Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anak Melayu, Syafik Iskandar, menang tempat ke-3 pertandingan foto antarabangsa

Bayangkan. Ada hampir 15,000 penyertaan. Peserta pula datang dari 103 negara bertanding. 

Anggaran Waktu Membaca:
Anak Melayu, Syafik Iskandar, menang tempat ke-3 pertandingan foto antarabangsa

Syafik Iskandar Nordin menjulang tempat ketiga bagi Anugerah Fotografi Antarabangsa (IPA) 2017. (Gambar-gambar: Ihsan Syafik Iskandar)

BERITAMediacorp: Bayangkan. Ada hampir 15,000 penyertaan. Peserta pula datang dari 103 negara bertanding.

Keputusannya: Seorang anak Melayu Singapura muncul di tempat ketiga terbaik dalam pertandingan antarabangsa itu.

Itulah pencapaian membanggakan Syafik Iskandar Nordin, bukan sahaja untuk dirinya, malah juga untuk negara. Beliau menjulang tempat ketiga dalam kategori "Seni Bina/ Sejarah" bagi Anugerah Fotografi Antarabangsa (IPA) 2017.

Memetik gambar St Peter's Basilica di Vatican City, usaha kali pertamanya dalam pertandingan tersebut, ternyata sudah cukup untuk membawa tuah. Manakan tidak, tidak seperti ramai peserta lain yang mungkin menggunakan kamera mahal-mahal, Encik Syafik sekadar menggunakan 'kamera digital biasa sahaja'.

Encik Syafik memberitahu BERITAMediacorp: "Sebelum ini, saya tidak berasa yakin untuk bertanding, tetapi selepas memenangi pertandingan tempatan... saya bercadang untuk mencuba nasib.

"Saya rasa sinaran matahari ke dalam bangunan, dalam gambar itu, memberikan impak yang nostalgik dan megah. Apabila gambar itu diubah menjadi hitam putih, ia lebih menambahkan lagi kuasa kepada gambar tersebut."

Gambar Syafik Iskandar yang menang tempat ketiga IPA 2017.

Keputusan pertandingan antarabangsa itu baru diumumkan minggu lalu (6 Okt). Ini sebenarnya kemenangan kedua Encik Syafik dalam pertandingan fotografi dalam tempoh enam bulan.

Pada Mac tahun ini, pemuda 31 tahun itu berjaya muncul juara dalam pertandingan foto anjuran UniSIM bersempena minggu Reka Bentuk Singapura 2017.

Yang pasti, Syafik kini diperakui sebagai seorang bakat di persada global dengan kemenangan IPA 2017 itu.

Seorang pereka grafik yang juga penuntut sambilan di Universiti Singapura Sains Sosial (SUSS) dalam jurusan Teknologi dan Reka Bentuk Berbilang Media, Syafik malah juga meraih "honourable mention" (kata-kata pujian) bagi empat gambar lain yang dikirimkan bagi IPA 2017.

TIDAK PERLU KAMERA MAHAL UNTUK PETIK GAMBAR BAIK

Yang menariknya, Encik Syafik berkongsi dengan BERITAMediacorp bahawa gambar St Peter's Basilica itu sekadar dipetik menggunakan kamera digital biasa saja. Bukan kamera profesional yang berharga belanja ribuan atau puluhan ribu dolar.

"Ramai dalam kalangan golongan muda yang bertanya saya, kalau gambar lawa, gunakan kamera apa? Tetapi apa yang harus mereka tanyakan sebenarnya adalah jika gambar itu lawa, bagaimana cara mengambil gambarnya?

"Gambar yang baik tidak semestinya memerlukan kamera yang mahal. Apa yang lebih penting adalah orang di sebalik kamera itu, dan bukan kamera tersebut," kata Encik Syafik kepada BERITAMediacorp.

Encik Syafik Iskandar.

Malah, beliau juga menyentuh tentang pentingnya berfikir di luar kotak atau kebiasaan bagi menonjolkan daya kreativiti.

Selain itu, seseorang jurugambar itu juga memainkan peranan penting dalam menghidupkan suasana gambar itu.

"Seseorang jurugambar harus tahu menimbulkan 'mood' yang diinginkan dalam model bagi gambar itu.

"Ia juga perlu meninggalkan impak kepada mereka yang melihat gambar itu kerana setiap gambar mesti ada kisahnya tersendiri. Itulah ciri-ciri gambar yang baik," kongsi pemuda kreatif itu lagi.

MAHU TANGKIS STEREOTAIP JURUGAMBAR PENGANTIN

Juga pengasas syarikat Mish Photo Box, Encik Syafik juga mengambil tempahan bagi fotografi pengantin dan majlis perkahwinan.

Bagaimanapun, beliau sedar akan tanggapan yang sering diberikan terhadap jurugambar pengantin hingga ke hari ini.

"Ramai yang menanyakan 'setakat ambil gambar saja, kenapa mahal-mahal?' Tetapi sebenarnya ia bukan 'setakat ambil gambar saja'.

"Kamera yang kami gunakan harus disenggarakan. Jangka bertahun-tahun untuk mempelajari seni fotografi dan masa diperlukan untuk mencantikkan lagi gambar itu juga perlu diambil kira.

"Pengalaman dan ilmu kami tidak boleh dikompromi," luahnya kepada BERITAMediacorp.

Sebuah lagi gambar yang dipetik Syafik Iskandar.

INGIN BERJINAK-JINAK DALAM FOTOGRAFI FESYEN

Lebih cenderung kepada fotografi percutian dan perkahwinan, Encik Syafik bagaimanapun tetap menyimpan hasrat untuk menceburi fotografi dalam bidang fesyen.

"Fotografi bagi model atau fesyen adalah dunia yang berbeza sama sekali. Adakalanya, ia perlu mengikut tema dan pancaran lampu yang berbeza," katanya.

Meskipun begitu, Encik Syafik yakin bahawa kejayaan itu boleh dicapai walaupun beliau harus bermula dari bawah.

"Tentu sekali saya ingin mengambil gambar bagi jenama-jenama mewah. Tetapi saya tidak kisah, jika saya harus bermula secara kecil-kecilan sekali pun," kongsinya lagi, mengakhiri perbualan.

Kini dengan kemenangan antarabangsa yang dikecapinya itu, saham Encik Syafik tentunya sudah naik. Mungkin lebih banyak pintu akan lebih mudah terbuka untuknya - sama ada untuk menceburi fotografi fesyen ataupun fotografi jenama mewah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan