Images

162 pelajar terima biasiswa SgIS, tertinggi sejak 2012

SINGAPURA: Seramai 162 pelajar menerima Biasiswa Industri Singapura (SgIS) tahun ini iaitu jumlah yang tertinggi sejak ditubuhkan pada 2012.

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berkata biasiswa itu merupakan kerjasama penting antara pemerintah dan industri-industri untuk membangunkan teras Singapura yang lebih kukuh dalam kalangan para pemimpin industri.

Encik Heng yang berucap kepada para penerima biasiswa dalam majlis yang diadakan secara maya petang tadi (28 Jul), juga menarik perhatian bahawa SgIS merupakan biasiswa pertama yang diperkenalkannya semasa memegang jawatan selaku Menteri Pendidikan pada 2012.

SgIS juga meraikan ulang tahun kesepuluhnya tahun ini.

Bermula dengan hanya 28 syarikat penaja, ia kini mendapat sokongan 73 syarikat daripada 14 sektor utama yang tampil menawarkan biasiswa.

Setakat ini, 1,140 biasiswa sudah dianugerahkan merangkumi pelbagai sektor termasuk bioperubatan, kejuruteraan dan khidmat sosial.

"Walaupun menghadapi pelbagai cabaran jangka pendek yang tercetus oleh COVID-19, syarikat-syarikat terus melabur untuk masa hadapan dan belia kita melihat peluang-peluang yang ditawarkan biasiswa ini. SgIS adalah sebahagian daripada usaha yang lebih luas untuk memperkukuhkan kerjasama antara Pemerintah dan industri-industri, untuk membangunkan rakyat kita sepenuhnya," kata DPM Heng.

TERDORONG SERTAI BIDANG BIOPERUBATAN SELEPAS IBU JATUH SAKIT

Penjagaan rapi yang diberikan doktor serta kakitangan hospital dalam memastikan pesakit menerima rawatan sempurna cukup mengagumkan Nadiah Mohamad Azman.

Itu dilihatnya sendiri apabila ibunya dirawat di hospital setelah didiagnos menghidap penyakit terminal.

Pengalaman itu mendorongnya untuk mendalami bidang bioperubatan dan farmaseutikal.

"Saya memilih untuk menceburi industri farmaseutikal dan bukan dalam industri perubatan disebabkan minat saya dalam subjek kimia serta penghasilan perubatan."

"Selalunya apabila kita memikirkan tentang peranan menjaga pesakit, kita selalunya akan memikirkan tentang pekerja-pekerja perubatan seperti jururawat dan doktor. Namun pada pendapat saya, terdapat kerjaya-kerjaya lain yang dapat menyumbang kepada penyembuhan pesakit," kata anak ketiga daripada empat adik-beradik ini.

Justeru, Nadiah mengikuti kursus Kimia Gunaan di Politeknik Singapura, di mana beliau meraih peluang untuk menimba pengalaman industri bersama syarikat farmaseutikal GlaxoSmithKline (GSK).

Pengalaman itu ternyata amat berharga buat dirinya.

"Saya telah didedahkan kepada operasi industri dan proses-proses yang digunakan dalam penghasilan ubat. Pada masa yang sama saya juga telah diberi pendedahan kepada operasi dan proses yang digunakan untuk memastikan keselamatan serta keberkesanan ubat yang dihasilkan di GSK," jelas Nadiah.

Dengan keputusan dan prestasi cemerlangnya, Nadiah terpilih untuk menerima Biasiswa Industri Singapura (SgIS) bersama syarikat tersebut dan bakal melanjutkan pengajian dalam kursus Kimia dan Kimia Biologi di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

IKUT JEJAK BAPA JADI JURUTERA

Menjelang akhir tahun ini, lebih 600 penerima biasiswa SgIS akan tamat pengajian mereka.

Antara yang sudah meraih manfaat daripada satu-satunya biasiswa oleh kerjasama antara pemerintah dan industri-industri tempatan itu adalah Mohamed Faisal Mohamed Soffe yang menerima biasiswa itu pada 2015.

Lulusan bidang kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di NTU itu berjaya merealisasikan impiannya itu setelah ditawarkan kerja di syarikat SP Group.


Mohamed Faisal Mohamed Soffe menerima biasiswa SgIS pada 2015 (Gambar: SP Group)

"Biasiswa ini banyak memberi saya peluang untuk menjalin rangkaian dengan penerima dari pelbagai industri yang lain. Jadi dengan ini saya dapat memahami dengan lebih baik kerja saya dan keperluan industri yang lain," kata Faisal.

Beliau kini terlibat dalam banyak projek pemasangan dan penyenggaraan prasarana kuasa negara sebagai jurutera eksekutif.

Selain itu, beliau membantu mencipta satu aplikasi pengurusan tapak kerja yang dapat mengurangkan masa yang diperlukan untuk membuat laporan tentang perkembangan di tapak-tapak projek.

Ia kini digunakan di semua jabatan SP PowerGrid dan bantu menjimatkan masa bagi menyiapkan laporan. 

- BERITAmediacorp/tq

Top