk bangunan itu.

Hospital KK?

Aku mengusap mataku. Kubaca lagi tulisan itu. Hospital? Aku tidak tersalah baca. Siapa yang sakit? Mengapakah aku tidak tahu tentang hal itu?

Aku mengikuti mereka sampai ke sebuah bilik. Aku berhenti di balik sebatang tiang, memerhatikan mereka. Sebelum masuk ke bilik, Mentari kelihatan memeluk Ayah dan Ibu dengan erat. Mentari masuk diiringi beberapa kakitangan hospital.

Hatiku menjadi gelisah. Ayah dan Ibu berjalan ke sana ke mari sambil sesekali melihat ke arah pintu bilik tempat Mentari masuk tadi. Beberapa minit kemudian, seorang doktor keluar dari bilik pembedahan.

Mana Mentari? Adakah dia baik-baik saja? Setelah doktor selesai berbicara, Ibu kelihatan tidak bermaya lalu rebah. Ayah memeluk Ibu dan cuba menenangkannya.

Perasaan berkecamuk melanda hati. Kerisauan bertalu-talu melekat di pangkal fikiran. Apa sebenarnya yang dirahsiakan daripadaku?

Mendadak aku teringat akan hadiah daripada Mentari. Aku menahan teksi dan bergegas pulang ke rumah lalu masuk ke bilikku dan membongkar bakul sampah. Aku mengambil hadiah kecil yang sudah agak kotor itu dan membukanya. Di dalamnya ada sepucuk surat tulisan tangan Mentari. 

Hai Bulan, 

Ketika kamu membaca suratku ini, mungkin aku sudah tidak ada di sisimu lagi.

Sebenarnya aku didapati menghidapi penyakit barah pankreas pada lima bulan yang lalu. Setiap minggu aku harus menjalani pemeriksaan di hospital. Ingat tak semasa Ayah dan Ibu mengatakan bahawa mereka akan mengabulkan apa saja yang aku mahu? Aku meminta mereka merahsiakan penyakitku ini daripada kamu. Aku meminta mereka berpura-pura mengajak aku berjalan-jalan dan membiarkan kau tinggal di rumah dan mengulang kaji pelajaran. Aku tidak ingin dikasihani kerana penyakitku ini. Aku juga tidak mahu Bulan merasa sedih dengan pemergianku. Minggu lalu, doktor berkata bahawa nyawaku tidak panjang. Maafkan aku kerana merahsiakan hal ini.

Bulan,

Terima kasih kerana mewarnai hidup Mentari. Tolong jaga ayah dan ibu kita. Jadilah cahaya di tengah-tengah kegelapan untuk keluarga kita, seperti rembulan yang bersinar di tengah kegelapan malam.

Salam sayang daripada aku, kembarmu – Mentari

Perlahan-lahan surat itu dibasahi air mata yang mengalir deras daripada pipiku. Tak pernah sekalipun aku mencurahkan kasih sayang kepada Mentari. Aku membenci diriku sendiri. Hidupku sunyi tanpa dirinya. Ketika itu, baru aku sedar, Bulan tak boleh bersinar tanpa Mentari.

KARYA: VANESSA CHRISTABELLA
SEKOLAH: SEKOLAH MENENGAH ANDERSON 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan