Images
  • adeep altimet
    Adeep Nahar dan Altimet akan turut serta dalam Pesta Rima Irama anjuran BERITAmediacorp. (Gambar: FB/ Altimet)

Apakah tanggungjawab anak seni bagi memartabatkan bahasa Melayu?

BERITAmediacorp: Memang sudah sedia maklum penguasaan bahasa penting bagi memastikan setiap mesej yang mahu disampaikan boleh difahami.

Hal ini lebih penting lagi bagi seseorang anak seni dalam proses pembikinan karya mereka.

Dalam landskap hiburan zaman ini yang penuh dengan penggiat muda, apakah peranan dan tanggungjawab anak seni dalam memelihara bahasa Melayu?

Perkara itu akan dibincangkan di Pesta Rima Irama, anjuran BERITAmediacorp, Ahad ini (6 Okt) di Wisma Geylang Serai.

MUZIK, BUDAYA HIP-HOP SEMAKIN DIGEMARI

Dengan pelbagai platform media sosial yang tersedia ada, tidak hairanlah muncul banyak nama penyanyi baru sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ternyata, bukan saja muzik genre aliran utama yang meraih manfaat daripada perkembangan ini tetapi juga gaya muzik baru termasuk muzik hip-hop.

Bagi penyanyi rap mapan Malaysia, Altimet, kemunculan bakat-bakat baru ini membuktikan bagaimana muzik dan budaya hip-hop kini lebih disenangi orang ramai.

Malah, ada juga anak muda yang mendalaminya sehingga mengkaji seni kata lagu-lagu hip-hop.

Lantaran itu, beliau berharap anak muda masa kini akan memperkasakan penguasaan bahasa mereka agar dapat menerbitkan karya lebih baik lagi.

"Dengan adanya bahasa yang baik, apa-apa yang hendak disampaikan dan mesej yang hendak disampaikan itu tidak terhad kepada alat muzik sahaja. Itulah sebab mengapa bahasa sangat penting," kata beliau.

PENYANYI MUDA AMBIL JALAN PINTAS?

Bagi penyanyi dan guru vokal, Adeep Nahar, munculnya bakat-bakat baru membawa kepada landskap muzik yang segar dan sentiasa menampilkan pembaharuan.

Namun, terdapat segilintir yang mengambil jalan pintas iaitu membuat rujukan melalui online berbanding belajar daripada mereka yang berpengalaman.

Perkara ini sekaligus menjejas penggunaan bahasa dalam sesebuah lagu.

"Bukan penting untuk orang luar bukan saja untuk masyarakat am tetapi untuk kita sendiri supaya penguasaan bahasa Melayu kita ini semakin kuat. Kita lebih memahami bahasa Melayu kita sendiri. Bahasa Melayu kita ini sebenarnya indah dan cantik. Janganlah jadi seorang penyanyi yang kosong, jadilah seorang penyanyi yang berilmu," katanya.

Adeep Nahar dan Altimet akan mengongsikan lebih banyak lagi tentang penggunaan bahasa dan rima serta penyampaian seni kata dalam lagu di acara Pesta Rima Irama, Ahad ini. 

- BERITAmediacorp/RU/ha

Top