Images
  • mendaki award 1

2 penerima Anugerah MENDAKI, Nuha Omar Zohri-Kung dan Farezuan Zulkifli bertekad dampingi lebih ramai pelajar memerlukan

SINGAPURA: Jika pada siang hari beliau berguru, sebelah malam, beliau pula yang menjadi guru.

Itulah yang menjadi rutin setiap malam Jumaat bagi pelajar maktab rendah Raffles Institution (RI), Nuha Omar Zohri-Kung, 17 tahun, yang meluangkan masa selama hampir dua jam untuk memberi tuisyen secara percuma di Heartbeat@Bedok.

Menerusi program Empowering Generation Z (EGZ), satu inisiatif oleh pelajar RI, Nuha dan rakan-rakan semaktab membimbing kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah di kawasan Kampong Chai Chee.

"Saya rasa ilmu boleh memberi seseorang itu keyakinan dan membuka peluang yang luas dalam hidup," kata pelajar kacukan Melayu-Cina itu.

Selain Kampong Chai Chee, program EGZ turut dijalankan di kawasan-kawasan lain seperti Potong Pasir, Yio Chu Kang dan Jurong Spring.

Dengan sokongan MENDAKI, Nuha bertekad untuk mempergiatkan lagi bimbingan bagi program itu agar dapat mendampingi lebih ramai pelajar.

"Dengan rangkaian yang sedia ada, kita harap agar kita dapat mendamping lebih ramai pelajar dalam kawasan timur. Program ini akan memanfaatkan keluarga-keluarga sekiranya mereka menghantar anak-anak mereka ke kelas ini secara konsisten," ujar Nuha, yang menanam cita-cita untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang veterinar.

NAMA MEMBAWA BERKAT

Meskipun sibuk dengan persiapan bagi peperiksaan GCE 'O' tahun lalu, ia sama sekali tidak menghambat Nuha daripada melakukan kerja-kerja sukarela di sebuah pusat perlindungan haiwan.

Malah, bekas pelajar Sekolah Menengah Meridian itu juga aktif menganjurkan pelbagai kegiatan untuk golongan warga emas.


Gambar: MENDAKI

Kecemerlangannya meraih keputusan L1R5 dengan tujuh mata bagi peperiksaan tersebut menjadikan beliau terpilih sebagai salah seorang penerima Anugerah MENDAKI bagi kategori peperiksaan peringkat 'O'.

Tambahan lagi, ibunya, Cik Zulfa Jureni-Kung sentiasa mendoakan yang terbaik buat anaknya.

"Sebenarnya harapan saya bermula dari nama yang saya berikan kepadanya. Nama 'Nuha' itu jika kita terjemahkan daripada Bahasa Parsi, ia bermakna kebijaksanaan. Itu satu doa dari saya kepadanya sebagai ibu," kata Cik Zulfa.

Lantaran itu, Cik Zulfa sentiasa memberikan sokongan padu kepada Nuha kerana yakin dengan keupayaan anaknya itu.

"Sejak kecil lagi saya telah mendidiknya supaya menilai masa dan mengambil sikap bertanggungjawab ke atas tindakannya. Ketika dia memberitahu saya tentang penglibatannya dalam program EGZ ini, saya menggalakkannya kerana saya rasa, ini satu tujuan yang murni. Cuma saya berpesan kepadanya supaya pandai bahagikan masa," ujar Cik Zulfa.

TIDAK MAHU LIHAT ANAK-ANAK KECICIRAN DEK KEHIDUPAN MENCABAR

Aspirasi untuk membantu lebih ramai pelajar turut dikongsi rakan sekumpulan yang juga penerima Anugerah MENDAKI bagi kategori yang sama, Farezuan Zulkifli.


Gambar: MENDAKI

Bekas pelajar Sekolah Victoria itu turut meraih keputusan cemerlang L1R5 dengan 6 mata untuk peperiksaan peringkat 'O' tahun lalu.

Buat dirinya, sokongan keluarga dan rakan-rakan menjadi tunggak kekuatannya tatkala berasa kurang bersemangat terutama dalam pelajaran.

Azam untuk membantu para pelajar yang kurang berkemampuan semakin membara kerana prihatin terhadap nasib mereka.

"Sebenarnya saya rasa ini adalah cara saya menunjukkan penghargaan saya. Selama ini saya memang agak bertuah kerana sejak dari kecil, saya tidak perlu begitu khuatir tentang persiapan sekolah ataupun makan.

"Jadi, penting untuk saya menyumbang kembali kepada masyarakat dan sebagai seorang pelajar sekarang, saya rasa bahawa cara yang terbaik adalah untuk memberi tuisyen kepada anak-anak ini," kata Farezuan, yang berhasrat untuk menjadi seorang guru suatu hari nanti.

Selain bimbingan akademik, Farezuan dan Nuha turut menghulurkan sokongan moral kepada kanak-kanak sekolah rendah yang menghadiri kelas tuisyen itu melalui permainan dan kegiatan menarik.

Sebanyak 517 anugerah daripada 17 kategori disampaikan tahun ini dari peringkat PSLE hinggalah ke peringkat universiti bagi mengiktiraf pencapaian anak-anak Melayu/Islam yang cemerlang dalam bidang akademik dan bukan akademik. 

- BERITAmediacorp/fz

Top