Images
  • freedom generic
    (Gambar hiasan: Junior Moran/Unsplash)

#BeliaSG: BEBAS

BERITAmediacorp: Karya pelajar dalam ruangan #BeliaSG minggu ini mengisahkan tentang kesengsaraan seorang remaja dan ibunya disebabkan kepala rumah tangga yang ketagih dadah. Namun, Aku dalam karya ini akhirnya bebas dari 'cengkaman' bapa yang sering ingin 'membahamnya'. Apa yang dilalui? Apa pula dalam benak fikiran seseorang yang terjerat dalam masalah seperti ini? Ikuti cerpen ini - satu kisah yang boleh dijadikan iktibar supaya tidak terjerumus ke dalam kancah dadah.

AKU merenung di sekeliling rumahku yang agak sempit ini. Tapak kakiku sakit dan luka akibat terpijak kaca yang bersepah di lantai. Meja kayu di ruang tamu patah terbahagi dua. Walaupun aku berdiri di tengah ruang tamu yang berselerak, keluhan kelegaan timbul di dalam hati. Akhirnya, aku dan ibu bebas daripada seksaan harian kami. Aku yakin kami akan mula merasai bibit kebahagiaan. Lembaran baru menanti kami. Tidak ada sebarang penyesalan pun yang tercalit dalam hatiku biarpun kini aku hidup tanpa seorang bapa...

Tepat pada jam 8.00 pagi tadi, aku dikejutkan oleh kicauan burung yang sedang bernyanyi. Aku cuba untuk bangun tetapi seluruh badanku masih terasa sakit. Kolam mataku mula berkaca. Setiap hari Sabtu, bapaku akan pulang mabuk bersama rakan-rakannya. Aku sudah terbiasa melihat rakan-rakannya yang bertatu dan ibarat sampah masyarakat, berlegar-legar di luar rumahku. Malah, rumahku seperti tempat persinggahan bagi mereka. Sarang dadah! Sudah beberapa kali aku terjumpa beg plastik yang mengandungi dadah itu di atas meja ruang tamu. Malah, aku juga pernah menemui beberapa beg plastik yang disembunyikan di dalam beg kerjanya. Aku pernah cuba bertanya bapaku tetapi aku yang dipersalahkan. Semenjak hari itu, kebencian bapaku terhadap aku dan ibuku semakin bertambah. Dia sering memukul kami.

Sebenarnya, aku takut melihat keadaan ayahku dan kawan-kawannya itu. Aku selalu mengurung diri di bilik jika mereka ada di rumah. Tetapi apakan daya. Pernah satu hari itu, aku pulang lewat kerana ketinggalan bas. Tanpa rasa belas, aku dipukul dan dibelasah mereka.

Tiba-tiba aku terdengar ketukan yang samar-samar di daun pintu bilikku. Ibuku memasuki bilik dan melihat air mata membasahi pipiku. Dia duduk di sisiku lalu memeluk diriku dengan erat.

"Fariz, ibu harap Fariz bersabar, ya? Anggaplah semua ini sebagai ujian daripada Allah. Ibu yakin hidup kita akan berubah tidak lama lagi dan kita berdua akan bahagia," nasihat ibuku.

Sepanjang perjalananku ke tempat kerja, aku memikirkan tentang nasihat ibuku pagi itu. Apa maksud ibu? Hidup kami akan berubah? Bagaimana? Adakah dia merancang sesuatu? Pelbagai soalan yang ingin aku tahu jawapannya. Aku hanya boleh berharap agar doa ibu termakbul.

Sebenarnya, aku berasa kasihan terhadap Ibu. Dia harus bekerja untuk membayar segala bil rumah dan juga perbelanjaan sekolahku. Bapa pula sering memukul ibu jika duit yang diberi tidak mencukupi baginya. Sebab itulah aku sanggup bekerja sambilan, walaupun masih menuntut di politeknik. Sepanjang masa di tempat kerja, aku rasa tidak sedap hati. Pengurusku sedar fikiranku begitu kusut sehingga dia membenarkan aku pulang awal. Aku malu untuk memberitahunya tentang tabiat buruk bapaku. Nasib baiklah baju kerjaku dapat menutupi segala luka di tangan dan bedak di muka dapat menyembunyikan luka di pipiku akibat ditampar beberapa kali pada hari sebelumnya.

Apabila aku mendekati pagar rumahku, aku mendengar pekikan seorang wanita dan bunyi kaca pecah. Dengan segera, aku masuk untuk menyelamatkan ibuku. Aku ingin menjauhkan bapaku daripada Ibu. Aku menyuruh ibu masuk ke biliknya. Degupan jantungku memukul dada. Bapaku meledak marah. Segala kata-kata kesat dilemparkan. Dia meluru ke arahku. Tangannya ibarat tidak sabar untuk menumbuk, menampar dan memukul tubuhku yang kecil.

Aku berjaya mengelaknya. Namun aku ditolak dengan kuat sehingga terjatuh di atas meja kayu yang kecil. Meja itu patah. Aku tidak dapat bangun. Darah mengalir daripada bibirku. Penglihatanku tidak jelas tetapi aku dapat melihat bapaku menuju ke arahku lagi. Aku tidak berdaya lagi. Kudratku tidak mampu mengatasi panas baran bapaku.

Namun, pada saat itu juga, Ibu keluar dari biliknya dan bunyi pintu mengalih perhatian bapaku. Aku cuba lagi untuk bangun walaupun lemah. Bunyi kaca berkecai lagi.

Di luar bilik, ibuku terbaring di lantai dan darah mengalir dari kepalanya. Jantungku berdegup kencang. Aku tidak dapat bergerak. Aku diserang ketakutan sehingga lututku lemah dan tanganku longlai. Muka bapaku pucat lesi bagai ditoreh tiada berdarah. Dia cuba melarikan diri tetapi mujurlah, pegawai polis yang bergegas masuk ke dalam rumah, menyelamatkan aku daripada 'dibaham' bapaku. Ambulans juga dihubungi untuk membawa ibuku ke hospital. Di hospital, aku memanjatkan kesyukuran sebaik sahaja diberitahu Ibu selamat dan tidak kehilangan terlalu banyak darah.

Pada malam itu, aku pulang ke rumah untuk menyalin pakaian. Aku sempat terpaku di tengah bilik ruang tamu - rasa syukur menyelubungi diri.

"Ya Allah, Tuhanku yang Maha Agung, Kau ampunilah dosa ibuku dan diriku. Berkatilah hidup kami selepas ini. Lindungilah kami daripada segala keburukan dan murahkanlah rezeki kami supaya dapat memulakan kehidupan baru. Kami sungguh bersyukur atas pertolonganMu. Walaupun bapaku sudah banyak berdosa kepadaMu, aku harap agar Kau dapat memberikan secebis rahmat dan membukakan hatinya untuk kembali kepada-Mu. Aku berharap agar dia berubah menjadi seorang suami dan bapa yang beriman. Amin.”

Jauh di sudut hati, perasaan sayang masih bersarang di sudut hati.

KARYA: ALIYYAH AL MUNAWAR
SEKOLAH: SEKOLAH MENENGAH TANJONG KATONG

- BERITAmediacorp/aq

Top