Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

100 relawan singsing lengan cuci kereta bagi kumpul dana $15,000

Seramai 100 relawan menyingsing lengan untuk mencuci 200 buah kereta siang tadi.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 100 relawan menyingsing lengan untuk mencuci 200 buah kereta siang tadi.

Cuci Kereta Amal 2018 ini bertujuan untuk mengumpul $20,000 bagi Dana Bantuan Kewangan My Inspiring Journey.

Ini bagi membantu kanak-kanak dan para pelajar yang berkeperluan khas di Singapura.

Acara anjuran My Inspiring Journey dan Muslim Youth Forum ini turut dihadiri oleh Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.

(Prof Faishal Ibrahim yang turut turun padang pada acara siang tadi. Gambar-gambar: MYF/Instagram)

100 relawan dari Muslim Youth Forum (MYF) dan My Inspiring Journey (MIJ) berkumpul untuk menyumbang tenaga bagi mencuci 200 kenderaan sejak 9.00 pagi tadi.

Matlamat mereka hanya satu, iaitu mengumpul dana untuk sebuah sekolah berkeperluan khas yang akan menyediakan persekitaran pembelajaran yang sesuai dan bermutu untuk golongan pelajar ini.

Menurut penganjurnya, MIJ, usaha mengumpul dana adalah satu tugas yang mencabar.

Namun, $15,000 yang berjaya dikumpul siang tadi akan disalurkan kepada Yuran Tajaan Pelajar dan Dana Pembangunan Kemahiran Pelajar bagi hab pendidikan khas MIJ.

Dr Faishal yang hadir di acara siang tadi turut memuji inisiatif ini, yang menurut beliau, dapat memupuk nilai-nilai murni seperti sikap inklusif dan saling prihatin.

"Saya terharu dengan inisiatif yang dilakarkan pada pagi ini, ia boleh memberi peluang kepada kita untuk membangunkan nilai-nilai keihsanan, nilai bekerjasama, berkolaborasi di kalangan belia-belia kita, dan apa lagi ia adalah untuk tujuan yang sangat murni, dan saya mengalu-alukan inisiatif ini kerana saya percaya ia akan membangunkan individu-individu yang mempunyai nilai yang baik dan murni, yang selalu memikirkan kehidupan, kebajikan rakan-rakan mereka di Singapura.

"Apa lagi kalau kita memberikan kebahagiaan kepada mereka yang memerlukan, mereka yang hidup bersama-sama kita dan ia memberikan gambaran yang sangat positif dalam pembangunan belia-belia kita di Singapura," kata Dr Faishal.

Projek yang disokong oleh Mendaki ini berharap dapat meningkatkan lagi kesedaran masyarakat tentang autisme, gangguan pada daya tumpuan (ADHD), palsi serebrum, Sindrom Down, disleksia dan rencatan pada pembangunan keupayaan.

Pengasas 'MIJ Special Education Hub', Ali Dawood menyuarakan harapannya: "Harapan saya kesedaran kepada semua masyarakat tentang adanya autisme ini dalam masyarakat kita, dan bagaimana mereka dapat berusaha menolong budak-budak ini, dapat bekerjasama dengan mereka, integrasi, itulah harapan saya insyaAllah."

Sejauh ini, $15,000 berjaya dikumpul daripada $20,000 yang disasarkan.

Bagi mereka yang ingin membuat sumbangan, sila hubungi MIJ di talian 9088 8901. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan