Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Belia sambut baik huraian isu perubahan iklim yang dibentangkan dalam NDR 2019

Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad, membentangkan senarai huraian bagi menangani cabaran perubahan iklim, yang beliau tegaskan akan menjejas teruk Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad, membentangkan senarai huraian bagi menangani cabaran perubahan iklim, yang beliau tegaskan akan menjejas teruk Singapura.

Warga muda yang ditemui BERITA Mediacorp menyifatkan langkah pemerintah itu sebagai berpandangan jauh dan melahirkan rasa yakin Singapura dapat menangani kesannya.

Bagi pejuang alam sekitar seperti Cik Farah Sanwari langkah utama menurutnya ialah memastikan masyarakat sedar betapa serius kesan perubahan iklim kepada Singapura.

"Ramai yang tidak tahu tentang perubahan iklim. Apa maksudnya kepada kita sebagai seluruh negara. Apa yang akan terjejas akibat perubahan iklim ini dan kita harus mengambil langkah untuk memahaminya dengan lebih lanjut," kata pengasas bersama Repair Kopitiam itu.

Lantas, Cik Farah yang diiktiraf PM Lee atas sumbangannya kepada pemeliharaan alam sekitar, mengalu-alukan barisan huraian yang dibentangkan pemerintah bagi menangani risiko negara ini terdedah kepada peningkatan paras laut.

PM Lee dalam ucapannya mengumumkan Pemerintah mungkin perlu menanggung kos sekitar S$100 bilion atau lebih dalam tempoh antara 50 hingga 100 tahun, untuk melindungi kawasan pesisir pantai dari kenaikan paras air laut.

Tegas PM Lee juga, ia harus diusahakan mulai sekarang kerana tidak mahu generasi masa depan yang terjejas menanggung beban itu.

Pengerusi unit belia MESRA, Muhammad Fauzi Saini, bersetuju tentang kesannya kepada generasi muda.

"Saya rasa ia patut diadakan dan ia amat penting sekali kerana ia akan memberi kesan kepada masa depan belia-belia kita dari segi pekerjaan, perumahan dan juga untuk ekonomi akan datang ini," kata beliau.

Seorang lagi belia yang ditemui BERITA Mediacorp lahirkan harapan agar golongan belia sepertinya akan sama-sama menunjukkan keprihatinan terhadap isu penting itu.

"Saya berbesar hati PM Lee dapat menyentuh tentang isu perubahan iklim dan kerana ia adalah isu yang sangat penting dan cabaran yang besar untuk seluruh negara kita dan saya harap warga muda dan belia dapat turut prihatin tentang isu ini kerana ia akan menjejas diri kita dan seluruh negara," ujar mahasiswa NUS, Hafiz Nasruddin.

Mereka yang ditemui juga menyatakan rasa lega dan yakin terhadap pemerintah kerana sudah ada huraian untuk menangani cabaran perubahan iklim.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan