Images
  • lungi main
    (Gambar-gambar: Instagram/Nabillah Jalal)

7,000 kain sarung percuma bakal dihadiahkan kepada pekerja hijrahan hasil derma orang ramai

SINGAPURA: Sebanyak 7,000 kain sarung baru bakal dihadiahkan secara percuma kepada para pekerja hijrahan yang tinggal di dormitori-dormitori.

Ini menjadi kenyataan setelah dalam masa empat hari sahaja, S$33,000 berjaya dikumpulkan daripada orang ramai.

Sasaran asalnya ialah mahu mengumpulkan $23,000 dalam masa tiga hingga empat minggu bagi membeli 5,000 kain sarung atau 'lungi' dalam bahasa Bengali.

BAGAIMANA INISIATIF INI TERCETUS?

Selepas berhasil mengumpul pakaian terpakai dan kurma untuk didermakan kepada para pekerja hijrahan pada Ramadan lalu, guru muzik tempatan Nabillah Jalal mendapati ada satu lagi keperluan mereka yang belum dipenuhi.

Iaitu, untuk membelikan kain sarung yang baru untuk pekerja hijrahan yang dibantu itu. Kebanyakan lungi yang mereka pakai didapati sudahpun lusuh atau koyak.

Lantaran itulah, Nabillah, 29 tahun, menghimpunkan sekumpulan individu untuk mengusahakan pengumpulan dana melalui media sosial bagi projek Lungi Living ini.


(Gambar: Instagram/Nabillah Jalal)

"Salah seorang daripada mereka khususnya meminta kain sarung lungi kerana mereka tidak mampu membelinya. Biasanya, mereka membelinya apabila mereka pulang ke tanah air mereka dan kali terakhir mereka pulang adalah sekitar Mac tahun lalu.

"Mereka memberitahu bahawa kebanyakan mereka hanya tinggal sehelai sahaja kain sarung lungi dan itu pun sudah lusuh dan koyak.

"Bagi seseorang yang meraih $3 hingga $5 sejam, membeli sehelai kain sarung lungi yang berharga sekitar $10 adalah jumlah agak besar daripada gaji mereka," jelas Nabillah.

Kini dengan projek itu melepasi sasarannya, lebih ramai lagi pekerja hijrahan Bangladesh misalnya akan dapat dibantu.

Mereka yang turut menguruskan projek Lungi Living ini termasuk abang Nabillah sendiri Adib Jalal, serta Harun Amirrul Rasyid, Razin Mohamed, Cindy Chia dan Huey Lin.

BUKAN SEKADAR KAIN

Sebenarnya matlamat Lungi Living, kongsi Nabillah, adalah untuk memberi sedikit keselesaan kepada para pekerja hijrahan tersebut.

"Ia mungkin sehelai kain sahaja tapi kami berharap ia membantu mereka berehat dengan lebih baik, berasa lebih dekat dengan rumah mereka yang terpaksa ditinggalkan dan mengingatkan mereka bagaimana rehat itu sepatutnya dirasakan.

"Pada peringkat lebih mendalam, kami berharap mereka rasa diingati dan dihargai oleh masyarakat Singapura," kata Nabillah.


(Gambar: Instagram/Nabillah Jalal)

Pada awalnya juga, mereka berhasrat mengirimkan kesemua lungi yang dibeli kepada satu dormitori.

Namun, disebabkan sekatan COVID-19, mereka harus menyemak semula strategi pengagihan mereka dan menghantar kepada sembilan dormitori di kawasan Jurong East, Woodlands dan Tuas.

CABARAN & HARAPAN

Sekatan-sekatan COVID-19 memaksa pasukan Nabillah itu bekerja dalam kumpulan yang kecil. Namun ia tetap kekal berkesan.

Ini meskipun mereka mempunyai kerjaya masing-masing dan masih perlu memberikan sepenuh perhatian kepada projek ini.

"Meskipun kami berhubung dengan kumpulan seperti It's Raining Raincoats (inisiatif menjaga kebajikan pekerja hijrahan), pendekatan ini membolehkan kami bekerja dengan lebih tangkas dan responsif," kata Nabillah.


(Gambar: Instagram/Nabillah Jalal)

"Apa yang orang ramai boleh segera lakukan ialah bermula dengan skala kecil... dan jika kita boleh lakukan lebih lagi, kita harus melakukannya.

"Kebaikan bukan sahaja harus dibuat pada hari-hari tertentu sahaja tetapi melakukannya pada hari-hari biasa adalah lebih penting," ujar beliau lagi.

Pengagihan kain-kain sarung lungi itu dijadual dijalankan pada hujung minggu ini. 

- BERITAmediacorp/tq

Top