Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Tidak mustahil jadi juara tinju, kata Hamzah Farouk selepas tewaskan jaguh tinju Thai

Walaupun nama dan pencapaiannya belum begitu dirasakan oleh rakyat Singapura, namun atlit muda dalam sukan tinju ini berpotensi melangkah lebih jauh dan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa pada satu hari nanti.

Anggaran Waktu Membaca:
Tidak mustahil jadi juara tinju, kata Hamzah Farouk selepas tewaskan jaguh tinju Thai

Hamzah Farouk berentap di gelanggang tinju. (Gambar: BERITAMediacorp)

Diterbitkan : 29 Mar 2017 09:07AM Dikemas Kini : 29 Mar 2017 01:21PM

SINGAPURA: Walaupun nama dan pencapaiannya belum begitu dirasakan oleh rakyat Singapura, namun atlit muda dalam sukan tinju ini berpotensi melangkah lebih jauh dan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa pada satu hari nanti.

Hamzah Farouk, anak muda berusia 28 tahun ini sudahpun memenangi pelbagai pingat dalam sukan tinju, dan yang terbaru, beliau menumpaskan jaguh Thailand, Tapanut Loetsingtaworn dalam kategori ‘lightweight' baru-baru ini.

Pertarungan ‘Battle of the Champions: Road to Glory’ anjuran Cartel International Promotions berlangsung di Arena OCBC, Hab Sukan Singapura, Sabtu lalu.

Dalam wawancara eksklusif dengan BERITAMediacorp selepas pertarungannya, Hamzah berkata beliau menjalani latihan intensif selama 2 minggu di Filipina, di Gim Tinju Elorde atas undangan pihak penganjur.

“Pengalaman berlatih di Filipina, memang sungguh luar biasa. Ramai jaguh terkenal seperti Manny Pacquiao pernah berlatih di gim tersebut. Jadi saya tidak teragak-agak untuk menyahut peluang, berlatih dan bertarung di sana,” ujar Hamzah.

HANYA HAMZAH SAJA YANG MASIH GIAT SELEPAS KEDUA-DUA ABANG BERUNDUR

Menceritakan pengalamannya ketika mula berjinak-jinak dalam dunia tinju ini, Hamzah memberitahu, ayahnya juga orang yang pertama memperkenalkan beliau kepada sukan itu, dan beliau juga pernah berlatih bertinju di Farrer Park Boxing Gym, bersama abang-abangnya ketika berusia 16 tahun lagi. Namun, kedua-dua abangnya kini sudah pun berundur daripada dunia tinju, hanya Hamzah saja yang terus berjuang dan pernah menjuarai beberapa pertandingan tempatan dan luar negara pada tahun 2006, 2007 dan 2008.

Tetapi sebelum memenangi pertarungan profesionalnya awal bulan lalu, Hamzah pernah ‘bersara’ dari gelanggang tinju selama 5 tahun, kerana masalah kecederaan, tuntutan pekerjaan dan pelajarannya.

Beliau yang pernah bekerja sebagai pegawai bank dan masih lagi menuntut di Universiti SIM di dalam jurusan psikologi, dijangka akan menamatkan pengajiannya dalam masa setahun lagi.

MUHAMMAD ALI JADI IDOLA

“Ketika saya berusia 5 atau 6 tahun lagi, saya telah pun didedahkan dengan sukan tinju oleh ayah saya dengan menyaksikan video rakaman petinju dunia, Muhammad Ali beraksi di gelanggang dan menjadi juara dunia. Sungguh hebat saya rasakan. Dari situ, timbul cita-cita ingin menjadi seperti idola saya, Muhammad Ali, suatu hari nanti. Walaupun berminat dalam tinju, saya tidak meneruskan sukan ini kerana mempunyai penyakit lelah sejak kecil lagi. Tapi demi minat yang mendalam terhadap sukan ini, saya terus berlatih dan mengharungi segala cabaran yang mendatang. Saya rasa, kenangan terindah buat masa ini adalah memenangi pingat profesional pertama saya pada bulan lalu, setelah 5 tahun ‘bersara’ dari memasuki pertandingan tinju.

“Boxing bagi saya adalah sebuah ‘cinta’. Cinta pada sukan ini mengajar saya tentang kepercayaan diri, keyakinan, motivasi, kerja keras, dedikasi, disiplin, dan perkara lain yang tidak dapat dipelajari dari buku. Mungkin juga minat dan bakat ini juga mengalir dari pengaruh ayah saya, kerana beliau juga meminati sukan tinju ini, dan seorang petinju yang berbakat.

IBU BAPA TUNGGAK KEKUATAN HAMZAH

Hamzah juga turut berasa bersyukur dan amat berterima kasih kepada keluarganya, kerana mereka tidak pernah jemu memberikannya nasihat dan sokongan padu selama ini. Mereka juga merupakan tunjang utamanya untuk menceburi sukan tinju ini secara profesional.

Ayahnya, Encik Mohamed Farouk Abdul Latiff, 64, seorang peniaga,dan ibunya, Cik Rusidah Taufik, 55 tahun, seorang suri rumahtangga sepenuh masa, merupakan ‘orang kuat’ bagi dirinya dan mereka berdua memainkan peranan penting dalam memastikan segala urusan, termasuk kerjaya tinjunya berjalan dengan lancar.

“Keluarga saya pasti adalah motivasi terbesar saya, terutama sekali ibu-bapa saya. Mereka telah banyak berkorban dan ini membuatkan saya berlatih lebih tekun lagi, demi untuk mencapai kemenangan dan kejayaan yang besar. Jurulatih saya juga, Encik Muhaimin Ibrahim,Encik Vikram, Encik Alexander Shah dan penyokong-penyokong lain yang tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat untuk saya terus bertarung dan tidak berputus asa."

(Gambar-gambar: BERITAMediacorp)

TIDAK MUSTAHIL JADI JUARA

“Secara peribadi, tidak mustahil untuk seseorang meraih kejayaan dan menjadi juara dunia. Jika kita mempunyai sikap yang betul dan positif, tidak mudah mengalah, dan senantiasa terus memperbaiki diri dengan berlatih bersungguh-sungguh, kejayaan pasti dapat diraih. Dan itulah yang akan saya lakukan,” tegasnya bersungguh-sungguh.

Walaupun perlu menanggung sendiri sebahagian besar kos latihan dan pertandingan, namun Hamzah tetap bersyukur kerana menerima tajaan kecil daripada syarikat setempat untuk beliau meneruskan ‘cinta’ di hatinya itu. 

Sumber : BERITA Mediacorp
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan