Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SportSG fail laporan polis bagi dana Kelab Bola Sepak Tiong Bahru yang disyaki disalah guna

Sport Singapore (SportSG) memfailkan laporan polis setelah ia menerima surat yang mendakwa bahawa seorang pegawai kanan Kelab Bola Sepak Tiong Bahru (TBFC) menghasut sebuah lagi kelab untuk "melengahkan dan/atau menghalang" penyelesaian kerja audit sehingga selepas pemilihan pucuk pimpinan FAS.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Apr 2017 07:15PM Dikemas Kini : 20 Apr 2017 11:19PM

SINGAPURA: Sport Singapore (SportSG) memfailkan laporan polis setelah ia menerima surat yang mendakwa bahawa seorang pegawai kanan Kelab Bola Sepak Tiong Bahru (TBFC) menghasut sebuah lagi kelab untuk "melengahkan dan/atau menghalang" penyelesaian kerja-kerja audit sehingga selepas pemilihan pucuk pimpinan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), menurutnya pada Khamis (20 Apr).

Badan tadbir urus bagi sukan tempatan itu menyatakan dalam kenyataan media bahawa ia memutuskan untuk memfailkan laporan polis pada 19 April pada sekitar 7.50 malam berhubung kes yang disyaki penyalahgunaan dana TBFC dan percubaan untuk melengahkan dan/atau menghalang penyelesaian kerja-kerja audit bagi kelab-kelab Liga S tersebut.

SportSG mendedahkan pada 16 April bahawa pihaknya sudah meminta FAS pada Julai 2016 untuk menyiasat penggabungan Kelab Bola Sepak Woodlands Wellington (WWFC) dan Hougang, menjelang hujung musim Liga S 2014, tetapi tidak membuahkan hasil.

SportSG menyatakan bahawa ia sudah menerima aduan daripada orang ramai berhubung penggabungan yang diusulkan itu antara Hougang dan WWFC, dan bagaimana aset WWFC seperti mesin-mesin jackpot dibahagi-bahagikan.

Para penyokong WWFC, yang membuat aduan-aduan tersebut, turut menyoal kesahihan penggabungan itu.

Penggabungan tersebut kemudian dibatalkan pada 2016 setelah FAS menyifatkannya sebagai suatu yang "tidak sesuai untuk dilaksanakan".

Dalam kenyataan yang sama, SportSG juga menyuarakan keprihatinannya ke atas sumbangan pengerusi TBFC Bill Ng sebanyak S$500,000 kepada FAS pada 2014.

Encik Ng, yang bertanding bagi jawatan Presiden FAS dan menerajui Pasukan Game Changers dalam pemilihan pucuk pimpinan pada 29 April ini, memberitahu para wartawan bahawa badan bola sepak tempatan itu sudah meminta sumbangannya berbanding tajaan bagi kelab bola sepak yang sudah ditiadakan, LionsXII.

Setiausaha Agung FAS, Winston Lee mengeluarkan bukti untuk membangkang dakwaan Encik Ng dan menunjukkan bahawa Encik Ng sedar sepenuhnya bahawa sumbangan bernilai S$500,000 itu adalah bagi kegunaan AFF.

SportSG menambah bahawa ia juga meminta untuk mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Pemilihan Ad-hoc bagi memperjelaskan perancangan bagi pemilihan yang akan datang.

Dalam kenyataan pada Khamis, polis turut mengesahkan bahawa sebuah laporan sudahpun dibuat oleh SportSG berhubung sebuah kelab bola sepak.

Sumber : CNA/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan