Images
  • wc couple1
    Encik Syed Hafidz Khairuddin Othman Alkaff dan isterinya Cik Siti Munawarah Maaroof berjaya mendapatkan tiket ke peringkat akhir Piala Dunia 2018.

Suami isteri S'pura ini akan tonton pertarungan Croatia-Perancis di Rusia!

BERITAMediacorp: Sejak sekitar sebulan lalu, menonton perlawanan Piala Dunia melalui skrin alat bijak, televisyen ataupun layar gergasi menjadi kemestian bagi peminat bola sepak.

Namun sepasang suami isteri dari Singapura merupakan antara penonton sangat bertuah kerana berjaya mendapat tiket untuk menonton pertarungan akhir Croatia-Perancis itu di stadium negara Rusia, Ahad ini.

Ini semestinya impian setiap peminat bola sepak - iaitu mahu menyaksikan dan merasakan sendiri suasana gegak gempita pertarungan Piala Dunia di stadium negara penganjur, seperti di Rusia sekarang.

Para peminat bola sepak yang BERITAMediacorp temui seperti Muhammad Nizam akur, dapat menonton seperti "mesti best (terbaik)".

"Mesti lagi syiok sana," kongsi Amirul Adli.

Hakikatnya, "bukan semua orang ada rezeki untuk ke sana" celah Encik Jatisetia. Hakikatnya juga, ketiga-tiga jejaka yang ditemui itu belum ada rezeki untuk menonton pertarungan Piala Dunia.


Lantaran itulah, pasangan suami isteri Singapura ini - Syed Hafidz Khairuddin Othman Alkaff dan Cik Siti Munawarah Maaroof - mungkin dicemburui ramai peminat bola sepak tempatan.

Kenapa? Kerana mereka akan berada di Stadium Luzhniki di Mosko untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia antara Croatia dengan Perancis.

Encik Hafidz berkongsi: "Sebenarnya kita tak sangka yang kita dapat tiket final ini pun, kita cuma undi mula-mula untuk salah satu perlawanannya. Kita dapat. Tapi kita cuba lagi, dan kita dapat masa fasa terakhir penjualan tiket itu."

Tiket tersebut berharga sekitar S$600 setiap satu.

'WAKIL' S'PURA DI KALANGAN 80,000 PENONTON

Ini sekaligus menjadikan mereka sebagai 'wakil' Singapura di stadium negara Rusia itu dan antara segelintir sahaja anak Melayu/Islam Singapura di kalangan lebih 80,000 penonton yang akan menyaksikan perlawanan di stadium berkenaan.

Cik Siti Munawarah pula menambah: "Memang saya peminat bola sepak sejak kecil lagi. Saya rasa saya meminati bola sepak lebih daripada suami saya."

Sebenarnya, pasangan ini sudahpun berada di Rusia dari 28 Jun hingga 7 Julai dan menonton dua perlawanan pusingan kalah mati - antara Sepanyol dengan Russia di Mosko, dan Sweden menentang Switzerland di St Petersburg.

Mereka kemudian pulang ke Singapura selama seminggu, sebelum berangkat lagi ke Rusia buat kali kedua esok (13 Jul).


(Gambar: Syed Hafidz Alkaff)

HAFIDZ: SORAKAN PENONTON TIDAK BOLEH DIBANDINGKAN

Yang pasti, mereka mahu merasakan keseronokannya.

"Saya rasa sorakan daripada penonton itu mungkin tak boleh dibandingkanlah, cara penonton fanatik ini semua pada pasukan mereka, saya harap saya dapat lihat suasana dialah di sana," kata Encik Hafidz.

Mentelah lagi, mereka mungkin menyaksikan sejarah baru tercipta jika Croatia menang nanti. 

- BERITAMediacorp/im

Top