Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Schooling yakin punya peluang baik untuk pecahkan rekod dunia gaya kupu-kupu 100 meter

Jaguh Olimpik Joseph Schooling percaya  beliau mempunyai peluang baik untuk memecahkan rekod dunia untuk acara gaya kupu-kupu 100 meter di Kejohanan Renang Dunia FINA pada Julai akan datang. 

Anggaran Waktu Membaca:
Schooling yakin punya peluang baik untuk pecahkan rekod dunia gaya kupu-kupu 100 meter

Gambar fail juara Olimpik negara Joseph Schooling beraksi. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 26 May 2017 02:08PM Dikemas Kini : 26 May 2017 02:13PM

SINGAPURA: Jaguh Olimpik Joseph Schooling percaya beliau mempunyai peluang baik untuk memecahkan rekod dunia untuk acara gaya kupu-kupu 100 meter di Kejohanan Renang Dunia FINA pada Julai akan datang.

Bercakap kepada Mediacorp di luar acara Kejohanan ONE pada malam Khamis (25 Mei), Schooling berkata: "Saya tidak sabar untuk perlumbaan itu dan jika saya lakukan semuanya dengan sempurna, saya yakin saya benar-benar ada peluang baik untuk mencapai tujuan saya."

Perenang yang berusia 21 tahun itu menjadi jaguh Olimpik untuk acara yang sama Ogos lalu.

Pada bulan November lalu, Schooling memberitahu Mediacorp bahawa sudah menjadi salah satu matlamat beliau untuk memecahkan rekod gaya kupu-kupu 100 meter.

Dengan tinggal kurang dua bulan menjelang Kejohanan Renang FINA, beliau yakin mampu mengatasi masa 49.82 saat yang dicatat idolanya Michael Phelps.

Schooling mencatat masa 50.39 saat di Olimpik Rio Ogos lalu, menewaskan legenda renang Amerika Syarikat Michael Phelps dan sekali gus meraih pingat emas Olimpik pertama Singapura.

Bagi acara yang akan datang pada bulan Julai, Schooling mungkin akan berdepan dengan Chad le Clos dari Afrika Selatan, yang memperoleh ganga dalam temasya Olimpik itu.

Selain gaya kupu-kupu 100 meter, Schooling berkata beliau juga mahu menang pingat dalam acara-acara yang disertainya - gaya kupu-kupu 50 meter dan kupu-kupu 200 meter serta dua acara berganti-ganti.

Schooling memberitahu Mediacorp yang beliau amat teruja untuk berlumba dalam acara gaya kupu-kupu 200 meter.

Menurutnya, beliau sudahpun memerhatikan perenang Jepun, Masato Sakai, yang dianggap akan memberi persaingan sengit dalam acara tersebut.

Sakai menang pingat perak dalam acara tersebut semasa Sukan Olimpik Rio di belakang Phelps.

Tambah Schooling, beliau kini dalam keadaan yang lebih baik berbanding prestasinya yang hambar di Kejohanan NCAA pada bulan Mac lalu di mana beliau gagal melayakkan diri ke peringkat akhir acara gaya kupu-kupu 200 meter.

"Sekarang setelah mengalami kekalahan, saya tidak pernah mahu berasa seperti itu lagi," katanya. 

Sumber : CNA/ns
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan