Images
  • polytechnic
    Para pelajar di Politeknik Singapura. (Gambar fail: TODAY)

Belia S'pura kurang keinginan jadi usahawan, kerja luar negara: tinjauan WEF

SINGAPURA: Kebanyakan belia Singapura lebih gemar bekerja di sini berbanding di luar negara, dan hanya segelintir kecil mahu menjadi seorang usahawan, menurut tinjauan yang dijalankan Forum Ekonomi Sedunia (WEF).

Berhubung cita-cita keusahawanan, Singapura berada pada kedudukan paling rendah dalam kalangan enam negara serantau yang ditinjau, dengan hanya 17 peratus belia menyuarakan hasrat sedemikian.

Hampir dua pertiga atau 66 peratus belia di sini, tidak merancang untuk bekerja di luar negara, menurut laporan WEF bertajuk 'Belia Asean: Kemahiran, Teknologi dan Masa Depan Kerja' yang diterbitkan pada Jumaat (16 Ogos).

Laporan tersebut meninjau 56,000 belia berusia 15 hingga 35 tahun dari enam negara: Singapura, Indonesia, Thailand, Malaysia, Vietnam dan Filipina.

Tinjauan WEF itu menilai sikap mereka terhadap pekerjaan dan kemahiran serta bagaimana teknologi menjejas masa depan pekerjaan.

Ini antara dapatan utama tinjauan online itu:

ASPIRASI KEUSAHAWANAN

  • Indonesia menduduki tempat pertama dengan 36 peratus yang ditinjau menzahirkan minat menjadi usahawan. Menurut laporan tersebut, ia mungkin disebabkan oleh suri teladan yang berjaya menubuhkan syarikat pemula yang bernilai tinggi.
  • Thailand menduduki tempat kedua (32 peratus)
  • Vietnam menduduki tempat ketiga (26 peratus)
  • Malaysia di tempat keempat (23 peratus)
  • Filipina mendahului Singapura di tempat kelima (19 peratus)

BEKERJA DI LUAR NEGARA

Secara purata, 54 peratus yang ditinjau dari keenam-enam negara ingin bekerja di luar negara dalam tempoh tiga tahun akan datang, namun warga Singapura lebih gemar bekerja di negara sendiri.

66 peratus warga Singapura ingin bekerja di negara sendiri.

Ini diikuti dengan Indonesia (60 peratus), Vietnam (55 peratus) dan Malaysia, di mana sekitar separuh daripada mereka ingin bekerja di negara sendiri.

KEMAHIRAN INSANIAH LEBIH PENTING DARIPADA TEKNIKAL

Tinjauan tersebut mendapati belia Asean lebih mementingkan kemahiran insaniah berbanding kemahiran teknikal

  • 46 peratus responden berkata kreativiti dan daya inovasi adalah penting
  • 46 peratus menamakan kemahiran bahasa sebagai penting
  • 39 peratus menekankan kemahiran menggunakan teknologi dan aplikasi lain.

Namun kajian tersebut mendapati kemahiran yang dinilai penting berbeza dalam kalangan belia Asean.

Misalnya, belia Thai lebih mementingkan kepintaran emosi dan kemahiran berkomunikasi, manakala belia Singapura lebih mementingkan keupayaan berfikiran secara kritikal dan membuat analisis.

PELUANG PEMBANGUNAN, GAJI PUNCA UTAMA TUKAR KERJA

Para responden juga ditanya tentang sebab utama mereka bertukar pekerjaan

  • 19 peratus responden menukar kerja untuk meraih peluang lebih baik dan pertingkatkan diri
  • 19 peratus menukar kerja untuk meraih gaji lebih tinggi
  • 10 peratus ingin pekerjaan yang dapat mengimbangi tuntutan kerja dan kehidupan apabila bertukar kerja
  • 9 peratus membuat pertukaran demi aturan waktu kerja lebih fleksibel
  • 2 peratus kehilangan pekerjaan akibat gangguan teknologi

- TODAY/TQ/tq

Top