Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Anda boleh main 'game' sambil kitar semula sampah sarap. Ini caranya...

Sekumpulan mahasiswa Melayu/Islam dari Institut Teknologi Singapura (SIT) berjaya menghasilkan sebuah aplikasi telefon bijak yang bertujuan menggalak anak-anak muda mengamalkan tabiat mengitar semula, menerusi permainan yang menyeronokkan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekumpulan mahasiswa Melayu/Islam dari Institut Teknologi Singapura (SIT) berjaya menghasilkan sebuah aplikasi telefon bijak yang bertujuan menggalak anak-anak muda mengamalkan tabiat mengitar semula, menerusi permainan yang menyeronokkan.

Keprihatinan tentang pencemaran alam sekitar dijadikan ilham kepada lima pelajar tahun kedua ini untuk berbuat sesuatu.

Hasilnya, sebuah apps permainan dipanggil 'Ubin Heroes' tercipta di mana pemainnya bertarung dengan gergasi di alam maya.

Untuk mendapatkan senjata lebih ampuh bagi melawan gergasi-gergasi dalam permainan ini, para pemain boleh mengutip sampah dan mengitarnya.

Setiap sampah yang dikitar semula di tempat yang betul, dan dipetik kod QRnya, memberi mata yang boleh dikumpulkan untuk membeli 'senjata'.

Itulah konsep permainan ini, yang jelas ditujukan kepada golongan muda.

Ia sekali gus menghiburkan mereka, tetapi juga mendidik mereka tentang pentingnya mengitar semula sampah.

KEKELIRUAN TENTANG KONSEP KITAR SEMULA

Menurut tinjauan kumpulan ini, ramai orang yang mahu mengitar semula tetapi masih tersilap langkah.

"Kami mendapati bahawa warga Singapura, walaupun mereka sedar kepentingan mengitar semula, mereka masih membuat kesilapan seperti membuang sampah di tong yang salah," kata salah seorang anggota kumpulan, Muhd Azman Mohd Salleh, 24 tahun.

Muhd Azman Mohd Salleh

Apps Ubin Heroes itu yang dihasilkan dalam masa empat bulan untuk telefon bijak Android, merupakan projek bagi kursus Pembangunan Aplikasi Mudah Alih di SIT.

"Kami ingin juga mendidik warga Singapura bahawa kitar semula ini tidak hanya terhad kepada sampah plastik.

"Ada banyak lagi sampah yang boleh dikitar semula yang harus mereka lakukan," tambah seorang lagi anggota kumpulan, Muhd Fauzi Johari, 24 tahun yang juga pencetus idea bagi kumpulan ini sejak mula projek ini diberikan.

Muhd Fauzi Johari

Berkat bimbingan tenaga kerja dari SIT dan pakar industri dari Google, apps itu terpilih sebagai projek terbaik daripada 14 pasukan.

APP BERPOTENSI UNTUK PERGI JAUH

Namun demikian, app ini belum boleh dimuat turun oleh orang ramai kerana ia masih lagi sebuah projek percubaan.

"Kami serahkan kepada para pelajar ini kerana ini adalah app yang dihasilkan mereka sendiri, idea mereka," jelas Prof Tan Chek Tien, Penolong Profesor kumpulan ini yang banyak menghulurkan bantuan kepada para mahasiswa itu.

"Ke mana mereka ingin membawa app ini, kami akan berkhidmat... sebagai pemudah cara dengan menggunakan rangkaian industri kami atau dengan menyediakan beberapa kategori peluang pendanaan kepada mereka."

Hakikatnya, projek interaktif para pelajar ini membuktikan, amalan mengitar semula dan permainan fantasi, boleh disenyawakan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan