Images
  • Psle student
    (Gambar fail: TODAY)

#BeliaSG: 245

BERITAmediacorp: Setiap pelajar di sini pasti pernah melalui pengalaman menduduki PSLE. Adakah ia satu kenangan manis atau pengalaman pahit bagi anda? Yang pasti, debaran menduduki peperiksaan dan mengambil keputusan peperiksaan nasional itu menjadi asam garam setiap pelajar di Singapura. Cerpen dalam ruangan #BeliaSG minggu ini pula mungkin pengalaman penulis cilik yang kini menuntut di Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang.

HALIM mencapai surat khabar di atas meja sambil menghirup minuman panas yang disediakan Ibu. Sambil dia sepintas membaca laporan-laporan akhbar, satu artikel menarik perhatiannya.

Artikel tersebut melaporkan tentang seorang pelajar yang cemerlang dalam PSLE walaupun sering kali gagal dalam peperiksaan-peperiksaan sekolah yang terdahulu didudukinya.

Ini mengingatkan Halim tentang peristiwa yang berlaku lima tahun dahulu...

Halim begitu gementar saat melihat gurunya mula memulangkan kertas-kertas peperiksaan yang sudah disemak. Apatah lagi gurunya sekadar menggeleng kepala apabila giliran Halim pula untuk mengambil kertas peperiksaannya.

“Pasti aku tidak mendapat markah yang baik,” bisik hati kecil Halim. Terbukti sangkaannya benar. Halim belajar bersungguh-sungguh untuk peperiksaan kali itu tetapi masih tetap gagal. Perasaan sayup dan pilu menghambat dirinya. Dia cuba mengawal perasaan tetapi awan mendung bergayutan di pelipis mata.

Halim mengulang kaji pada malam sebelum peperiksaan PSLE. Keheningan malam menenangkan fikiran, mendamaikan perasaan gementarnya. Hanya bunyi jengkerik menyelubungi malam yang gelap itu. Dia membaca nota-nota yang disiapkan satu persatu. Halim bertekad tidak mahu gagal. Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Dia benar-benar ingin membuat ibu bapanya bangga.

Halim menjejakkan kaki masuk ke bilik peperiksaan dengan hati yang berat. Peperiksaan itu menjadi penentu masa depan. Mulutnya kumat-kamit membaca doa. Dia lantas mengeluarkan pena dari kotak pensel.

Tangannya terketar-ketar mencapai kertas soalannya. Dia tidak mahu ibu bapanya kecewa dan bimbang. Dia berserah kepada Ilahi dan cuba sedaya upaya untuk mendapat markah yang memuaskan.

Sebulan berlalu, keputusan PSLE diumumkan.

Cikgu Liza duduk di hadapan barisan rakan-rakan sedarjah Halim. Bunga-bunga kebimbangan menguntum di kelopak hati mereka.

Tidak lama kemudian, nama Halim dipanggil dengan senyuman kecil di wajah. Debaran hati Halim menjadi semakin kuat di setiap langkah yang diambilnya. Di depan Cikgu Liza, Halim membuka kertas keputusannya.

Kuntum kegembiraan terus berkembang di hatinya sekaligus menghalau debaran yang berombak kuat memukul dada. Halim meraih agregat 245! Kegembiraannya tidak terkata.

Yes! Yes!” ujar Halim sambil menghayun-hayun kertas yang berada dalam genggaman tangan kanannya. Akhirnya, Halim dapat membanggakan ibu bapanya.

Sesungguhnya segala usaha yang dilaburkan membuahkan hasil. Ketika itu, deraian air mata mengalir kerana berasa begitu gembira. Itulah air mata kerana rasa syukur yang teramat sekali.

KARYA: MUHAMMAD ISHAQ IBRAHIM
SEKOLAH: SEKOLAH TINGGI PEMERINTAH BUKIT PANJANG 

- BERITAmediacorp/aq

Top