Images
  • fandi ahmad
    Gambar fail Fandi Ahmad semasa satu sesi latihan. (Gambar: Matthew Mohan)

Piala AFF Suzuki: Indonesia 'istimewa', tapi S'pura tidak akan berdiam diri, kata Fandi

SINGAPURA: Pasukan Singa yang dibimbing Fandi Ahmad tidak akan hanya berundur dan bermain di barisan pertahanan meskipun berdepan dengan pasukan Indonesia yang "istimewa", kata ketua jurulatih pasukan Singapura itu pada Khamis (8 Nov). 

Bercakap di sidang media sebelum perlawanan di Hab Sukan Singapura, Fandi berkata pihak lawan kali ini membawa saingan hebat, terutamanya dengan kepantasan mereka. Namun beliau berikrar Singapura akan mengambil pendekatan seimbang.

Singapura yang pernah empat kali menjuarai Piala Suzuki Persatuan Bola Sepak ASEAN (AFF) akan memulakan kempen tahun ini di padang sendiri menentang Indonesia pada Jumaat.

Pasukan negara juga bakal berdepan dengan Filipina, yang diurus mantan ketua pasukan England Sven Goran Eriksson, juara bertahan Thailand serta satu lagi perlawanan di padang sendiri menentang Timor-Leste pada 21 November.

"Indonesia adalah istimewa, berbeza daripada tahun-tahun sebelum ini yang saya saksikan - mereka sangat berbahaya semasa menyerang dan mereka mempunyai ramai pemain pantas," kata Fandi, yang pernah bermain untuk kelab Indonesia, Niac Mitra dalam tempoh kerjaya bola sepaknya.

"Jadi kami perlu awas. Meskipun kami mahu menyerang dan jaringkan gol, kami perlu jaga barisan belakang juga.

Untuk menewaskan Indonesia yang dilatih bekas pemain antarabangsa Bima Sakti, pasukan Singa perlu menyekat kepantasan pemain sayap seperti Febri Hariyadi.

"Indonesia sangat kuat... namun kami sudah meneliti permainan mereka dan kami berharap dapat memintas pergerakan mereka," kata Fandi.

Jurulatih itu berkata meskipun Singapura tidak mempunyai begitu ramai "pemain berbakat", pasukannya mempunyai pelan permainan yang teguh.

"Kami mahu kuat dari segi kerja berpasukan dan pertahanan, dedikasi dan disiplin," kata Fandi.

"Kami tidak boleh halang cara Indonesia bermain, tapi kami tahu apa yang perlu diakukan.

"Kami akan terus bermain permainan kami, itulah kekuatan kami - kami bermain secara berpasukan."

Singapura tidak pernah memenangi perlawanan dalam pertandingan itu sejak kemenangan 2-1 ke atas Kemboja tiga tahun lalu. Kedudukan pasukan negara corot ke tangga ke-165 dalam ranking dunia FIFA (setakat 25 Oktober).

Dalam dua kejohanan sebelum ini pasukan Singa gagal melangkah ke peringkat kumpulan. Kali ini mereka berada dalam kumpulan yang dipanggil "Kumpulan Maut".

Namun Fandi tetap yakin anak-anak buahnya akan terus terdorong dan dapat memulakan kempen dengan baik.

"Motivasi kami sangat kuat. Kami benar-benar ingin berjaya kerana dalam dua kejohanan yang lalu kami terkeluar daripada peringkat awal," tambah Fandi.

"Yang pertama (dan) paling utama adalah dapatkan tiga mata perlawanan. Ia amat sukar, tapi kami akan lakukan apa yang kami perlu lakukan."

- CNA/TQ/aq

Top