Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'APA H.A.L' dengan remaja? Kecelaruan minda Milenial dikupas dalam pementasan ini

Sempena ulang tahun ke-10, kumpulan tarian Melayu NTU, Beztari, mengupas isu-isu identiti belia dalam pementasan tarian 

Anggaran Waktu Membaca:
'APA H.A.L' dengan remaja? Kecelaruan minda Milenial dikupas dalam pementasan ini

Kumpulan tarian Melayu NTU, Beztari (Gambar: Beztari)

BERITAMediacorp: “Apa hal?” mungkin antara soalan yang lazim kedengaran dari mulut golongan remaja.

Ia mengajak generasi milenial untuk meluahkan seribu satu macam persoalan yang membuncahkan fikiran sedang mereka mencari identiti tersendiri untuk mengorak langkah masa depan.

'Apa hasratku? Apa arah hidupku? Apa langkahku seterusnya?'

Persoalan-persoalan seperti inilah yang bakal dikupas dalam pementasan ‘APA H.A.L?’ oleh kumpulan tarian Beztari pada Sabtu ini (28 Apr). Ia adalah penerbitan terbaru Beztari, yang mengadakan pementasan dua tahun sekali.

Menjelang pementasan tersebut, BERITAMediacorp bertanya kepada kumpulan tarian dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu, yang pada tahun ini menyambut ulang tahun ke-10, apa hal dengan tema ‘APA H.A.L?’.

MENGAPA ‘APA H.A.L?’

Menurut kumpulan Beztari ‘APA H.A.L?’ merujuk kepada luahan yang biasa digunakan ketika marah atau keliru. Manakala 'H.A.L' adalah akronim bagi Hasrat, Arah dan Langkah - kiasan persoalan yang menjadi keprihatinan seseorang yang memulakan lembaran baru kehidupan.

“Kami harap produksi ini dapat memberitahu penonton, terutama sekali para belia, bahawa mereka tidak keseorangan dalam melalui kesusahan ini.

“Hampir kesemua belia akan berdepan dengan dilema ini dan mereka boleh berkongsi dengan rakan-rakan mereka untuk mendapatkan sokongan,” Naib Kapten Kumpulan Beztari, Edrie Rizwan Abdul Mutalib, memberitahu BERITAMediacorp.

Malah bukan setakat itu saja, mereka juga berharap pementasan kali ini dapat membantu para penonton di luar lingkungan usia belia untuk "memahami kepayahan yang dilalui generasi ini".

Ini sejajar dengan pendekatan kumpulan tersebut yang selama ini menjadikan setiap pementasan mereka sebagai wacana tentang isu-isu relevan, di samping melestarikan tarian Melayu dan menghiburkan penonton.

SEDEKAD SUMBANG KEPADA PERSADA SENI S'PURA

Ibarat gerak tari yang berubah mengikut rentak irama, begitu juga berkembangnya peranan Beztari mengikut rentak peredaran masa.

Bermula dengan persembahan secara kecil-kecilan di NTU, saban tahun Beztari mengambil bahagian dalam pelbagai acara kemasyarakatan di luar kampus. Ini termasuk persembahan amal dan akar umbi, serta acara besar tahunan seperti Festival Muara anjuran Esplanade dan Bulan Bahasa.

Perjuangan melestarikan budaya turut diperluaskan menerusi kerjasama dengan kumpulan seni lain, sama ada dalam bentuk persembahan bersama mahupun kolaborasi menganjurkan acara seni.

"Kami sering bekerjasama dengan institusi pendidikan yang lain agar dapat mendalami pemahaman dan meningkatkan prestasi kami, dengan ilmu yang dikongsi bersama.

“Kami berharap dengan lebih peluang yang diberikan untuk membuat persembahan di luar sekolah, kami dapat membolehkan orang awam menghargai seni tarian Melayu dengan lebih mendalam," kata Encik Edrie kepada BERITAMediacorp.

SEMANGAT TARI 'HIDUP' DALAM KALANGAN ALUMNI

Ternyata minat mendalam terhadap tarian Melayu dalam kalangan anggota kumpulan Beztari tidak pudar. Walaupun sudah tamat pengajian di NTU/NIE, minat itu masih ‘hidup‘ dan menebal dan peluang untuk terus menyumbang semula kepada masyarakat tidak pernah disia-siakan.

Buktinya, sebahagian daripada 50 orang yang bertungkus-lumus menjayakan 'APA H.A.L?' merupakan anggota alumni kumpulan tersebut, yang memainkan peranan sebagai penari, pereka tari dan tenaga balik tabir.

Sebahagian anggota alumni juga masih aktif bergiat dan menempa nama di persada seni tari Melayu setempat. Ini termasuk para pereka tari Ismail Jemaah dan Elfi Ismail, serta Hasyimah Harith, yang juga pengarah urusan kumpulan tarian baru, P71:SMA.

"Kami berharap agar Beztari dapat meneruskan pementasan dwi-tahunan seperti ini, dan berkembang sebagai sebuah kumpulan menerusi lebih banyak peluang persembahan setempat. Mana tahu, mungkin juga serantau dan antarabangsa?" ujar Encik Edrie.

UNSUR INTERAKTIF BAGI PENONTON 'APA H.A.L?'

Bagi pementasan Sabtu ini (28 Apr), Beztari berharap untuk menjadikannya suatu pengalaman lebih interaktif bagi 240 penonton.

Sebuah galeri kecil akan ditempatkan di ruang masuk bagi mempamerkan gambar-gambar dan kata-kata berkaitan tema pementasan yang mengajak penonton berfikir.

Mereka boleh meluahkan pandangan mereka, berkongsi pengalaman sendiri serta menulis kata-kata perangsang dan melekatkan mesej tersebut di galeri itu.

Para penonton juga dipelawa untuk mencatat fikiran mereka, berkongsi pengalaman serta menulis kata-kata perangsang dan melekatkan mesej mereka di galeri tersebut.

(Video asal: Beztari)

Kedua-dua tarian tradisional Melayu dan kontemporari turut diterapkan dalam pementasan kali ini agar ia memenuhi citarasa peminat kedua-dua genre.


'APA H.A.L?' dipentaskan Sabtu ini (28 Apr) di Pusat Drama NLB pada pukul 3.00 petang dan 8.00 malam.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan