Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Pyongyang 'besar kemungkinan' sertai Olimpik Musim Sejuk

Wakil Olimpik Korea Utara mengatakan hari ini (6 Jan) bahawa negara itu "kemungkinan besar akan menyertai" Olimpik Musim Sejuk di Korea Selatan, menurut agensi berita Kyodo.

Anggaran Waktu Membaca:
Pyongyang 'besar kemungkinan' sertai Olimpik Musim Sejuk

Bendera Korea Utara. (Gambar fail: Reuters)

Diterbitkan : 06 Jan 2018 03:15PM Dikemas Kini : 06 Jan 2018 03:17PM

PYONGYANG: Wakil Olimpik Korea Utara mengatakan hari ini (6 Jan) bahawa negara itu "kemungkinan besar akan menyertai" Olimpik Musim Sejuk di Korea Selatan, menurut agensi berita Kyodo.

Komen oleh Chang Ung, wakil Pyongyang ke Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dikeluarkan sehari selepas Korea Utara dan Korea Selatan bersetuju untuk mengadakan rundingan minggu depan dan beberapa jam selepas Seoul dan Washington mengumumkan bahawa kedua-dua pihak akan menangguhkan latihan tentera bersama.

Agensi berita Jepun itu melaporkan bahawa Encik Chang memberikan komen ringkas tersebut kepada para wartawan semasa melakukan persinggahan di lapangan terbang antarabangsa Beijing.

Kyodo melaporkan bahawa Encik Chang dipercayai sedang dalam perjalanan ke Switzerland, iaitu pangkalan IOC.

Ia turut menukil beberapa sumber yang mendedahkan bahawa perjalanan tersebut bertujuan untuk bertemu IOC dan berbincang mengenai penyertaan Pyongyang di Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang.

Pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un mengatakan dalam amanat tahun barunya bahawa negara itu mengharapkan yang terbaik buat Sukan Olimpik, yang bakal berlangsung dari 9 hingga 25 Februari, dan akan menimbangkan untuk menghantar pasukan.

Seoul dan pihak penganjur mengalu-alukan penyertaan Korea Utara yang dilihat sebagai usaha untuk mengendurkan ketegangan di Semenanjung Korea menyusuli konfrontasi Kim dengan pemimpin dunia lain berhubung program nuklear dan peluru berpandunya. 

Sumber : AFP/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan