Images
  • sebastian vettel
    Sebastian Vettel bersama para peminatnya. (Gambar: Ealbert Ho)

Vettel catat masa terpantas dalam sejarah Litar Marina Bay dalam sesi terakhir Grand Prix S'pura

SINGAPURA: Sebastian Vettel berjaya mencatat masa paling pantas yang pernah dicatatkan dalam sejarah Litar Marina Bay sedang pemandu Ferrari itu mendahului sesi latihan ketiga dan terakhir bagi perlumbaan Grand Prix Formula One hari ini (15 Sep).

Dalam sesi latihan itu, Sebastian Vettel dari pasukan Ferrari mencatat masa 1:38:054.

Seorang lagi pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen, juga berjaya mencatat masa kedua terpantas dengan menamatkan sesi latihan itu 0.362 saat selepas Vettel.

Sementara itu, dua pemandu pasukan Mercedes, Lewis Hamilton dan Valtteri Bottas, menduduki tempat ketiga dan keempat.

Hamilton menjuarai GP Singapura Singapore Airlines tahun lalu dan pernah menang dua kali di Litar Marina Bay sebelum ini pada 2009 bagi pasukan McLaren Mercedes dan 2014 bagi pasukan Mercedes. Bagaimanapun, Hamilton dijangka mendapat saingan sengit daripada Vettel.

Vettel juga pernah menjadi juara dalam GP Singapura empat kali sebelum ini – tiga kali sebagai pemandu Red Bull Racing Renault pada 2011, 2012 serta 2013 dan sebagai pemandu Ferrari pada 2015. 

- Reuters/MU/ai

Top