Images
  • lee chong wei
    Lee Chong Wei. (Gambar: Andy Buchanan/AFP)

Semangat Lee Chong Wei masih belum luntur

KUALA LUMPUR: Semangat jaguh badminton negara Lee Chong Wei masih belum luntur untuk segera kembali menyertai kem latihan meskipun kini masih dalam tempoh berehat selepas selesai menjalani rawatan barah hidung tahap pertama.

Gambaran itu diberikan menerusi perbualannya dengan bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang melawatnya hari ini (12 Okt), dan dimuat naik dalam laman sosial Instagram, @khairykj.

Encik Khairy turut memuji semangat serta respons positif bekas pemain nombor satu dunia itu. Menurut Encik Khairy ketika pertemuan itu, Chong Wei kelihatan sihat dan ceria walaupun susut sebanyak lima kilogram selepas menjalani rawatan lebih enam minggu di Taiwan.

"Prognosis (kesihatan Chong Wei) adalah baik. Perlu mengukuhkan sistem imun beliau. Malaysia mendoakan beliau supaya cepat sembuh sepenuhnya,” kata beliau.

Semalam (11 Okt), Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM),Encik Mohamad Norza Zakaria berkata Chong Wei tidak akan melakukan sidang media dalam masa terdekat kerana pemain itu perlu berehat dan menguatkan sistem imun badannya sebelum boleh berjumpa orang ramai.

Berikutan masalah kesihatannya itu, Chong Wei tidak beraksi di Sukan Asia di Indonesia dan Kejohanan Dunia pada Ogos lepas. 

- BERNAMA/NA/na

Top