Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Wajah lelaki Iraq ini salin tak tumpah macam Salah si bintang Liverpool

Dengan janggut hitam, rambut keriting dan jersi bolanya, pemain penyerang bola sepak pasukan Iraq, Hussein Ali, sering disapa ramai sebagai Mohamed Salah, pemain bola sepak handal dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
Wajah lelaki Iraq ini salin tak tumpah macam Salah si bintang Liverpool

Pemain bola sepak Iraq, Hussein Ali, bermain untuk pasukan Al-Zawraa. (Gambar: Sabah Arar/ AFP)

Diterbitkan : 08 Jun 2018 12:36AM Dikemas Kini : 08 Jun 2018 12:45AM

BAGHDAD: Dengan janggut hitam, rambut keriting dan jersi bolanya, pemain penyerang bola sepak pasukan Iraq, Hussein Ali, sering disapa ramai sebagai Mohamed Salah, pemain bola sepak handal dunia.

Di ibu kota Iraq, Baghdad, Ali sering ditahan para penduduk di sekitar kawasan kejiranannya untuk bergambar dengan 'idola' mereka.

Meskipun beliau sendiri seorang pemain penyerang bola sepak bagi pasukan Al-Zawraa, keirasannya dengan Salah yang menarik perhatian para penduduk Iraq.

"Semasa sesi latihan pertama, beliau memperkenalkan dirinya sebagai 'Hussein Ali'. Saya menjawab, 'Tidak, tidak, anda Mohamed Salah," kata jurulatih Ali, Adnan Mohammad.

Ali bergambar dengan seorang peminatnya. (Gambar: Sabah Arar/ AFP)

Ketika Salah masih lagi bermain untuk kelab A.S. Roma, Ali tahu tentang keirasannya tetapi beliau menganggap komen-komen orang ramai sebagai "gurauan sahaja".

Tetapi ketika pemain asal Mesir itu menjadi terkenal dek bermain untuk Liverpool dalam Liga Perdana - sehingga menjadi "pemain paling unggul di mata semua penduduk Arab" - Ali mula memberi perhatian kepada imejnya.

Pemain Liverpool, Mohamed Salah menjadi popular selepas pencapaiannya dalam Liga Perdana. (Gambar: Kirill Kudryavtsev/ AFP)

Pemain Liverpool, Mohamed Salah menjadi popular selepas pencapaiannya dalam Liga Perdana. (Gambar: Kirill Kudryavtsev/ AFP)

Sejak itu, beliau sering memakai baju merah kelab Liverpool.

"Ini asli, dibeli daripada pembekal rasmi," katanya dengan bangga sekali.

Ali menambah, beliau sanggup membeli baju yang dijual pada harga AS$40 (S$50) meski perlu menyara kehidupan keluarganya yang besar dan tidak mendapat sebarang gaji daripada bermain bola sepak.

Akhir-akhir ini, "Mohamed Salah Iraq" tidak boleh meninggalkan rumahnya tanpa ditahan para penduduk untuk mengambil gambar. Bukan itu sahaja, beliau sering dihampiri oleh para peminat bola sepak yang menyangka mereka bertemu dengan bintang Mesir itu.

Ali dengan baju yang dibelinya. (Gambar: Sabah Arar/ AFP)

"Pada waktu itu saya berada di dalam sebuah pusat beli-belah; pengawal keselamatan dan pengunjung, semuanya ingin bergambar dengan saya!" kata Ali.

Beliau juga menarik perhatian orang ramai ketika sedang bersaing dalam perlawanan bola sepak. "Ketika saya lawan kelab Al-Ahed dari Lebanon, ramai yang bergambar dengan saya selama satu setengah jam," ujar Ali.

Bulan lalu, Ali menyertai sekumpulan penyokong di pusat bandar untuk menyaksikan perlawanan Liverpool menentang Real Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara.

"Ketika Mohamed Salah cedera, ada yang mendekati saya seolah-olah saya yang sedang merasa sakit," kata beliau lagi.

"Di kejiranan saya, selama beberapa hari itu, orang ramai yang bertemu dengan saya akan mengucapkan kepada saya 'Semoga cepat sembuh'," tambahnya sambil tertawa.

Kekeliruan seperti inilah yang menghiburkan dirinya. Bagaimanapun, keirasan mereka mendorong Ali untuk merenung kembali tentang kehidupannya sendiri.

INGIN 'TIRU' DAN IKUT KEJAYAAN SALAH

Sejak kecil lagi, Ali sangat meminati bola sepak. Minatnya yang mendalam melayakkan dirinya menyertai pasukan Al-Zawraa, pasukan paling popular di Iraq.

Beliau berharap, satu hari nanti, beliau dapat mencapai impiannya seperti Salah, yang bangkit dari kampungnya untuk memasuki persada bola sepak antarabangsa.

"Kami bermain dalam kedudukan yang sama dan saya lakukan segalanya untuk 'tiru' dan mengikuti jejaknya," kata Ali yang tersenyum lebar.

Ali berharap dapat mengikuti jejak idolanya. (Gambar: Sabah Arar/ AFP)

Pemain Iraq itu juga berharap akan dapat sokongan seperti Salah di mana para peminat Inggerisnya pernah melaungkan hasrat untuk menjadi seorang Muslim ketika memuji pemain bola sepak handal itu.

"Beliau membaca al-Quran dan beliau bermohon kepada Tuhan supaya membantunya dalam perlawanan. Saya juga membaca al-Quran dan solat, seperti Abu Makka," kata Ali yang menyebutkan nama samaran penyerang Liverpool itu.

Selepas Salah mengalami kecederaan, ramai peminatnya di merata dunia tertanya-tanya jika beliau akan menyertai Piala Dunia yang akan bermula pada 14 Jun.

Beliau kini menyertai pasukan The Pharoahs dan rakyat Mesir berharap beliau akan terus mengukir sejarah.

Bagi Ali pula, beliau mengimpikan untuk bertemu dengan 'heronya' satu hari nanti: "Impian saya adalah untuk bertemu dengan Mohamed Salah... Mungkin beliau akan mengundang saya ke Piala Dunia di Rusia?" 

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan