Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Ng Eng Hen perjelas sebab permohonan Ben Davis tangguh NS ditolak

"Tiada tanda" yang menunjukkan bagaimana pemain bola sepak Singapura, Benjamin Davis akan membantu menaikkan taraf bola sepak tempatan sekiranya dibenarkan menangguhkan Perkhidmatan Negara (NS).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Aug 2018 03:49PM Dikemas Kini : 11 Aug 2018 12:06AM

SINGAPURA: "Tiada tanda" yang menunjukkan bagaimana pemain bola sepak Singapura, Benjamin Davis akan membantu menaikkan taraf bola sepak tempatan sekiranya dibenarkan menangguhkan Perkhidmatan Negara (NS).

Menteri Pertahanan Ng Eng Hen berkata demikian di Parlimen pada Isnin (6 Ogos) semasa menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh enam Anggota Parlimen tentang kriteria yang membolehkan seseorang atlit menangguhkan NS.

Davis, 17 tahun, menandatangani kontrak dua tahun dengan kelab bolasepak Fulham, yang baru-baru ini mara ke Liga Perdana England (EPL).

Selepas dimaklumkan bahawa permohonan penangguhan NS Davis ditolak, bapanya Encik Harvey Davis berkata penangguhan NS akan membolehkan anaknya mengejar impiannya bermain di EPL dan "membanggakan Singapura dengan menjadi rakyat Singapura pertama bermain di EPL".

Walaupun bapa Davis mengatakan bahawa anaknya akan menjadi inspirasi kepada seramai 1,000 pelajar - separuh daripadanya rakyat tempatan - di akademi bola sepak remaja JSSL Singapura kendaliannya, Dr Ng berkata JSSL adalah sebuah perniagaan yang mengiklankan dirinya sebagai mempunyai kaitan dengan Fulham FC.

Dr Ng menegaskan bahawa para atlit hanya boleh menangguhkan NS sekiranya ia memenuhi kepentingan Singapura sambil menambah, bapa Davis sudah "agak jelas" tentang apa yang dianggap sebagak kepentingan bercanggah.

SEBAB PERMOHONAN DITOLAK

Dr Ng memberikan tiga sebab permohonan Davis ditolak.

Pertama adalah kerana Davis bermain untuk Fulham sebagai rakyat Inggeris, bukan rakyat Singapura, kata Dr Ng, merujuk kepada maklumat yang diterbitkan di laman kelab tersebut. Selain status kerakyatan Singapura, Davis memegang pasport London dan Thailand disebabkan oleh asal-usul ibu bapanya.

Sebab kedua, menurut Dr Ng adalah ayah Davis "secara konsisten enggan" memberi komitmen bila anaknya akan kembali untuk menjalani NS, merujuk kepada jawapan yang diberikan kepada pihak berkuasa yang menyatakan bahawa beliau "tidak dapat menetapkan tarikh" kerana kemungkinan anaknya akan ditawarkan kontrak baru atau dipinjamkan.

Sebab ketiga adalah, Encik Davis sudah memberi isyarat bahawa anaknya akan tetap menandatangani kontrak sekiranya tidak dibenarkan untuk menangguhkan NS, sesuatu yang sudah dilakukannya.

Dalam pada itu, Dr Ng menegaskan bahawa kewajipan NS adalah "penting bagi penakatan negara kita", sambil beliau merujuk kepada keputusan bertulis pada 2017 oleh Mahkamah Rayuan terhadap hukuman ke atas mereka yang gagal menjalani NS.

Para hakim berpendapat bahawa setiap lelaki rakyat Singapura mesti menjalani Perkhidmatan Negara pada masa yang diperlukan di bawah Akta Perkhidmatan Negara, "tidak kira kepentingan dan pertimbangan peribadinya".  

Sumber : CNA/NA/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan