Images

45 pelajar cemerlang ITE terima Anugerah Bestari 4PM

SINGAPURA: Pengiktirafan untuk pelajar tidak kira dari institusi mana, perlu diberi bagi menggilap potensi mereka.

Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar, Dr Maliki Osman menekankan hal tersebut di majlis penyampaian Anugerah Bestari 4PM pada Ahad (20 Dis).

Anugerah tersebut diberikan bagi mengiktiraf para pelajar cemerlang Institut Pendidikan Teknikal (ITE) yang menunjukkan prestasi baik dalam bidang akademik dan kokurikular.

Seramai 45 pelajar ITE menerima Anugerah Bestari anjuran Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), 36 daripadanya menerima anugerah bagi kategori Akademik manakala baki sembilan pelajar menerima anugerah bagi kategori bukan Akademik.

Dr Maliki Osman berharap para pemenang Anugerah Bestari tahun ini akan terus menyumbang kembali kepada masyarakat.

"Kita mengiktiraf para pelajar ini bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga kejayaan dari keseluruhannya. sumbangan mereka kepada projek-projek kemasyarakatan dan sebagainya. Ia memberi satu wadah di mana mereka menjadi inspirasi kepada anak-anak muda lain.

"Kita ingin terus menggilap potensi mereka. Menunjukkan bahawa sebagai anak muda, mereka bukan sahaja memainkan peranan untuk menggilap potensi tetapi juga menyumbang kepada semua lapisan masyarakat," kata beliau.

KEGAGALAN MASA LALU BUKAN PENGHALANG

Sejak di sekolah menengah lagi, Daniel Augusto Murlis, 19 tahun, sering beranggapan dirinya tiada potensi untuk berjaya.

Sering kali gagal dalam mata pelajaran seperti bahasa Inggeris dan Matematik, beliau sering menyembunyikan keputusan peperiksaannya daripada ibu bapanya.

Tidak ingin mengecewakan mereka dan atas motivasi diri untuk berjaya, Daniel terdorong untuk lebih tekun belajar.

Beliau yang kini menuntut di Politeknik Temasek dalam jurusan Kejuruteraan Bioperubatan berkata: "Saya datang dari sekolah di mana para pelajar di situ, saya tahu dan faham mengapa ada stereotaip. Jadi matlamat saya adalah untuk membuktikan kepada orang lain bahawa kita orang Melayu boleh belajar dan boleh menjadi cemerlang."

Berkat kecekalan dan kerja kerasnya dalam kursus NITEC Lanjutan dalam Kejuruteraan Elektrikal di ITE, Daniel dipilih sebagai penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Bestari 4PM.

"Dengan anugerah ini, ia menunjukkan bahawa, sebagai pelajar Melayu, kita berpotensi untuk berjaya seperti orang lain," ujar Daniel.

Lebih daripada cemerlang dalam pelajarannya, Daniel juga giat berkecimpung dalam kerja-kerja kemasyarakatan.

Antaranya, beliau pernah menyumbang tulang empat keratnya di Depok, Indonesia tahun lepas, untuk mengajar kanak-kanak serta melakukan kerja ubah elok bagi sebuah bangunan sekolah di sana.

Malah, dengan sering menggiatkan diri dalam kerja-kerja sukarelawan, pandangaan hidupnya lebih luas.

Daniel berkata: "Memang pada awalnya, saya melakukan ini hanya untuk memenuhi kriteria. Tetapi semakin banyak saya berjumpa dengan orang, saya semakin memahami dunia di luar sana, maka saya mula menghargai semua benda yang saya ada."

"Semakin saya melakukan kerja-kerja sukarelawan, semakin saya menyedari dan saya memahami mengapa orang yang melakukan kerja ini mahu menolong orang lain di sekeliling. Pada dasarnya, ia dilakukan atas rasa ihsan."

Sebagai penerima Anugerah Cemerlang Bestari 4PM, Daniel yakin bahawa beliau boleh terus menyumbang kepada masyarakat, lebih-lebih lagi golongan pelajar sepertinya.

"Bagi saya yang pernah belajar di ITE, saya juga boleh berbual dengan mereka. Jadi mungkin saya dapat bertemu mereka, bercakap dengan mereka dan cuba memberi mereka perspektif yang lebih baik dalam kehidupan," kata Daniel.

Sebagai kata-kata perangsang kepada para pelajar lain untuk cemerlang, Daniel berkata: "Anda perlu mula percaya dengan diri sendiri. Dan anda harus berusaha keras, tidak kira latar belakang keluarga kerana saya percaya bahawa kita semua dilahirkan sama, dari segi potensi untuk cemerlang."

Daniel membawa pulang sijil, trofi berserta wang tunai S$300 selaku penerima Anugerah Pelajar Cemerlang.

Manakala penerima Anugerah Bestari pula, masing-masing menerima sijil dan S$250 bagi pencapaian akademik dan S$200 bagi bukan akademik. 

- BERITAmediacorp/tq

Top