Images
  • sahibba 2

40 pasukan beradu minda bagi Piala Cendekia Sahibba 2019

SINGAPURA: Sekolah Rendah Riverside, Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang dan Hwa Chong Institution masing-masing muncul juara dalam Piala Cendekia Sahibba 2019.

Sebanyak 40 pasukan peringkat sekolah rendah hingga prauniversiti beradu minda bagi merebut gelaran juara dalam peraduan itu.

Diberi masa hanya 50 minit, setiap kumpulan diuji penguasaan kosa kata mereka untuk membentuk secara silang kata di atas papan permainan Sahibba. Peraduan Sahibba yang disokong Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), bertujuan memupuk minat terhadap pembelajaran Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar menerusi wadah alternatif dan menyeronokkan.

Di akhir dua pusingan, Sekolah Rendah Riverside, Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang dan Hwa Chong Institution muncul sebagai juara dalam kategori masing-masing.

Menurut salah satu peserta pasukan dari Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang, Said Febryandy Said Mohamad Kamal: "Kami telah mempelajari banyak perkataan baru yang tidak kita ketahui sebelum ini. Selain itu, saya merasakan ia peluang untuk mengetahui lebih lanjut tentang Bahasa Melayu."


Pendapat yang sama dikongsi oleh peserta Hwa Chong Institution, Liau Yee Seng: "Untuk mencatatkan prestasi baik dalam permainan sahibba, kita perlu meningkatkan kosa kata kami untuk meletakkan perkataan yang baik dalam masa yang diberikan. Dalam persiapan bagi pertandingan ini, kumpulan kami berlatih setiap hari dalam penggunaan Bahasa Melayu dan ini telah bantu untuk memperhebatkan lagi keupayaan Bahasa Melayu saya lagi."

Pertandingan Sahibba ini juga menarik penyertaan 52 guru dalam kategori khusus buat mereka.

"Kosa kata memainkan peranan yang penting dalam penggunaan Bahasa Melayu. Jadi dengan adanya permainan sahibba ini diharapkan dapat mengembangkan lagi penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar," kata Cikgu Noraini Washil.

Buat julung-julung kalinya, pertandingan ini dianjurkan bersama oleh tiga institusi - Sekolah Rendah Riverside, Sekolah Menengah Woodgrove dan Maktab Rendah Catholic.

- BERITAmediacorp/tq

Top