Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Akademi Barca S'pura bantu bakat muda Melayu capai impian jadi pemain bola sepak profesional

Lapan bakat muda dari Singapura, enam daripadanya anak Melayu, berpeluang mendapat didikan dan bimbingan di Akademi Barca Singapura menerusi biasiswa yang buat julung-julung kalinya ditawarkan oleh akademi kendalian FC Barcelona itu. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sebut sahaja Kelab Bola Sepak Barcelona - pasti terbayang sebuah pasukan terkemuka dunia dan bintang kelab itu - Messi, Suarez dan Neymar.

Lapan bakat muda dari Singapura, enam daripadanya anak Melayu, berpeluang mendapat didikan dan bimbingan di Akademi Barca Singapura.

BERITAmediacorp bertemu penerima biasiswa yang buat julung-julung kalinya ditawarkan oleh akademi kendalian FC Barcelona itu.

Bakat-bakat muda bawah 15 tahun ini terpilih daripada 90 pemain bola sepak yang menyertai sesi percubaan terbuka untuk merebut biasiswa berlatih di Akademi Barca Singapura baru-baru ini.

Nur Muhammad misalnya mempunyai cita-cita besar - mahu menjadi seperti idolanya di FC Barcelona.

"Saya ingin menjadi pemain bola sepak yang terbaik, sama seperti Lionel Messi," ujar pelajar Sekolah Rendah Seng Kang Green yang menerima biasiswa itu.

Dengan biasiswa yang diterima, lebih mudah bagi Nur Muhammad untuk menjadikan impiannya satu kenyataan.

Bernilai sehingga S$12,000 biasiswa tersebut dikhaskan buat pelajar Skim Bantuan Kewangan yang dilahirkan antara 2005 dengan 2009 untuk mengasah bakat di luar bidang akademik.

"Saya rasa teruja kerana FC Barcelona kelab yang besar dalam dunia. Saya gembira dapat masuk akademi ini," kongsi Muhd Adam Mohd Faisal, seorang lagi penerima biasiswa yang ditawarkan akademi tersebut.

Apakan tidak, mereka berpeluang mewakili satu-satunya akademi FC Barcelona yang terletak di Asia Tenggara, menentang pasukan lain dari merata dunia.

Ini termasuk perlawanan-perlawanan di luar negara seperti di Bangkok, China dan negara asal kelab tersebut, Sepanyol.

"Baru-baru ini kita dapat pergi ke Qingdao, China. Bermain dengan pasukan dari China. Dari sana, para pemain akan dapat pengalaman yang sungguh unik dan dapat membawa balik pengalaman itu," kata Encik Shahrin Zainuddin, jurulatih Akademi Barca Singapura.

"Amat berbeza berbanding sekolah saya kerana sini kami bermain dengan pantas dan banyak berlari," kongsi Dhamiri Zahid Imran, 15 tahun.

Pengarah teknikal Akademi Barca Singapura Marc Reyes Custal berkata: "Bagi saya, kaedah tersebut sesuatu yang besar dan mendalam yang paling penting adalah nilai hormat, usaha, rendah diri, wawasan dan kerjasama. Kedua adalah falsafah permainan. Falsafah permainan yang melahirkan pemain seperti Messi, Iniesta, Xavi, Busquet, Pique dan lain-lain lagi."

Akademi Barca juga memberikan tumpuan kepada penjaga gawang dengan latihan yang khas bagi mereka.

"Bapa saya cakap dekat saya kerana ada terlalu banyak pemain di dunia. Jadi, saya bermain sebagai penjaga gol. Saya terpilih untuk bermain di Barcelona jadi saya gembira," kongsi Aniq Martin Zulfadli, yang juga mempunyai seorang adik yang bermain di akademi itu.

Apapun posisi mereka di padang bola sepak, para penerima biasiswa diharap dapat memanfaatkan peluang keemasaan ini sepenuhnya.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan