Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

#BeliaSG: Budimu Kusanjung

Karya pelajar Sekolah Menengah Tanjong Katong ini mungkin akan membuat anda menyedari bahawa perkara-perkara kecil juga mampu membawa keceriaan kepada mereka. Bukan sekadar sumbangan wang, ya?

Anggaran Waktu Membaca:
#BeliaSG: Budimu Kusanjung

(Gambar hiasan: Dilyara Garifullina/Unsplash/Google Maps)

Diterbitkan : 26 Mar 2019 11:20PM Dikemas Kini : 26 Mar 2019 11:56PM

BERITAmediacorp: Masih ramai yang kurang bernasib baik dalam masyarakat masa kini. Seperti kanak-kanak lain, kanak-kanak daripada keluarga seperti ini juga mempunyai keinginan untuk menikmati keselesaan - bermain, berseronok, membeli-belah dan memakan manis-manisan. Karya pelajar Sekolah Menengah Tanjong Katong ini mungkin akan membuat anda menyedari bahawa perkara-perkara kecil juga mampu membawa keceriaan kepada mereka. Bukan sekadar sumbangan wang, ya?

TUJAHAN cahaya matahari menampar dada bilikku. Aku terjaga daripada satu mimpi ngeri sebaik sahaja mendengar ketukan pintu. Tidak lama kemudian, tubuh wanita yang melahirkan aku genap 14 tahun lalu, tercegat di muka pintu. Ibuku, Samsiah, berjalan menuju ke arahku sambil tersenyum. Ibu kemudian melabuhkan punggungnya di atas katil.

Dia menatap wajahku. "Selamat Ulang Tahun yang ke-14, Sayang."

Hari itu seharusnya hari istimewa bagiku tetapi suara Ibu agak sayu.

Jujur, aku langsung tidak ingat bahawa hari itu adalah hari lahirku. Mungkin salah satu sebabnya kerana aku tidak pernah meraikannya sebelum ini. Malah, aku menganggap hari lahirku seperti hari-hari biasa. Apatah lagi, Ibu juga tidak pernah menyambutnya bersama aku kerana kehidupan kami yang serba kekurangan.

Maklumlah, hidup kami melarat sejak Ayah meninggalkan aku, Ibu dan juga Kakak - semata-mata untuk membina mahligai baru. Ketika itu aku baru berusia setahun. Dia pergi tanpa meninggalkan sedikit wang untuk Ibu. Sejak hari itu, Ibu terpaksa memerah keringat demi menyara kehidupan kami sekeluarga. Aku tahu semuanya tidak mudah baginya. Ibu terpaksa bekerja siang dan malam - melakukan sehingga tiga pekerjaan.

"Maafkan Ibu Azri, Ibu tidak mampu memberikan kehidupan yang mewah seperti kehidupan rakan-rakanmu yang lain," rintih Ibu.

"Tidak mengapalah Ibu. Azri faham tentang keadaan kita. Azri sangat bersyukur kerana memiliki seorang ibu yang penyayang dan sanggup berkorban untuk anak-anaknya. Ibu tidak perlulah bersedih lagi kerana pengorbanan Ibu terhadap kami sudah cukup bagi Azri dan Azri tidak meminta apa-apa pun daripada Ibu," aku cuba memujuk Ibu yang sedih.

"Terima kasih Azri. Ibu sangat menyayangi Azri dan juga Kakak. Azri mahu ikut ibu ke pasar raya? Ibu hendak membeli barang dapur. Kalau ada lebih wang, Ibu boleh belikan Azri sesuatu," ajak Ibu. Kuntum kegembiraan mengembang di hati.

"Nak!!"

Aku lantas bersiap untuk keluar bersamanya.

Setelah membeli barang-barang dapur di pasar raya, Ibu bertanyakan aku jika aku memendam keinginan untuk membeli sesuatu. Pada saat itu pula, aku ternampak seorang wanita memakan sepotong kek. Terliur aku dibuatnya.

Sebetulnya juga, aku memang sudah lama ingin menikmati sepotong kek ikut gaya budak-budak zaman sekarang yang sering meluangkan masa di kafe. Aku tidak menyangka akhirnya aku dapat juga menikmati sepotong kek 'mahal'.

Aku dan Ibu ke sebuah kedai kek. Kek coklat yang dihias rapi dengan krim berwarna putih menarik perhatianku. Melihatnya saja membuat hatiku melonjak gembira.

Namun, hanya seketika...

Hatiku pecah seribu tatkala Ibu mengatakan bahawa dia tidak mampu membeli kek itu.

Hampa! Aku cuba untuk tidak menunjukkan kekecewaanku tetapi ia jelas tercalit di wajah.

"Tidak mengapalah Ibu, lain kali sahaja. Mari kita pulang?"

Puas aku cuba memujuk diri tetapi senyuman yang terukir pun tidak dapat menutup mendung yang menyeliputi wajahku.

"Maafkan Ibu, Azri. Ibu pasti akan membelikan Azri kek itu satu hari nanti," kata Ibu.

Aku benar-benar menghargai niat tulus Ibu. Aku juga faham Ibu tidak berniat untuk mengecewakan anaknya. Tidak pernah sesekali aku ingin menyalahkannya.

Dengan tangan kosong, kami pun keluar dari kedai itu dan berjalan pulang ke rumah. Tidak lama selepas kami keluar dari kedai itu, tiba-tiba kedengaran suara garau seorang lelaki yang memanggil dan mengejar kami.

Lelaki itu tercungap-cungap - bajunya dibasahi peluh.

Lelaki itu memperkenalkan dirinya kepada kami lalu memberitahu Ibu tujuan sebenar dia mengejar kami.

"Nama saya Adam. Tujuan saya mengejar mak cik dan anak mak cik... Saya ingin memberi anak mak cik hadiah."

"Inilah kek coklat yang anak mak cik nak tadi. Maafkan saya kerana terdengar perbualan mak cik dan anak mak cik. Saya tahu bahawa adik ini inginkan kek coklat dan dia kelihatan amat sedih apabila Mak cik tidak dapat membelikannya. Jadi, saya membelikan kek itu dan menghadiahkannya kepada anak mak cik. Harap mak cik membenarkan saya memberikan hadiah ini kepada anak Mak cik," jelas lelaki bernama Adam itu.

Pada mulanya, Ibu membisu seolah-olah arus fikirannya terhenti. Bagaimanapun, Ibu akhirnya membenarkan aku menerima hadiah berupa kek itu lalu menyuruh aku mengucapkan terima kasih kepada insan yang sangat baik hati itu.

Adam tersenyum dan mengatakan bahawa dia ikhlas memberikan aku kek tersebut. Sebelum beredar, dia memberitahu aku supaya belajar bersungguh-sungguh demi masa depan yang cerah di samping membantu meringankan beban Ibu kelak.

Aku hanya tersenyum menampakkan barisan gigi yang putih bak mutiara. Hatiku melonjak gembira kerana Tuhan seperti menurunkan malaikat untuk membahagiakan aku pada hari lahirku buat pertama kalinya.

10 tahun berlalu dengan pantas. Kini aku bergelar seorang usahawan yang berjaya dan dapat membantu ibuku. Budi baik dan kata-kata Adam aku ingat hingga ke hari ini.

Bukan kerana kek coklat sedap yang diberikannya. Perbuatannya membuat aku menyedari bahawa masih ada insan yang sangat baik hati dan sedia menghulurkan bantuan. Mungkin apa yang diberikan Adam juga tidak tinggi nilainya. Namun, dia tidak memilih untuk tidak mengendahkan rintihan mereka yang kurang bernasib baik seperti kami.

Buat Adam, sumber inspirasiku:

Bunga-bunga di taman berwarna-warni
Semuanya harum dan mewangi;
Terima kasih kerana menceriakan hatiku ini
Budimu wajar aku sanjungi

KARYA: MOHAMED SRI AL-FANDY MOHAMED RISHI
SEKOLAH: SEKOLAH MENENGAH TANJONG KATONG  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan