Images

3 pelajar madrasah terima Anugerah Madrasah LBKM tahun ini

SINGAPURA: Tiga pelajar madrasah sepenuh masa dipilih sebagai pemenang Anugerah Madrasah Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) tahun ini.

Ia merupakan kali ketiga anugerah itu dikeluarkan LBKM demi mengiktiraf pencapaian pelajar madrasah yang serba boleh.

Anugerah itu disampaikan di Majlis Penganugerahan LBKM yang dianjurkan pada Jumaat (17 Jan).

AMIRAH ADANI MENANG DALAM KATEGORI PSLE

Kesemuanya seramai lapan pelajar dari lima buah madrasah sepenuh masa dicalonkan bagi Anugerah Madrasah LBKM tahun ini.

Tiga pelajar akhirnya terpilih sebagai pemenang sebagai mengiktiraf pencapaian akademik, daya kepimpinan serta pelibatan mereka dalam kerja-kerja kemasyarakatan.

Pemenang kategori PSLE ialah Amirah Adani Zulfadhli, yang meraih keputusan cemerlang tahun lalu dan mencapai lebih 90 peratus dalam kesemua subjek ukhrawinya.

Dia juga aktif menyertai pelbagai pertandingan termasuk Majlis Tilawah & Tahfiz Al Quran anjuran MUIS.

Bekas pelajar Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah itu membawa pulang hadiah wang tunai S$500.

"Saya amat bersyukur dapat menjadi inspirasi kepada orang-orang di sekeliling saya. Anugerah ini dapat mendorong saya menjadi yang terbaik, saya terima anugerah ini sebagai amanah. Saya akan cuba untuk terus melakukan yang terbaik dalam segala bidang yang saya lalui," ujarnya penuh matang.

ASIYAH BEGAM RANGKUL ANUGERAH KATEGORI GCE 'O'

Kategori GCE 'O' dimenangi Asiyah Begam Yusuff Mohammed Yunus, bekas pelajar Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah. Aisyah membawa pulang hadiah bernilai S$1,000.

Pencapaian akademiknya cemerlang dengan 5 A1 untuk peperiksaan GCE 'O' serta markah keseluruhan sebanyak 94 peratus untuk mata pelajaran ukhrawi beliau.

Selain itu, beliau juga aktif mengambil bahagian dalam pertandingan seperti Pertandingan Robot Negara dan Olimpiad Matematik.

Dia yang kini menuntut di Politeknik Ngee Ann dalam bidang Sains Bioperubatan bercita-cita untuk menjadi seorang doktor. Beliau ingin menjadikan pekerjaannya kelak sebagai bentuk dakwah.

Beliau juga merupakan sukarelawan aktif di Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF).

ZAID GHAZALI BERCITA-CITA JADI ULAMA

Bekas pelajar Madrasah Wak Tanjong, Zaid Ghazali, mencapai keputusan yang mengagumkan secara konsisten dalam ujian-ujian di madrasah menjelang peperiksaan peringkat 'A' serta dalam mata pelajaran ukhrawinya.

Dia yang kini menuntut di Universiti Jordan sering mengejar minatnya dengan semangat kental.

Beliau juga menerapkan sifat selalu ingin membantu dan sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan kepada rakan-rakannya.

Dek kejayaannya memenangi Anugerah Madrasah LBKM itu, Zaid dihadiahkan wang tunai S$1,500.

Calon-calon lain yang tidak menang mendapat sijil penghargaan serta baucar buku bernilai S$100 setiap seorang.

Pengarah Eksekutif LBKM, Muhammad Harmizan Abdul Hamid berkata: "Kita boleh melihat bahawa ramai yang dicalonkan daripada madrasah-madrasah di Singapura ini adalah pelajar-pelajar yang terbaik dan mereka menonjolkan prestasi dalam bidang akademik dan bidang kegiatan dan kemasyarakatan mereka."

ANUGERAH SWSA SOKONG PENCAPAIAN DAN PERKEMBANGAN PELAJAR

Di majlis itu juga, 10 pelajar kerja sosial dan khidmat sosial menerima Anugerah Pendidikan Kerja Sosial MUIS (SWSA) yang berjumlah S$76,000 keseluruhannya.

Anugerah itu berperanan sebagai penggalak untuk para pelajar memulakan kerjaya yang bermakna dalam sektor khidmat sosial dan menyumbang kepada peningkatan masyarakat.

"Pertama sekali saya berterima kasih kepada MUIS dan LBKM atas anugerah ini. Saya berharap dapat menjadi pembimbing kepada masyarakat untuk menggunakan kekuatan mereka untuk menyumbang semula kepada mereka yang memerlukan," kata Cik Siti Rasyidah Shiekh Abdul Hakim, salah seorang penerima anugerah SWSA.

Majlis itu diakhiri dengan makan malam bersama para penaja, penderma dan sukarelawan LBKM. 

- BERITAmediacorp/tq

Top