Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

#BeliaSG: Abah, Aku dan...

Setiap permasalahan, pasti ada penyebab dan jalan keluarnya. Begitu juga dengan pelajar yang ponteng sekolah. Mungkin banyak perkara yang kita tidak tahu tentang masalah yang dihadapi. Mengapa tidak kita yang menjadi sinar harapan mereka? Ayuh baca karya pelajar ini.

Anggaran Waktu Membaca:
#BeliaSG: Abah, Aku dan...

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 21 Jan 2020 09:20PM Dikemas Kini : 21 Jan 2020 10:38PM

BERITAmediacorp: Setiap permasalahan, pasti ada penyebab dan jalan keluarnya. Begitu juga dengan pelajar yang ponteng sekolah. Mungkin banyak perkara yang kita tidak tahu tentang masalah yang dihadapi. Mengapa tidak kita yang menjadi sinar harapan mereka? Ayuh baca karya pelajar ini.

TULANG pipi tersembul keluar. Mata cekung. Batuk terus meledak. Dadanya yang rapuh ditepuk-tepuk dengan tangan walaupun tanpa daya.

"Sudah makan Man?"

Aku belek dua keping roti yang ada atas meja dapur lalu membawanya ke Abah.

"Nanti. Ini tak bercendawan.”

"Balik jam berapa hari ini?"

"Sebelas."

"Tak sekolah?"

Merah telingaku. Orang tua ni, hari-hari tanya tentang sekolah. Kalau aku ke sekolah, siapa yang akan bekerja? Siapa yang akan bayar bil api air? Siapa yang akan beli makanan?

Mulut terkunci tetapi panas relung dadakuku bagaikan terbakar. Aku mengangkat kaki meninggalkan Abah. Ketika mengunci pintu, ternampak bayang kesedihan tercalit di wajahnya. Melihat dia tidak bermaya atas tilam dalam flat sewa kami yang malap, suara batinku pula menggelepar.

Andai kemiskinan tidak mengajar Abah bahawa pasrah adalah ubat segala penyakit, mungkin dia tidak akan terbaring di situ dan aku dapat terus menumpukan perhatian kepada pelajaran.

Sudah empat kali Abah rebah di tempat kerja sehingga akhirnya dipecat. Aku pula tidak tahu apa penyakitnya.

****

Angin malam menyapa sepi. Aku membiarkan sejenak fikiranku menerawang.

Setiap hari selepas pulang kerja dan membasuh beratus-ratus pinggan, aku suka menikmati masa seperti ini walaupun hanya di kolong blok. Itulah saat aku dapat menghela nafas panjang dan menenangkan fikiran sebelum pulang untuk melakukan kerja rumah. Abah juga tidak lagi kuat berdikari.

Lamunanku tiba-tiba terhenti tatkala disapa Hilmi. Dia rakan sekolah dan jiranku yang aku kenali sejak berada di bangku sekolah rendah.

“Susah. Hidup kita susah bukan?”

Aku sekadar mengulum senyuman tipis.

“Aku kenal kau Man. Kau ambil ini. Walaupun sekejap, kau akan rasa tenang.”

Mataku terbeliak melihat bungkusan putih kecil dalam genggaman.

“Setan!”

Di tengah ranjau ketidakmampuan, tidak pernah sesekali aku terfikir untuk mengambil benda haram itu. Aku bingkas bangun meninggalkan Hilmi tetapi dia mengejar lalu memasukkan bungkusan itu ke dalam kocek seluarku.

Hilmi menghilang.

****
Abah sudah tidur. Mungkin terlalu lama dia menunggu aku pulang. Aku mencium dahinya lalu baring di sisi.

Bungkusan putih diberi Hilmi aku keluarkan dari kocek.

Betulkah ini akan hilangkan semua kekalutan dan kekusutan?

****

Pagi itu rumahku seolah-olah diserang gempa raya.

Kedengaran barang-barang jatuh. Kotak tisu, beg, buku, tin biskut. Semuanya.

Apabila aku membuka mata, aku terlihat Abah mengesot dari ruang tamu menuju ke bilik air.

"Abah!"

Aku tidak mengerti mengapa Abah seperti itu. Aku cuba bertanya tetapi dia diam seribu bahasa.

Abah terus mengesot. Kakinya melanggar semua barang yang ada di dapur.

Dan akhirnya aku mengerti.

Di tandas, Abah membuka bungkusan putih yang diberikan Hilmi. Serbuk itu dibuang ke dalam tandas lalu Abah mengepam tandas sehendak-hendaknya.

Mata Abah memancar api terbakar. Juraian air mata mengalir di pipinya.

Tidak sepatah pun perkataan yang diungkapkan tetapi dia terus menangis dan meraung di tandas.

Aku terus memeluknya.

****

Abah... walaupun dia bekerja 12 jam sehari, setiap hari dia pulang dengan segumpal azam kental dan teguh. Abah tidak pernah mengeluh. Dia menjagaku bagai menantang minyak yang penuh.

Aku meneguk sepuasnya kasih sayang Abah - satu-satunya insan yang ikhlas mencintaiku sejak kecil.

Setiap malam, sebaik sahaja pulang dari kerja, Abah akan mengajak aku ke kolong blok dan makan aiskrim.

Banyak yang aku kongsi bersamanya - dari soal kawan-kawan di sekolah, rasa tidak puas hati aku dengan sesetengah rakan yang membangga-banggakan iPhone canggih mereka sehinggalah saat aku hampir ingin putus asa selepas gagal peperiksaan akhir tahun Menengah 3.

Abah tidak pernah jemu meniup semangat.

Hanya satu keinginannya... melihat aku berjaya.

Namun, Abah mula didera kebimbangan apabila dibuang kerja dan kesihatannya semakin memburuk sehingga akhirnya aku terpaksa keluar bekerja pada tahun aku seharusnya menduduki Peperiksaan Peringkat 'O'.

****

Aku membersihkan dirinya dengan tuala dan memakaikannya kain pelikat yang baru dibasuh.

"Kau tidak ambil kan Man?" tanyanya.

Air mata terus berlinangan.

Begitu besar rasa sayangnya terhadap aku! Aku serik. Tidak pernah aku melihat Abah mengesot seperti itu.

Tiba-tiba, ada yang mengetuk pintu.

Muka Abah pucat lesi. Aku pula diserang ketakutan sehingga lutut menjadi lemah.

Polis? CNB?

Ketukan di pintu semakin kuat apabila Abah tidak dapat menahan batuknya.

Berat kakiku melangkah untuk membuka pintu.

Ketika pintu dibuka, tanpa diduga-duga, ada sinar harapan yang menyinari makam derita ini.

"Cikgu!" 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan