Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Penyokong Arsenal, PSG ghairah nantikan pertarungan di Stadium Negara

Kurang dua minggu selepas Piala Dunia 2018 di Rusia melabuhkan tirainya, kini giliran Piala Juara-Juara Antarabangsa atau International Champions Cup (ICC) pula untuk menyemarakkan dunia bola sepak

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kurang dua minggu selepas Piala Dunia 2018 di Rusia melabuhkan tirainya, kini giliran Piala Juara-Juara Antarabangsa atau International Champions Cup (ICC) pula untuk menyemarakkan dunia bola sepak.

Apatah lagi, Singapura menjadi satu-satunya negara Asia yang dipilih menjadi tuan rumah bagi perlawanan antara beberapa kelab termasyhur dari merata dunia termasuk Paris Saint-Germain (PSG) dan Arsenal.

Bagi sesetengah penyokong fanatik, ketibaan pasukan-pasukan tersebut bak durian runtuh.

Ini kerana buat julung-julung kalinya, PSG membuat penampilan sulung di kota ini, manakala para peminat Arsenal pula, berkesempatan menyaksikan jurulatih baru, Unai Emery mengendalikan skuadnya.

GILIRAN ARSENAL PULA KE S’PURA

Penyokong The Gunners, Encik Ed Shaheed, 38 tahun dan isterinya Cik Aza Almahdi, 37 tahun mengalu-alukan peluang keemasan tersebut.

Manakan tidak, sejak bernikah, kedua-dua mereka sanggup ‘terbang’ lebih 10,000 kilometer untuk ke London setiap tahun semata-mata untuk menyaksikan gergasi Liga Perdana England itu beraksi.

“Bila kita berumahtangga, salah satu azam saya adalah untuk membawanya (Aza) ke London demi memenuhi cita-citanya melawat kota tersebut.

“Kita berkahwin pada 2014. Pada tahun pertama, kita tidak pergi ke mana-mana – hanya mengumpul wang dulu. Sempena hari lahirnya (Aza) pada 2015, kami ke London buat kali pertama,” kongsi Encik Ed, peminat Arsenal sejak beliau berusia 14 tahun lagi.

“Tapi tidak cukup! Tidak puas!” kata Cik Aza yang pada awalnya menyokong pasukan lain tetapi tertarik dengan Arsenal sekitar 17 tahun lalu disebabkan gaya permainannya.

Justeru, pasangan suami isteri berkenaan mengunjungi Stadium Emirates sekali lagi pada 2016 dan 2017 dengan membelanjakan sekitar S$5,000 bagi setiap lawatan.

“Yang istimewa buat kita, selama ini kita menonton Arsenal, Arsenal tidak pernah kalah!” Encik Ed memberitahu BERITAMediacorp.

Tahun ini, mereka bertuah kerana bintang-bintang juara Piala FA 2017 itu pula yang datang ke Singapura bagi perlawanan ICC.

“Inilah yang dinanti-nantikan…saya ingin bertemu dengan Mesut Ozil, Hector Bellerin dan Alexandre Lacazette. Saya berharap dapat bertemu dengan mereka secara perseorangan,” ujar Cik Aza yang bertugas di Core Collective SG.

Sedang beliau ghairah untuk berjumpa dengan idola-idolanya, suaminya pula tidak sabar untuk melihat cara jurulatih Arsenal yang baru itu menguruskan pasukan.

“Saya mahu menyaksikan bagaimana Unai Emery mengatur strategi permainan pasukan barunya. Kita ingin lihat sama ada terdapat sebarang perubahan pada cara pasukan bermain dan yang paling penting, gabungan antara pemain baru dengan pemain yang utama,” kata anggota jawatankuasa Kelab Penyokong Arsenal Singapura itu.

PSG BAWA PENYOKONG DARI SEBERANG TAMBAK

Yang menariknya, Unai Emery yang juga pemenang Pengurus Terbaik Union Nationale des Footballeurs Professionnels (UNFP) pada 2018, akan diuji oleh kelab yang dipimpinnya sebelum ini, iaitu Paris Saint-Germain.

Esok (28 Julai), Arsenal akan berdepan dengan PSG yang sudah merangkul sebanyak tujuh piala dalam tempoh hanya dua musim sepanjang beliau menjadi jurulatih. Pastinya, perlawanan malam esok dijangka sengit dan bakal membuat para penonton ‘tak senang duduk’.

Namun, bukan gerak-geri Unai Emery sahaja yang akan diperhatikan, tetapi penggantinya Thomas Tuchel juga bakal menjadi tumpuan para penyokong johan Liga Perancis itu.

“Tuchel membangkitkan Dortmund semula apabila beliau menyandang jawatan ketua jurulatih pada 2015 dan mencuba beberapa strategi yang berhasil menjadikan pasukan tersebut juara DFB Pokal 2016/17. Kini, beliau diberi peluang mentadbir kelab terbaik dalam Liga Perancis. Saya tidak sabar menantikan rancangannya bagi PSG. Saya rasa tidak mudah bagi Tuchel menjadi pengganti (jurulatih sebelumnya). Saya berharap beliau bijak berstrategi!” kata Encik Nikk Adam Abdillah Kipalli, 33 tahun.

Beliau yang bekerja sebagai seorang pengurus komersil turut merupakan salah seorang yang mengikuti rombongan Kelab Penyokong PSG Malaysia yang tiba dari seberang tambak untuk merebut peluang menyaksikan pasukan kegemaran mereka.

“Seperti anda ketahui, tidak mudah untuk ke Eropah untuk menyaksikan PSG beraksi. Bagi kebanyakan daripada kami, menonton perlawanan ini merupakan peluang sekali saja dalam seumur hidup,” tambah penduduk Kuala Lumpur itu.

Meskipun bintang-bintang seperti Neymar da Silva Santos Junior dan Kylian Mbappe tidak akan turun padang dalam perlawanan ini, para penyokong tetap bersemangat menyokong pasukan yang agak muda itu.

“Saya tidak rasa kecewa langsung kerana para pemain yang lain kini berpeluang menunjukkan bakat mereka terutama sekali pemain muda,” kata Encik Suraj Kumar, seorang pelajar 24 tahun yang sudah tujuh tahun menyokong PSG.

Menurut presiden Kelab Penyokong PSG Malaysia, Encik Emmanuel Miranda, 40 tahun, setiap peserta hanya perlu membayar kos penginapan dan makanan, manakala bakinya ditampung oleh sebuah kelab pusat yang mengendalikan kesemua kegiatan PSG.

Inisiatif tersebut selari dengan usaha kelab berkenaan untuk menebarkan sayapnya di Asia Pasifik, lebih-lebih lagi selepas merasmikan ibu pejabat serantau yang baru di Singapura dua hari lalu (26 Julai), menurut beliau lagi.

Ketua Penjualan Serantau itu juga berkongsi: “Perkembangannya berjalan lancar sejak kami bermula pada 2016. (Di Malaysia) kami mempunyai lebih 2,000 pengikut pasukan itu di Facebook.

“Kami berharap lawatan ke Singapura ini akan menambahkan bilangan anggota kami, sedang kami berusaha menarik lebih ramai penyokong,” tambah beliau.

Dengan kehadiran para penyokong setia dari kedua-dua pasukan, Stadium Negara akan menjadi gempar dengan sorakan mereka ketika Arsenal dan PSG turun padang pada pukul 7.30 malam esok. 

Sumber : BERITA Mediacorp/SM/hs
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan