Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belia Melayu perlu berfikiran kreatif, ramal masalah masa depan untuk rebut peluang baru

Para peserta Socialthon akan menghadiri sebuah program Inkubator Kepimpinan selama tiga bulan anjuran Kelab MENDAKI, untuk membantu mereka mengembangkan idea-idea mereka menjadi projek yang mampan. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para belia perlu berfikiran kreatif dan berupaya meramal masalah masa depan serta menanganinya sebelum ia berleluasa.

Langkah tersebut akan membolehkan mereka merebut peluang baru dan meningkatkan daya saing dalam apa yang mereka lakukan.

Demikian seruan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, kepada sekitar 100 belia yang menghadiri pelancaran inisiatif Socialthon 2017, anjuran MENDAKI hari ini (22 Jul).

PESERTA, MENTOR BINCANG ISU YANG INGIN DICEBURI

Acara Socialthon 2017 memanfaatkan tenaga dan daya kreatif belia untuk memerah otak demi mencari huraian inovatif bagi masalah yang dihadapi masyarakat.

Ia dilakukan dengan mempertemukan mereka dengan mentor-mentor berpengalaman, yang dapat memberi pencerahan secara mendalam tentang isu-isu yang ingin diceburi.

Isu-isu tumpuan bagi acara ini terbahagi kepada lima, iaitu:

- budaya keusahawanan dan syarikat pemula
- teknologi, inovasi dan pekerjaan
- masyarakat dan kesihatan
- persekitaran dan kesesuaian hidup
- serta seni dan budaya

Sejauh ini, Socialthon berjaya menggabungkan belia dan mentor yang masing-masing mempunyai minat pelbagai.

Seorang peserta Socialthon Khairin Nazeera, seorang usahawan berkata: "Sebagai seorang usahawan sendiri saya rasa idea yang ada sekarang adalah untuk mengetengahkan lebih ramai usahawan wanita untuk dijadikan contoh ataupun 'role model'."

"Apa yang boleh saya lakukan sekarang, menasihatkan mereka, menunjukkan mereka cara macam mana kita boleh – bukan menghindar – kita boleh meringankan sedikit isu-isu masyarakat dalam bidang kesihatan," kata mentor Socialthon Roslinah Rajab.

ISU SOSIAL BUKAN KERANA PERUBAHAN TEKNOLOGI SAJA

Dalam ucapan beliau di acara ini pagi tadi, Dr Yaacob menekankan bagaimana isu-isu sosial yang baru, boleh terbit bukan hanya kerana perubahan teknologi, tetapi juga kerana perkembangan sosiopolitik dan ekonomi sejagat.

Maka itu beliau menyeru para peserta agar memanfaatkan pengalaman dan ilmu mendalam mentor-mentor yang terlibat dalam program ini.

Menerusi kaedah ini, beliau berharap agar program Socialthon dapat menjana generasi pemimpin masa hadapan yang menjadi 'penggerak kemajuan masyarakat.'

Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim berkata: "Dengan landskap dunia yang semakin dinamik, kita harus mampu melihat ke hadapan dan merebut peluang-peluang yang bakal wujud untuk kekal relevan.

"Daya kreativiti dan keupayaan untuk berfikir 'di luar zon selesa' sangat penting supaya kita dapat menjangkakan isu-isu baru dan membantu masyarakat kita bersedia utuk menanganinya. Saya harap, menerusi acara Socialthon ini, kita dapat membangunkan generasi belia yang berdaya tahan, mahir dan berjiwa masyarakat."

Para peserta Socialthon akan menghadiri sebuah program Inkubator Kepimpinan selama tiga bulan anjuran Kelab MENDAKI, untuk membantu mereka mengembangkan idea-idea mereka menjadi projek yang mampan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan