Images
  • bola gaduh
    Aksi persahabatan antarabangsa antara Malaysia menentang UAE dihentikan selepas berlakunya pergaduhan. (Gambar: BERNAMA)

Perlawanan persahabatan dihentikan selepas pergaduhan antara pemain M'sia dan UAE

SHAH ALAM: Perlawanan persahabatan antara pasukan Bawah 23 (B-23) tahun Malaysia dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Shah Alam dicemari insiden pergaduhan melibatkan pemain kedua-dua pasukan serta pegawai UAE.

Insiden berlaku pada Jumaat (10 Ogos) di tengah padang pada penghujung perlawanan ketika Malaysia mendahului 2-0 dan bermula apabila beberapa pemain dan pegawai UAE bertindak menyerang pemain kebangsaan, dipercayai berpunca daripada beberapa kekasaran yang dilakukan oleh pemain kedua-dua pasukan sebelum itu.

Pergaduhan itu berjaya dikawal oleh anggota keselamatan kira-kira dua minit kemudian.

Ketua jurulatih B-23 Malaysia, Encik Ong Kim Swee berkata insiden itu bagaimanapun tidak menyebabkan kecederaan kepada pemain negara dan berharap kejadian serupa tidak berulang pada Sukan Asia 2018 di Indonesia yang bermula pertengahan bulan ini.

"Pemain perlu lebih pandai mengawal emosi mereka bila berhadapan dengan provokasi daripada pihak lawan, jika insiden ini berlaku semasa di Sukan Asia nanti ia akan merugikan kita," katanya.

Pada Sukan Asia nanti, anak buah Encik Kim Swee diletakkan dalam Kumpulan E bersama-sama Korea Selatan, Bahrain dan Kyrgyzstan manakala UAE pula dalam Kumpulan C dengan China, Timor Leste dan Syria.

Dalam perlawanan semalam (10 Ogos) Malaysia mengatasi UAE 2-0 hasil jaringan Safawi Rasid pada minit ke-27 dan Akhyar Abdul Rashid pada minit ke-64.

- BERNAMA/AQ/aq

Top