Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Belia contoh: Hazeem Nasser tubuh NGO kebajikan pada usia 17 tahun

Sangat jarang anak remaja belasan tahun memulakan sendiri sebuah badan kebajikan, namun itulah yang berjaya dilakukan pelajar bernama Hazeem Nasser ketika dia berusia 17 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sangat jarang anak remaja belasan tahun memulakan sendiri sebuah badan kebajikan, namun itulah yang berjaya dilakukan pelajar bernama Hazeem Nasser ketika dia berusia 17 tahun.

Hazeem mula terdedah kepada kerja-kerja sukarela semasa berada di sekolah menengah lagi di mana dia menjadi sukarelawan di kelab-kelab masyarakat.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

Dia juga terdorong untuk membantu golongan memerlukan setelah mendapat inspirasi daripada ibu bapanya sendiri.

"Setiap hari mereka akan membeli makanan untuk para pekerja pembersih di sekeliling rumah kami," kongsi Hazeem. Dia berusia 13 tahun ketika itu.

"Oleh sebab itu, saya dapat mempelajari naratif-naratif yang berbeza daripada naratif (kehidupan) kami," tambahnya lagi.

Berkembang dari situ, Hazeem akhirnya mula tertarik kepada keinginan mahu 'mentakrif semula' kerja-kerja sukarela, iaitu golongan memerlukan tidak sepatutnya dibantu 'sekali sahaja'. Sebaliknya, sukarelawan harus membina hubungan dengan orang yang dibantu dan mengambil masa untuk mengetahui kisah hidup mereka.

Hubungan antara penerima bantuan dan pemberi bantuan tidak seharusnya sekadar 'transactional' sahaja tekan Hazeem. Iaitu sekadar memberi pakej bantuan dan melupakan mereka.

(Gambar: Hazeem Nasser)

(Gambar: Hazeem Nasser)

Dengan ini, hubungan antara para penerima bantuan dan para sukarelawan akan menjadi lebih dua hala dan saling mempercayai, kata Hazeem.

"Aspek untuk membina hubungan ini adalah penting."

"Kalau kita memberi sahaja bantuan tetapi tidak menjalin hubungan dengan mereka, tidak adalah semangat gotong-royong," ujar anak muda ini.

TUBUHKAN NGO SENDIRI PADA USIA 17 TAHUN

Maka itu pada 2016 semasa berusia 17 tahun, Hazeem menubuhkan sebuah NGO dipanggil ALittleChange (ALC), yang menerapkan dan membina hubungan rapat dengan keluarga-keluarga berpendapatan rendah yang dibantunya.

Menerusi tiga projek ALC yang diterajuinya, Hazeem berjaya menarik tenaga 220 sukarelawan dan membantu lebih 5,100 orang.

(Gambar: Hazeem Nasser)

(Gambar: Hazeem Nasser)

Ini termasuk salah satu program 'care packages' (pakej jagaan) di mana para keluarga berpendapatan rendah diberi pakej-pakej yang mengandungi makanan semasa musim perayaan.

Selain itu, program ALittleCamera pula dilancarkan pada 2018 bagi membantu merapatkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak mereka menerusi kamera filem yang diagihkan untuk merakam kehidupan seharian mereka bersama.

Golongan yang dibantu ini merupakan mereka dari keluarga berpendapatan rendah di mana para ibu bapa sibuk bekerja untuk menjana pendapatan, sehingga tidak dapat meluangkan lebih banyak masa bersama anak mereka.

CABARAN AWAL

Hakikatnya, perjalanan Hazeem mengendalikan ALC bukanlah mudah, terutama sekali pada peringkat awal ia ditubuhkan.

"Ada ramai orang yang tidak percaya akan motivasi saya untuk membantu golongan yang memerlukan kerana saya seorang pelajar dan masih muda lagi," kongsi Hazeem.

"Namun, setiap hari apabila saya bekerjasama dengan golongan yang memerlukan dengan bantuan kawan-kawan saya, mereka dengan perlahan-lahan mula meletakkan kepercayaan kepada kami dan kerja kami," tambahnya.

(Gambar: Hazeem Nasser)

(Gambar: Hazeem Nasser)

Dengan peredaran masa, menurut Hazeem, kumpulannya itu juga berjaya meraih pengalaman dari keluarga-keluarga yang ditemui. Ini lantas, memberi peluang untuk ALC mencorak jalan penyelesaian bagi golongan yang memerlukan ini.

Hazeem kini menjadi Penasihat ALC.

BANTU PARA PENJUAL TISU JALANAN PULA MENERUSI TSP

Setelah berjaya mengendalikan ALC, Hazeem kemudian mengorak langkah menubuhkan pula sebuah lagi NGO bernama The Signpost Project (TSP) pada tahun 2019.

(Gambar: Hazeem Nasser)

(Gambar: Hazeem Nasser)

TSP bertujuan membantu mendekati 20 penjual tisu jalanan. Menerusi projek ini, 50 sukarelawan mengunjungi para penjual tisu yang kebanyakannya warga tua dan ada yang berkerusi roda.

Para sukarelawan TSP akan berjumpa dengan penjual tisu itu secara mingguan, membantu mereka ke hospital dan juga membawa makanan untuk mereka, selain memastikan golongan ini ada akses kepada bantuan sosial.

Antara lapan kawasan yang TSP aktif sekarang ini termasuklah Jurong East, Clementi, Hougang dan Kovan.

"Mungkin pada masa hadapan, kita boleh berkembang ke lokasi-lokasi lain seperti City Hall dan Raffles Place," kongsi Hazeem.

(Gambar: Hazeem Nasser)

(Gambar: Hazeem Nasser)

Kini berusia 23 tahun, dan merupakan mahasiswa tahun 4 Kolej Yale-NUS, Hazeem berkata dia cukup berbangga kerana ada di kalangan sukarelawannya yang kini menubuhkan pula 'masyarakat sukarelawan' mereka sendiri. Ini sekali gus mengembangkan lagi gagasan sukarelawan dua hala ini.

"Mereka pergi ke kawasan yang kumpulan kami sendiri tidak pernah pergi untuk membantu golongan-golongan seperti para penjual tisu atau keluarga yang memerlukan," kata Hazeem.

Bagi Hazeem, yang sudah hampir lima tahun mengetuai NGOnya sendiri, ini merupakan petanda bahawa semangat gotong-royong itu berjaya dihidupkan dalam kalangan belia dan boleh dianggap salah satu kejayaan bagi dirinya.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan