Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Bahagian 2 Kaca Mata Wanita Milenial S’pura: Nuraliah, Sarah & Afiqah buktikan peluang ‘bersuara’ sentiasa ada

Selami minda tiga individu yang cekal berdepan pelbagai cabaran demi mengecap aspirasi dan merebut peluang untuk ‘bersuara’.

Anggaran Waktu Membaca:
Bahagian 2 Kaca Mata Wanita Milenial S’pura: Nuraliah, Sarah & Afiqah buktikan peluang ‘bersuara’ sentiasa ada

Selami minda tiga individu yang cekal berdepan pelbagai cabaran demi mengecap aspirasi dan merebut peluang untuk ‘bersuara’. (Gambar: Helmy/BERITAMediacorp)

BERITAMediacorp: Pencapaian wanita muda generasi milenial hari ini membuktikan bahawa peluang-peluang untuk 'bersuara' sentiasa ada. Ini disebabkan tekad dan disiplin yang tidak pudar oleh sebahagian individu apabila mengharungi cabaran dan rintangan.

BERITAMediacorp mewawancara tiga individu berpotensi besar yang cekal berdepan pelbagai cabaran demi mengecap aspirasi dan merebut peluang untuk ‘bersuara’ melalui wadah yang berbeza-beza.

TIDAK BERPUTUS ASA

Kadangkala sifat yang dianggap sebagai sumber kekuatan boleh disalah tafsir sebagai satu kelemahan diri. Ia sedikit sebanyak mampu menggugat keyakinan diri sekiranya tidak diatasi.

Itulah yang dialami Cik Nuraliah Norasid, 31 tahun, pemenang Hadiah Buku Fiksyen Epigram 2016. Karya bertuah itu adalah novel sulung beliau, setebal 278 muka surat, bertajuk "The Gatekeeper".

(Gambar: Nuraliah Norasid)

(Gambar: Nuraliah Norasid)

Kemenangan bernilai $25,000 yang diraih Cik Nuraliah bagaimanapun tidak datang bergolek. Cik Nuraliah adalah lulusan dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dengan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kesusasteraan Inggeris dan Penulisan Kreatif.

Menurut Cik Nuralia, sepanjang tempoh selepas naskhah karya beliau dihantar, adalah waktu yang amat mendebarkan.

"Saya berasa amat tertekan, saya sebenarnya begitu gentar tentang hasil karya saya yang (ketika itu) terdedah bagi tatapan umum.”

(Gambar: Helmy/BERITAMediacorp)

Pada awalnya, walaupun sudah menyiapkan naskhah novelnya pada tahun 2015, Cik Nuralia terlepas tarikh akhir penyertaan pertandingan. Namun, beliau tidak berputus asa dan sekali lagi menghantarkan naskhah tersebut pada tahun 2016 bagi pertandingan yang sama.

MATLAMAT DIJADIKAN MOTIVASI

(Gambar: Sarah Bagharib)

Bagi seorang lagi wanita yang diwawancara BERITAMediacorp, Cik Sarah Bagharib, beliau berpendapat selain percaya kepada kekuatan diri dan berusaha untuk terus membina keyakinan diri, seseorang perlu menitikberatkan hala tuju mereka dalam apa juga bidang yang diceburi.

"Tujuan saya menjadi motivasi berterusan (bagi diri) saya dan antaranya adalah menyediakan wadah bersuara bagi golongan-golongan yang lemah dan tidak berpeluang ataupun mereka yang kurang bernasib baik.

“Justeru, saya berpegang kepada tujuan tersebut dalam semua perkara yang saya lakukan, sejauh ini," jelas Cik Sarah, 27 tahun.

Cik Sarah bertugas sebagai Pegawai Komunikasi di sebuah pertubuhan bantuan kemanusiaan antarabangsa, sejak tahun lalu. Pengalamannya yang luas mendorong beliau untuk menjayakan inisiatif bukan untuk mencari keuntungan, iaitu The Codette Project. Ia menyasarkan untuk mendapatkan lebih banyak penglibatan golongan wanita Muslim/minoriti dalam industri teknologi.

Cik Sarah juga merupakan pengasas inisiatif yang diberi nama, Crazycat. Ia adalah wadah yang memberikan sokongan dan inspirasi buat wanita menerusi perkongsian bahan, acara dan bengkel-bengkel.

CIPTA PELUANG SENDIRI

Peluang sedia ada mungkin tidak mencukupi ataupun memenuhi citarasa individu, maka itu semakin ramai yang mencipta peluang sendiri dalam bidang pilihan masing-masing. Cik Afiqah Anwar, 24 tahun, tidak terkecuali.

Beliau membuat keputusan untuk mengejar impian dalam bidang penulisan dengan menerbitkan sendiri koleksi sulung sajaknya yang bertajuk "Little Miss Cloud Writes", pada tahun lalu. Kosnya sahaja sudah menelan belanja sekitar seribu dolar.

(Gambar: Helmy/BERITAMediacorp)

"Bersikap positif dan disiplin amat penting untuk membina semangat kerana ada kalanya masa yang saya lalui melenyapkan segala perangsang dan idea-idea untuk terus menulis," kata Cik Afiqah.

(Gambar: Afiqah Anwar)

Anak bongsu empat beradik itu mula menulis sejak tahun 2015 dan sejauh ini sudah menghasilkan hampir 500 kuntum sajak. Buku yang diterbitkan itu mengandungi sekitar 91 kuntum sajak dan mengambil masa sekitar sembilan bulan untuk disunting.

Walaupun sudah menggenggam segulung diploma dalam jurusan Pelancongan, Cik Afiqah bertekad dan kembali kepada ‘cinta pertamanya’, iaitu bidang penulisan. Beliau kini menumpukan masa sepenuhnya kepada kerjaya sebagai seorang penulis walaupun beliau sedar akan risiko yang wujud.

MANFAATKAN MEDIA SOSIAL UNTUK BERSUARA SECARA WAJAR

Dengan adanya media sosial, pasti akan mengundang pandangan-pandangan kritis yang mungkin sahaja menjejas perasaan dan usaha. Cik Afiqah akur akan keadaan itu, di mana wadah media sosial yang sudah sebati dengan kehidupan generasi milenial menimbulkan cabaran-cabaran yang unik kepada generasi itu.

"Milenial masa kini mungkin ... (dianggap lemah jika dibandingkan dengan) generasi dahulu. Kami dimanjakan, amat memilih, pasif dengan pelbagai kebimbangan dan sebagainya. Kami juga selalu ingin berhak akan sesuatu," jelas Cik Afiqah.

Generasi milenial mempunyai saluran dan peluang untuk merubah persepsi sebegini. Semua wadah yang wujud harus digunakan secara wajar kerana mereka merupakan generasi pelapis masyarakat dan negara.

Cik Sarah menambah generasi milenial harus berpandangan jauh dan menjangkaui sekadar 'Likes' di media sosial. Sebaliknya, Cik Sarah menyarankan agar wadah sedia ada dimanfaatkan sebaiknya.

(Gambar: Sarah Bagharib)

"Apakah dasar-dasar yang akan menjejas anda dan anda perlu tahu perkara-perkara itu memandangkan anda membentuk masa depan dan apa sahaja yang anda lalui sekarang akan menentukan (arus masa depan), ataupun anda boleh menggunakan suara anda bagi membuat perubahan."

Justeru, kedua-dua inisiatif, The Codette Project dan Crazycat yang diusahakan oleh Cik Sarah amat dekat dengan hati beliau kerana ia bertindak sebagai wadah yang merangsang bagi kaum wanita supaya terus mencapai kejayaan.

BUANG JAUH FIKIRAN NEGATIF

Antara cabaran bekerja adalah masa yang terbatas untuk berkarya. Sekalipun begitu, Cik Nuraliah merancang untuk terus menulis novel beliau yang seterusnya. Ini memandangkan terdapat banyak lagi isu dan topik yang mahu dikupas dan ia boleh disampaikan menerusi penceritaan bertulis. Impian yang serupa turut dikongsi Cik Afiqah yang berhasrat menerbitkan koleksi kedua sajak.

(Gambar: Nuraliah Norasid)

Cik Nuraliah mengongsi pengajaran penting yang beliau pelajari, khusus bagi kaum Hawa: "Adanya keperluan untuk katakan 'tidak' kepada sesetengah perkara dan belajar membentuk sedikit ruang untuk diri sendiri.

“Saya berpendapat bahawa ini amat penting, terutamanya, bagi wanita, wanita Melayu, yang (cenderung) meluangkan masa mereka sepenuhnya melakukan banyak perkara tanpa meluangkan masa untuk impian yang benar-benar mereka mahu berikan perhatian. Maka itu, mencipta ruang bagi diri sendiri setiap hari, sama ada dari segi mental atau fizikal, ataupun meluangkan masa sepanjang sejam pada pukul 4.00 pagi untuk diri anda dan sasaran yang mahu dicapai, adalah mustahak."

Bagi Cik Sarah pula, keberanian untuk mencuba harus terbit dalam diri setiap individu. Beliau menambah, fikiran yang negatif perlu dibuang jauh: "Saya memberitahu diri saya bahawa saya perlu lakukannya dan berikan tumpuan penuh. Dan, saya tidak membenarkan diri mendengar pengkritik dalam diri saya ataupun seteru di dalam minda, justeru saya boleh capai lebih banyak lagi! 

Sumber : BERITA Mediacorp/HS/hs
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan