Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

#BeliaSG: Aku, Nek Mah & Eva

Memang betullah kata orang... Hidup ini ibarat roda yang berputar. Kadangkala kita berada di atas, kadangkala di bawah pula. Bagi 'Aku' dalam karya pelajar minggu ini, tatkala dirinya dilanda musibah, yang menghulurkan bantuan tidak lain dan tidak bukan adalah seorang insan yang pernah dibantunya. 

Anggaran Waktu Membaca:
#BeliaSG: Aku, Nek Mah & Eva

(Gambar hiasan: belleogram/Instagram)

Diterbitkan : 05 May 2019 07:07PM Dikemas Kini : 05 May 2019 07:11PM

BERITAmediacorp: Memang betullah kata orang... Hidup ini ibarat roda yang berputar. Kadangkala kita berada di atas, kadangkala di bawah pula. Bagi 'Aku' dalam karya pelajar minggu ini, tatkala dirinya dilanda musibah, yang menghulurkan bantuan tidak lain dan tidak bukan adalah seorang insan yang pernah dibantunya semasa dihimpit kesempitan.

LONCENG sekolah bergema nyaring menandakan sekolah sudah tamat. Raut wajah para pelajar mencerminkan kegembiraan apabila terdengar bunyi loceng. Langkahku mantap dan penuh keyakinan. Aku baru sahaja mendapat keputusan cemerlang bagi subjek Bahasa Melayu. Aku tidak sabar untuk memberitahu ibuku tentang kejayaanku. Aku tidak berhenti tersenyum, menampakkan barisan gigi yang putih bak mutiara.

Apabila tiba di persimpangan lalu lintas, bunyi hon di sana sini memekakkan telinga. Pandanganku berpusat kepada seorang perempuan tua yang hendak menyeberangi jalan.

Perempuan tua itu membawa beberapa beg plastik yang kelihatan berat dan sudah koyak. Pakaiannya hanya secarik kain yang sudah lusuh dan terjurai-jurai menyapu tanah. Renunganku terganggu ketika perempuan tua itu hendak menyeberang jalan dengan sangat gontai.

Tanpa berlengah, aku menghampirinya. Aku menawarkan bantuan kepada perempuan tua itu untuk membawa beg-beg plastiknya. Senyuman mesra terukir di bibirnya. Beg-beg plastik yang dibawanya berisi tin-tin kosong. Aku keliru. Mengapakah perempuan tua ini kumpul tin kosong? Namun aku mengetepikan sebarang andaianku.

"Nenek hendak ke mana?" tanyaku, ingin tahu.

"Nenek hendak pulang. Rumah Nenek di Jalan Cresent,” jelas perempuan tua itu lalu aku membalas dengan menganggukkan kepala.

Oleh sebab rumah perempuan tua itu dekat dengan sekolahku, aku memutuskan untuk menemaninya pulang. Beberapa minit kemudian, langkahnya terhenti.

Bunga-bunga kebimbangan menguntum di kelopak hatiku. Kami sudah tiba di rumahnya.

Eh? Kekeliruan mula menguasai diriku.

Rumahnya sangat kecil dan tidak selesa. Aku terkejut kerana masih ada rumah seperti itu di Singapura. Fikiranku berkecamuk. Perempuan itu menoleh ke arahku lalu seolah-olah memaksa dirinya untuk menguntumkan senyuman. Namun, kesedihan sangat jelas di raut wajahnya.

Dia menjemput aku masuk. Niat di hati ingin meluangkan masa bersamanya, ingin tahu tentang kehidupannya. Tetapi terbayang-bayang pula wajah Ibu yang risau, menanti kepulanganku. Maka terpaksalah aku menolak pelawaannya. Aku yakin perempuan tua itu pasti faham.

Tatkala aku mula melangkah menuju lif, jeritan seorang budak kecil yang nyaring menghentikan langkahku. Aku menoleh ke belakang dan melihat seorang budak kecil yang berlari ke arah perempuan tua itu dengan sinar gembira mengerlip di matanya.

Dahiku berkerut. Siapakah budak kecil itu?

Pandanganku berpusat kepada beberapa lagi anak-anak kecil yang keluar dari rumah itu. Tidak semena-mena satu idea langsung menerpa aku.

Tanpa berlengah, aku menuju ke kedai makanan berdekatan dan membeli beberapa bungkus nasi lemak. Kemudian, aku berjalan seperti lipas kudung kembali ke rumah perempuan tua itu.

Perempuan tua itu kelihatan amat keliru apabila melihat aku kembali ke rumahnya. Aku melemparkan senyuman sambil memberikan bungkusan-bungkusan nasi lemak itu kepadanya.

Semua cucunya berkumpul. Satu persatu terlalu lahap, makan dengan gelojohnya. Perempuan tua itu menghampiri aku. Air mata membasahi pipinya. Dia tidak berhenti-henti mengucapkan terima kasih kepadaku.

Aku amat bersyukur dapat membantu perempuan tua itu dan keluarganya. Aku hanya ingin meringankan beban hidupnya yang bagaikan perahu hanyut dibawa arus bergelora.

Sejak hari itu, aku sering ke rumah perempuan tua itu, yang lebih mesra aku panggil Nek Mah, untuk membawa makanan, duit serta mengajar cucu-cucunya membaca kerana mereka tidak pergi ke sekolah.

Cucu Nek Mah yang paling tua, Eva, berusia 13 tahun. Dia merupakan seorang budak perempuan yang amat peramah dan baik budi.

Entah bagaimana pada suatu ketika, terkejut aku dibuatnya apabila ke rumah Nek Mah. Aku mendapati tiada sesiapa di rumah. Malah, rumah itu kosong selama beberapa hari. Selepas itu, aku tidak pernah melihat Nek Mah ataupun cucu-cucunya.

Jodoh dan pertemuan, rezeki dan bencana, memang di tangan Tuhan. Tiga tahun kemudian, aku ditimpa musibah. Aku telah terjaga pada suatu malam akibat jeritan orang ramai. Sebaik sahaja aku melangkah keluar dari rumah, aku menyaksikan seluruh bangunan dijilat api. Huru-hara suasana di situ.

Rumah itu penuh kenangan yang manis buat aku. Namun, aku terlalu lemah untuk menangis. Hatiku pecah seribu. Mataku layu dan merana. Badanku terasa lesu. Kepalaku berdenyut-denyut dan anak mataku berpinar-pinar.

Mujurlah aku dapat diselamatkan dari rumahku yang terbakar itu. Tanpa aku sedari, seorang remaja perempuan menghampiri aku lalu duduk di sebelahku.

Aku mencuri pandang. Dahiku berkerut. Aku pasti bahawa aku pernah bertemu dengan perempuan ini. Namun, dalam keadaan kekusutan seperti itu, aku tidak dapat berfikir.

"Saya Eva. Kakak sentiasa membantu kami dahulu di rumah Nenek," jelas remaja berwajah ayu itu.

Mataku terbeliak. Aku tidak bertemu Nek Mah dan keluarganya selama tiga tahun. Mengapakah Eva di sini? Di manakah Nek Mah?

Soalan-soalan yang terpantul di fikiranku dijawab oleh Eva. Nek Mah sudah meninggal dunia dan cucu-cucunya semua terpisah, diambil sebagai anak angkat. Aku bersyukur masih dapat bertemu Eva.

Dia sempat berterima kasih atas semua jasaku tiga tahun yang lalu dan hendak membalasnya. Eva dan keluarga barunya membantu aku kerana rumahku hangus dijilat api.

Mereka membenarkan aku tinggal di rumah mereka yang begitu besar dan luas. Mereka juga menderma banyak barang keperluan untuk aku. Aku amat bersyukur di atas semua yang dilakukan oleh mereka.

Sejak itu, aku sedar betapa pentingnya membantu orang-orang yang dalam kesusahan. Semua budi yang baik akan dibalas dengan budi yang baik jua. Bukan itu sahaja, aku dan Eva menjadi kawan karib bagai isi dengan kuku semenjak hari itu.

"Tuhan, terima kasih kerana memberi aku pertolongan dalam mengatasi cabaran ini dan menganugerahi aku seorang rakan yang amat baik," doaku, penuh kesyukuran.

KARYA: ALIYYAH AL MUNAWAR
SEKOLAH: SEKOLAH MENENGAH TANJONG KATONG  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan