Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Tuduhan, penafian, siasatan jelang pemilihan tampuk kepimpinan baru FAS: Ini rentetannya

Para penyiasat berpakaian preman dilihat menyerbu pejabat-pejabat Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dan tiga lagi kelab bola sepak semalam (20 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Tuduhan, penafian, siasatan jelang pemilihan tampuk kepimpinan baru FAS: Ini rentetannya

Bill Ng (kiri) dan Lim Kia Tong.

Diterbitkan : 21 Apr 2017 03:15PM Dikemas Kini : 21 Apr 2017 03:33PM

SINGAPURA: Para penyiasat berpakaian preman dilihat menyerbu pejabat-pejabat Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dan tiga lagi kelab bola sepak semalam (20 Apr).

Serbuan itu dilancarkan sejurus selepas SportSG mengumumkan ia sudah memfailkan aduan berhubung kes yang disyaki penyalahgunaan dana Tiong Bahru FC dan percubaan seorang pegawai kanan kelab untuk menghalang kerja-kerja audit ke atas kelab-kelab Liga.S yang tidak turut serta daripada diselesaikan.

Isu yang membelenggu masyarakat bola sepak tempatan ini berlaku sedang tarikh pemilihan tampuk kepimpinan baru bagi pasukan FAS semakin hampir.

Encik Bill Ng, akan berentap dengan Pasukan LKT, yang dipimpin oleh presiden sementara FAS, Encik Lim Kia Tong dalam pemilihan pertama FAS itu.

Pemilihan itu akan berlangsung pada 29 April di Auditorium Black Box Sport Singapore.

Berikut ini rentetan insiden yang berlaku sebelum serbuan hari ini dijalankan:

15 MAR: BILL NG AKAN BERSAING DALAM PEMILIHAN TAMPUK KEPIMPINAN FAS

Dalam satu wawancara dengan TODAY, Encik Bill Ng, 56 tahun, pengerusi kelab bola sepak Hougang United FC dan Tiong Bahru FC, mengesahkan beliau akan menerajui sepasukan calon bagi pemilihan tampuk kepimpinan FAS.

Beliau ditukil sebagai berkata arena bola sepak tempatan masih “di takuk lama”, baik dari segi prestasi di padang mahupun kewangan.

“Menamatkan putaran itu akan menjadi tumpuan pasukan baru kami, untuk mengembalikan ‘Sorakan Kallang’ dan memberikannya asas untuk terus wujud sehingga beberapa generasi akan datang,” kata Encik Ng.

18 MAC: PESAINGNYA, LIM, PERSOAL PENCALONAN NG

Encik Lim memberitahu The Straits Times menerusi satu wawancara video bersama pengerusi Tampines Rovers, Teo Hock Seng.

Encik Teo berkata Encik Ng “mempunyai agenda tersembunyi dengan menyertai bidang bola sepak” sementara Encik Lim pula berkata: “Adakah beliau (Ng) sama seperti kami semua dalam pasukan ini atau beliau sama seperti seseorang yang hanya mahu meraih keuntungan?”

19 MAC: PENGERUSI TAMPINES ROVERS GESA PERMOHONAN MAAF BAGI PIHAK NG

Tampines Rovers chairman Krishna Ramachandra (Gambar: TODAY)

Krishna Ramachandra (Gambar: TODAY)

Pengerusi Tampines Rovers, Krishna Ramachandra, yang akan bersaing dalam pemilihan itu bersama pasukan Encik Ng menyelar kenyataan yang dibuat oleh Encik Lim dan Encik Teo. Beliau memuat naik catatan di laman Facebook yang berbunyi: “Permohonan maaf mesti dibuat sebelum keadaan menjadi di luar kawalan”.

“Sejujurnya, sudah hilang rasa hormat saya terhadap mereka. Namun saya akan memberi peluang dan menganggap apa yang dilakukan itu tidak seperti diri mereka.”

22 MAC: NG SELAR KENYATAAN

Menerusi satu kenyataan media, Encik Ng menyelar kenyataan Encik Lim dan Encik Teo. Beliau berkata satu-satunya niat pasukan beliau adalah untuk “memodenkan bola sepak Singapura dari peringkat akar umbi ke atas serta dari peringkat pentadbiran dan kepimpinan.”

Beliau juga menegaskan bahawa tiada ruang untuk berpolitik dalam bola sepak: “Bola sepak Singapura mesti dimodenkan dan politik mesti dihapuskan. Tumpuan mestilah diberikan kepada kelayakan dan siapa yang dapat melakukan yang lebih baik untuk bola sepak negara. Ia tidak boleh setakat bergantung kepada seorang atau dua orang individu yang berkuasa.”

13 APR: NG DEDAH DERMA KEPADA FAS

Pasukan Game Changers. (Gambar: Hafiz Ma'il)

Pasukan Game Changers. (Gambar: Hafiz Ma'il)

Semasa di sidang media Pasukan Game Changer di Hotel Fullerton Bay, di mana pasukannya mendedahkan manifesto, Encik Ng berucap tentang wang yang disalurkan oleh Tiong Bahru FC kepada FAS.

Encik Ng berkata: “FAS bertanya kepada kami jika kami boleh membantu mereka dari segi kewangan memandangkan ia tempoh Singa12 (berlawan dalam Liga Super Malaysia) dan memerlukan perbelanjaan yang lebih besar untuk menjalankan projek tersebut.”

Beliau menambah FAS juga bertanya jika beliau boleh menyediakan jumlah tersebut sebagai derma dan bukan tajaan memandangkan ia memerlukan cek, manakala tajaan memerlukan “banyak kontrak”.

Bila ditanya sama ada beliau mengetahui apa yang akan dilakukan dengan wang derma tersebut, Encik Ng berkata itu “soalan yang bagus” dan memandangkan beliau bukan dalam FAS, “jawapan terhad” yang boleh diberikan ialah dengan menghubungi setiausaha agung FAS, Winston Lee.

“Saya yakin tidak ada (anggota) majlis itu yang tahu tentang perkara ini,” tambah beliau.

14 APR: DAKWAAN NG “TIDAK BERASAS & TIDAK BENAR”, KATA SETIAUSAHA AGUNG FAS

Encik Lee bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa Encik Ng tidak mengetahui tentang apa yang berlaku pada wang yang didermakan dan menyifatkannya sebagai “tidak berasas dan tuduhan yang tidak benar”.

“Pada tahun 2012, FAS mendampingi pelbagai penaja dan penderma untuk mendapatkan sokongan bagi Singa12, yang akan memulakan penyertaannya dalam Liga Super Malaysia.

Penaja dan penderma yang turut memberi sumbangan termasuk Encik Ng, yang memperkenalkan syarikat yang mendermakan $200,000 kepada Singa12,” kata beliau.

“Pada tahun 2014, FAS bercakap kepada Encik Ng mengenai sokongan terhadap Sistem Pengurusan Bola Sepak bagi Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF). Encik Ng menyokong projek tersebut menerusi derma sebanyak $500,000 kepada AFF menerusi FAS.”

16 APR: SPORTSG CUBA DAPATKAN PENJELASAN MENGENAI DERMA

Badan sukan tempatan SportSG mengeluarkan kenyataan media yang meminta supaya FAS memberikan “laporan penuh dan memuaskan” mengenai pengurusan jumlah derma yang besar.

18 APR: FAS KELUARKAN DOKUMEN YANG DAKWA NG TAHU TENTANG DERMA $500,000

(Gambar fail: TODAY)

(Gambar fail: TODAY)

Dalam satu kenyataan media, Encik Lee mendedahkan sepucuk surat antara Encik Ng dan mantan presiden FAS Zainudin Nordin yang menunjukkan Encik Ng bersetuju mendermakan wang sebanyak $500,000 kepada AFF.

Encik Lee juga mengeluarkan baucar pembayaran yang ditandatangani Encik Ng yang menunjukkan beberapa keping cek yang diberikan Tiong Bahru kepada FAS ditujukan kepada AFF.

Encik Lee berkata: “Kenyataan Bill Ng jelas palsu. Fakta dan dokumen-dokumen sokongan ini akan membuktikannya. Pada 9 Oktober 2014, Bill Ng menulis kepada Encik Zainudin Nordin untuk mengucapkan terima kasih kerana ‘berkongsi’ Sistem Pengurusan Bola Sepak AFF dengannya.”

18 APR: WINSTON LEE YANG MINTA DERMA, KATA NG

Encik Ng menyangkal kenyataan Encik Lee kepada pihak media, menekankan bahawa semua perbincangan serta permintaan derma tersebut “datang dari Winston Lee”.

Encik Ng menulis: “Winston Lee yang beberapa kali bertemu dengan saya pada tahun 2014 untuk meminta derma dari TBFC bagi sistem pengurusan bola sepak yang akan ditubuhkan untuk memanfaatkan bola sepak Singapura dan ASEAN.”

“Wang yang didermakan oleh TBFC sepatutnya memanfaatkan bola sepak Singapura. Sejauh manakah Sistem Pengurusan Bola Sepak AFF sudah dimanfaatkan oleh bola sepak Singapura? Tanya Encik Ng.

18 APR: PASUKAN LKT, GAME CHANGERS DILULUSKAN BAGI PEMILIHAN TAMPUK KEPIMPINAN FAS

Kedua-dua pasukan yang akan bersaing dalam pemilihan pertama tampuk kepimpinan FAS secara rasmi diluluskan.

20 APR: SPORTSG BUAT ADUAN POLIS

SportSG membuat aduan polis berhubung kes yang disyaki penyalahgunaan dana TBFC serta percubaan seorang pegawai kanan untuk menghalang kerja-kerja audit ke atas kelab-kelab yang tidak turut serta daripada diselesaikan.

SportsSG juga menyatakan pihaknya menerima maklumat yang menimbulkan “tanda tanya yang serius” tentang penggunaan dana TBFC.

20 APR: PENYIASAT SERBU FAS, 3 KELAB

Para penyiasat setelah menyerbu kelab Tiong Bahru FC. (Gambar: Noor Farhan) 

Para penyiasat setelah menyerbu kelab Tiong Bahru FC. (Gambar: Noor Farhan) 

Sejurus selepas SportSG membuat aduan polis, para pegawai yang berpakaian preman menyerbu ibu pejabat FAS, premis kelab yang dimiliki oleh Encik Ng, Hougang United FC dan Tiong Bahru FC.

Sumber : CNA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan